Aplikasi Hadith 'Baju Nipis Asma'

Asmah binti Abu Bakar pernah masuk ke tempat di mana Rasulullah sedang berada, waktu itu Asmah memakai pakaian yang nipis. Rasulullah pun memalingkan mukanya daripada memandangnya sambil berkata, “Wahai Asma, sesungguhnya seorang wanita itu apabila dia sudah cukup umur, maka dia tidak boleh menampakkan tubuhnya kecuali ini dan ini," sambil beliau menunjukkan bahagian wajah dan telapak tangannya. - catatan ini terdapat dalam rekod hadith-hadith autentik koleksi Abu Daud.

Intipati hadith:

1. Apabila menegur kesalahan teknikal, terangkan sahaja apa yang salah, dan kemudian terangkan apa yang betul.

2. Kesalahan yang dilakukan secara tertutup ditegur secara tertutup.

3. Teguran itu disampaikan pada masa kesalahan itu dilakukan.

Aplikasi hadith:

1. Hadith ini adalah hadith menegur kesalahan teknikal, iaitu Asma memakai pakaian daripada kain yang nipis.

2. Hadith ini juga menunjukkan teknik yang digunakan oleh Nabi Muhammad apabila menegur kesalahan yang dilakukan oleh perempuan.

3. Apabila kesalahan itu adalah kesalahan teknikal, maka bahasa yang digunakan bagi menegurnya adalah bahasa teknikal juga.

4. Apabila menegur kesalahan teknikal, perkara yang ditegur adalah kesalahan itu, bukan menegur orang yang melakukannya. Teknik ini adalah prinsip paling utama pada gaya bahasa yang Nabi Muhammad gunakan apabila menegur perbuatan yang salah, di mana beliau memisahkan antara 'orangnya' dengan 'perbuatannya'.

5. Apabila bercakap bagi tujuan menegur, Nabi Muhammad tidak menggunakan kata gantinama orang kedua 'kamu', 'awak', 'you' dan lain-lain perkataan yang membawa makna 'kamu'.


.

Aplikasi Hadith 'Si Keldai'

Umar bin al-Khattab melaporkan, pada suatu masa ada seorang lelaki bernama Abdullah yang nama jolokannya adalah 'himar' yang bermakna 'si keldai'. Dia seorang yang selalu menyebabkan Nabi Muhammad ketawa. Nabi Muhammad pernah mengenakan hukuman sebat kepada Abdullah atas kesalahan meminum arak. Pada suatu hari sekali lagi Abdullah dibawa ke hadapan Nabi Muhammad atas kesalahan minum arak, Nabi pun menyebat dia. Melihat peristiwa itu seorang lelaki berkata, “Ya Allah! Kutuklah dia. Selalu benar dia dibawa ke hadapan Nabi.” Nabi Muhammad berkata, “Jangan kutuk dia, kerana demi Allah, saya tahu dia mencintai Allah dan Rasulnya.” -- Hadith No. 2161 dalam kitab Ringkasan Sahih al-Bukhari.

Intipati hadith:

1. Tidak mengutuk orang yang bersalah, biarpun kesalahannya itu adalah dosa besar.

2. Puji kebaikan orang yang bersalah.

Aplikasi hadith:

1. Hadith ini adalah hadith menyelamatkan maruah.

2. Teknik dalam hadith ini dapat digunakan bagi mendorong penjenayah mengubah tingkah lakunya yang buruk kepada yang baik. Sebagai contoh, di sekolah, pelajar yang melakukan kesalahan melanggar peraturan sekolah, seperti menyimpan kuku ataupun rambut panjang, tidak boleh dimalukan di khalayak ramai.

3. Strategi motivasi yang digunakan oleh Nabi Muhammad bagi mendorong peminum arak itu adalah: (i) Menyelamatkan maruahnya. (ii) Menaikkan maruahnya.

4. Dalam hadith ini Nabi Muhammad menunjukkan bahawa penjenayah yang sedang menjalani hukuman sekalipun tidak boleh dikutuk di hadapan orang banyak.

5. Nabi Muhammad menunjukkan jika ada sesiapa mengutuk orang lain di khalayak, maka dia hendaklah menegah perbuatan orang itu.

6. Hadith ini juga menunjukkan bahawa dalam ajaran Nabi Muhammad, penjenayah sekali pun layak menerima pujian.


.