Mengapa Hukuman Sebat Tidak Berkesan

Umar bin al-Khattab melaporkan, pada suatu masa ada seorang lelaki bernama Abdullah yang nama jolokannya adalah 'Himar' yang bermakna 'si keldai'. Dia seorang yang selalu menyebabkan Nabi Muhammad ketawa. Nabi Muhammad pernah mengenakan hukuman sebat kepada Abdullah atas kesalahan meminum arak. Pada suatu hari sekali lagi Abdullah dibawa ke hadapan Nabi Muhammad atas kesalahan minum arak, Nabi pun menyebat dia. Melihat peristiwa itu seorang lelaki berkata, “Ya Allah! Kutuklah dia. Selalu benar dia dibawa ke hadapan Nabi.” Nabi Muhammad berkata, “Jangan kutuk dia, kerana demi Allah, saya tahu dia mencintai Allah dan Rasulnya.” -- Hadith No. 2161 dalam kitab Ringkasan Sahih al-Bukhari.

1. Abdullah sudah beberapa kali dibawa ke hadapan Nabi Muhammad atas kesalahan meminum arak, lalu dia dihukum. Meskipun sudah pernah dihukum, dia masih terus minum.

2. Hukuman di khalayak ramai adalah sangat memalukan, namun malu sahaja tidak menjamin pesalah memberhentikan kesalahannya.

3. Pada peristiwa itu, semasa Abdullah sedang menjalani hukuman, ada orang mengutuk dia. Kata si pengutuk: “Ya Allah! Kutuklah dia. Selalu benar dia dibawa ke hadapan Nabi.” Nabi Muhammad serta-merta menegur si pengutuk dengan memberi arahan: "Jangan kutuk dia." Dengan itu Nabi Muhammad mempertahankan maruah Abdullah. Dalam peristiwa ini Nabi Muhammad dengan terang dan jelas menegah perbuatan mengkritik satu sama lain secara terbuka, yakni di khalayak ramai.

4. Rasional yang digunakan oleh Nabi Muhammad bagi mempertahankan maruah Abdullah adalah: "....saya tahu dia mencintai Allah dan Rasulnya." Kata-kata itu adalah pujian Nabi Muhammad kepada Abdullah. Jadi, pujian itu adalah sangat personal sifatnya. Apatah lagi apabila pujian itu didahului dengan sumpah "demi Allah".

5. Selepas peristiwa di atas, tidak ada laporan daripada mana-mana pelapor hadith yang menunjukkan Abdullah masih lagi dibawa ke hadapan Nabi Muhammad dan dihukum sebat kerana meminum arak.

6. Kenyataan bahawa Abdullah sudah beberapa kali menjalani hukuman sebat kerana meminum arak, ini bermakna, hukuman sebat tidak dapat membantu Abdullah memberhentikan ketagihannya kepada arak. Jadi, kita dapat mengandaikan bahawa dalam peristiwa itu, faktor yang mendorong Abdullah berjaya mengatasi ketagihannya bukanlah hukuman sebatan, melainkan kata-kata yang diucapkan oleh Nabi Muhammad.


.