Aplikasi Hadith 'Jabir Bersedih'

Jabir bin Abdullah melaporkan dia pernah terjumpa dengan Nabi Muhammad. Nabi Muhammad berkata kepadanya, “Wahai Jabir, apakah yang menyebabkan saya lihat saudara dalam keadaan tidak bersemangat?” Jabir menjawab, “Wahai Rasul Allah, ayah saya telah mati syahid. Dia terbunuh semasa Perang Gunung Uhud dengan meninggalkan keluarga dan hutang.” Nabi Muhammad berkata, “Mahukah saudara saya beritahu khabar gembira tentang ayah saudara yang akan berjumpa dengan Allah?” Jabir menjawab, “Mahu, wahai Rasul Allah.” Nabi Muhammad berkata, “Allah tidak pernah bercakap dengan sesiapa pun, melainkan dari balik tabir. Allah akan menghidupkan semula ayah saudara, dan Allah akan bercakap kepadanya tanpa ada tabir." - Hadith No. 3010 dalam kitab Shahih Sunan Tarmizi

Intipati hadith:

1. Apabila bertemu dengan orang yang sedang menanggung banyak masalah, termasuk masalah tekanan emosi, berikan respon kepada masalah emosinya.

2. Hiburkan hati orang yang bersedih dengan membawakan khabar gembira.

Aplikasi hadith:

1. Hadith ini adalah hadith kaunseling.

2. Nabi Muhammad menunjukkan proses kaunseling dilakukan pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja.

3. Hadith ini menunjukkan salah satu tugas ketua adalah memberi kaunseling kepada anak buahnya yang menanggung beban masalah berat.

4. Apabila kaunselee menanggung banyak beban masalah, sebagaimana yang ditanggung oleh Jabir, teknik kaunseling yang betul adalah dengan memberikan prioriti kepada isu meringankan beban emosi orang itu.

5. Hiburkan hati orang yang menanggung tekanan emosi dengan memberikan kata-kata baik berkenaan perkara yang menjadi punca emosinya tertekan.


.

Aplikasi Hadith 'Separuh Biji Kurma'

Adi bin Hatim memberitahu bahawa Nabi Muhammad berkata, "Jagalah diri saudara semua dari neraka." Kemudian beliau berpaling, lalu berkata, "Jagalah diri saudara semua dari neraka." Kemudian beliau berpaling. Ia berlaku tiga kali, sehingga kami menyangka bahawa beliau benar-benar melihat neraka. Kemudian Nabi Muhammad berkata, "Jagalah diri saudara dari neraka walaupun dengan separuh daripada sebiji kurma. Sesiapa yang tidak ada kurma, maka dengan kalimah yang baik." Catatan ini terdapat dalam koleksi hadith autentik Sahih al-Bukhari

Intipati hadith:

1. Apabila Nabi Muhammad memberi peringatan yang sangat penting, beliau mengulang kata-katanya sebanyak 3 kali.

2. Kemudian baru beliau memberitahu bagaimana cara melaksanakan peringatan itu.

Aplikasi hadith:

1. Hadith ini adalah hadith peringatan tentang bahaya kegagalan, yakni bagaimana kegagalan dapat dielakkan.

2. Neraka adalah kegagalan, manakala syurga adalah kejayaan. Hadith ini menunjukkan teknik Nabi Muhammad bercakap dengan tujuan mendorong audiensnya supaya berusaha mencapai kejayaan, tetapi ucapan beliau menerangkan bagaimana mengelakkan kegagalan.

3. Teknik bercakap dalam hadith ini adalah teknik bercakap kepada sekumpulan orang dalam audiens. Jadi teknik ini sesuai digunakan dalam ucapan motivasi.

4. Orang-orang yang diberi peringatan itu adalah orang-orang yang sudah sedia baik akhlaknya, baik prestasinya, dan baik agamanya.

5. Mereka adalah orang-orang biasa, yang tidak memiliki harta yang banyak.