Testimoni Teknik Nabi Muhammad oleh Fasilitator Kem Motivasi


Petang semalam berakhirnya tugas saya di Pusat Islam UTM Jalan Semarak, Kuala Lumpur. Terima kasih kepada Pusat Islam UTM yang mengundang saya sebagai salah seorang daripada fasilitator dan penceramah di dalam Kem Generasi Qurani (GEN_Q 11) yang dijalankan. Ada sesuatu yang amat berharga saya kutip di dalam Kem ini.

Semasa perjalanan waktu program, saya berpeluang mengikuti "Kursus Mendorong Pelajar Kelas Corot Menggunakan Teknik Nabi Muhammad" pada 17.12.11 yang telah di adakan di hotel De' Palma Ampang. Sebahagian teknik yang diajarkan dalam bengkel tersebut, telah saya praktikkan di dalam Kem ini, hasilnya sangat menakjubkan. Subhanallah. Hampir sahaja saya menitiskan airmata melihat perubahan peserta yang corot akhlak dan akademiknya. Insyaallah, akan tuliskan catatan mengenainya di blog nanti.

Saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada Puan Ainon Mohd. bersama kajian Tim Hadith Psikologi yang telah berusaha keras memperkenalkan teknik-teknik pengajaran ini. Allah berkati usaha kalian dengan pahala yang tidak akan pernah putus insyaallah.Disember

Siti Khadijah
23 Disember 2011

Testimoni Aplikasi Teknik Nabi oleh Seorang Guru

Hari Khamis lalu, semasa di sekolah, saya cuba test teknik Nabi, iaitu tidak menyuruh-nyuruh pelajar untuk gotong royong. Apa yang saya lakukan adalah saya bangkit dan bergotong royong bersama pelajar-pelajar yang rajin. Sambil bekerja, saya memandang kepada pelajar-pelajar malas tanpa apa-apa memek muka, kadang kala ada tersenyum.

Boleh dikatakan ramai pelajar turut sama bekerja setelah melihat tindakan saya itu. Namun ia tidak menyeluruh, kerana apa yang saya buat itu tidak diikuti oleh guru-guru lain. Guru-guru itu hanya melihat dan menyuruh-nyuruh pelajar-pelajar mereka.

Ada pelajar yang asalnya tidak mahu buat kerja, datang membantu sama. Apabila bertembung dengan saya yang sedang bekerja, saya memujinya, "Bagus awak, tentu Nabi suka kalau tengok awak buat ni." Pelajar itu menyapu sampah sehingga licin kawasan itu, sedangkan sebelum itu dia melihat sahaja.

Kekurangan kesan tindakan saya itu adalah kerana saya bertindak berseorangan tanpa kerja sama guru-guru lain. Sekiranya guru-guru lain melakukan sama seperti saya, tentu sekolah pada hari itu lebih bersih lagi.

Selepas gotong-royong, semua orang berehat. Sebelum balik diadakan perhimpunan diberikan sumbangan hari raya kepada pelajar (jumlah pelajar kecil sahaja, sekolah kampung).

Saya diminta oleh tuan mudir (pengetua) untuk taaruf sebagai guru baru dan menyampaikan tazkirah. Tazkirah saya hanya membaca dua hadith, pertama bersabit gotong-royong, di mana saya baca hadith Ma Ahsana Haza, dan kedua tentang solat.

Sepanjang saya tazkirah, saya cuma menyebut beberapa ayat saya sendiri, selebihnya saya membaca hadith-hadith itu. Semua pelajar tekun mendengar dan diam. Berbanding dengan pengetua yang bercakap selepas itu, di mana pelajar bercakap-cakap pula. Hehehe....

Nota: Tuan Ahmad Saifuddin adalah seorang guru di Kota Baru, Kelantan.