Sebagai Ketua: Teknik Nabi Muhammad Memberi Motivasi kepada Golongan yang Sedia Cemerlang

Ada 2 konsep yang berbeza dan bertindan iaitu (i) motivator (ii) pendorong perubahan tingkah laku.

Seseorang itu menjadi motivator apabila dia dapat menaikkan semangat orang-orang lain. Salah satu cara menaikkan semangat adalah dengan menyampaikan ucapan yang mampu membakar semangat mereka yang mendengar.

Semangat adalah unsur yang sangat fragile, yakni sangat rapuh. Semangat tidak tahan lama dan mudah pula berubah kerana semangat adalah sejenis emosi.

Semangat yang tinggi mungkin mendorong seseorang itu mengubah tingkah lakunya, tetapi ada kalanya semangat yang tinggi itu tidak diterjemahkan menjadi tindakan dan seterusnya perubahan.

Seseorang itu menjadi pendorong perubahan tingkah laku apabila dia dapat membantu orang-orang lain memperbaiki prestasi mereka daripada yang kurang baik kepada yang lebih baik. Bantuan itu diberikan sama ada dengan mengucapkan kata-kata yang betul mahupun melakukan perkara-perkara yang betul, yakni yang mempunyai nilai dorongan.

Lazimnya, kita menganggap motivator adalah orang yang pandai bercakap di hadapan audiens dengan gaya yang fasih, menarik perhatian, malah berjaya menimbulkan rasa kagum di kalangan hadirin. Anggapan ini datang daripada pengalaman kita melihat motivator-motivator yang ada dalam pasaran sekarang.


Nabi Muhammad adalah seorang motivator. Hadith di bawah ini adalah salah satu teknik bagaimana beliau menaikkan semangat 40 orang lelaki yang sudah sedia mempunyai sifat-sifat gagah berani.

Abdullah bin Mas'ud melaporkan pada suatu masa beliau dengan sekitar 40 orang lelaki lain bersama-sama Nabi Muhammad berada di bawah khemah yang diperbuat daripada kulit. Nabi Muhammad berkata, “Sukakah saudara-saudara menjadi seperempat daripada semua penduduk syurga?” Mereka semua menjawab, “Ya.” Nabi Muhammad berkata lagi, “Sukakah saudara-saudara menjadi sepertiga daripada semua penduduk syurga?” Mereka semua menjawab, “Ya.” Lalu Nabi Muhammad berkata, “Demi Zat yang jiwa Muhammad berada di dalam genggamannya, sesungguhnya saya mahukan saudara-saudara menjadi separuh daripada semua penduduk syurga. Sedangkan syurga itu hanya dapat dimasuki oleh jiwa yang muslim. Dan, perbandingan antara saudara-saudara dengan mereka yang menyembah berhala adalah umpama sehelai bulu putih pada kulit seekor seladang hitam, ataupun umpama sehelai bulu hitam pada kulit seekor seladang putih.”
-- Hadith No. 102 dalam kitab Ringkasan Sahih Muslim