Nabi Muhammad adalah seorang motivator dan pendorong perubahan tingkah laku yang sangat efektif. Banyak sekali individu yang biasa-biasa telah berubah menjadi orang-orang cemerlang selepas mendengar kata-kata Nabi Muhammad.
Salah satu keistimewaan teknik Nabi Muhammad adalah di mana beliau sebenarnya menyuruh sasaran melakukan sesuatu, tetapi beliau tidak menggunakan ayat suruhan.
Dalam rekod sejarah terdapat banyak catatan yang menunjukkan bagaimana sasaran Nabi Muhammad mengubah sikap dan tingkah laku mereka dengan kehendak mereka sendiri selepas mendengar kata-kata Nabi Muhammad, padahal beliau tidak menyuruh mereka berubah. Di bawah ini adalah salah satu contohnya:
Ibnu Abbas melaporkan, pada suatu hari ada seorang lelaki datang dan menghadiahkan kepada Nabi Muhammad sebekas arak. Nabi Muhammad bertanya kepada lelaki itu, “Adakah saudara tahu bahawa Allah sudah mengharamkannya?” Lelaki itu menjawab, “Tidak.” Kemudian lelaki itu berbisik-bisik dengan orang yang di tepinya. Nabi Muhammad bertanya kepada lelaki itu, “Apakah yang saudara bisikkan kepadanya?” Lelaki itu menjawab, “Saya suruh dia menjualkannya sahaja.” Kemudian Nabi Muhammad berkata, "Sesungguhnya Dia yang mengharamkan meminumnya, Dia mengharamkan menjualnya." Kemudian lelaki itu membuka penutup bekas araknya, lalu dituangkan isinya sampai habis sama sekali. -- Hadith No. 930 dalam kitab Ringkasan Sahih Muslim
Dalam peristiwa di atas, Nabi Muhammad tidak menyuruh lelaki itu supaya membuang araknya. Sebaliknya lelaki itu sendiri yang melakukannya tanpa disuruh. Nabi Muhammad hanya berkata, "Sesungguhnya Dia yang mengharamkan meminumnya, Dia mengharamkan menjualnya." tetapi kesannya lelaki itu membuang semua araknya.
Antara perkara-perkara yang tidak dilakukan oleh Nabi Muhammad semasa beliau mendorong lelaki itu supaya mengubah sikap dan tingkah lakunya adalah:
1. Nabi Muhammad tidak bercakap menggunakan ayat suruhan.
Contoh ayat suruhan:
* “Kamu wajib buangkan arak itu sebab arak adalah benda haram.”
* “Lain kami bawalah hadiah lain yang halal, bukan arak.”
2. Nabi Muhammad tidak menggunakan ayat larangan.
Contoh ayat larangan:
* “Jangan gunakan arak sebagai hadiah, hukumnya haram.”
* “Arak benda haram, jangan minum arak lagi.”
* “Arak tidak boleh dijadikan hadiah. Jangan berikan arak kepada sesiapa. Hadiah untuk orang bukan Islam pun tak boleh.”
3. Nabi Muhammad tidak menggunakan ayat kritikan.
Contoh ayat kritikan:
* “Kamu mengaku Islam, tetapi bahawa arak adalah benda haram pun kamu tak tahu.”
* “Nampaknya kamu masih jahil tentang hukum meminum dan menjual arak.”
* “Orang lain semua sudah tahu arak adalah haram. Kamu sahaja yang belum tahu.”
4. Nabi Muhammad tidak menggunakan ayat nasihat.
Contoh ayat nasihat:
* “Lain kali jangan buat lagi kesilapan macam ini. Saya tidak boleh minum arak.”
* “Kamu mesti mendalami ilmu agama. Kalau tidak, kamu akan terus berada dalam kejahilan.”
* “Sebagai orang Islam, tuntutlah ilmu agama sampai ke liang lahad.”
5. Nabi Muhammad tidak menggunakan ayat komplen.
Contoh ayat komplen:
* “Nampaknya masih banyak umatku yang jahil agama.”
* “Umatku masih mengambil ringan isu halal-haram.”
* “Sistem pendidikan umatku masih banyak kelemahannya.”
6. Nabi Muhammad tidak menggunakan ayat kutukan.
Contoh ayat kutukan:
* “Apa nak jadi dengan kamu? Nama sahaja kamu sudah Islam. Perangai kamu masih perangai kafir.”
* “Kalau saya katakan kamu ini jahil, nanti kamu marah. Tapi kamu memang jahil!”
* “Apa nak jadi dengan kamu? Jahil murakab betul. Orang macam kamulah yang merosakkan nama baik Islam.”
.
0 comments:
Catat Ulasan