Sebagai Kaunselor: Nabi Muhammad Tidak Bertanya dengan Menggunakan Perkataan 'mengapa'

Tugas ketua yang paling utama adalah sebagai seorang transformer. Ketua berfungsi mentransformasi orang-orang bawahannya, umpama dia dapat menukar seekor keldai menjadi seekor kuda. Inilah yang dilakukan oleh Nabi Muhammad kepada orang-orang di sekelilingnya.

Srategi transformasi itu tidak boleh dengan jalan tekanan dan paksaan. Ketua perlu mendorong supaya orang-orang bawahannya dengan secara sukarela mahu mentransformasi diri mereka masing-masing menjadi individu yang lebih baik. Dengan mentransformasi orang-orang bawahannya barulah prestasi organisasi dapat ditingkatkan.

Ini bermakna ketua-ketua memerlukan skill dan teknik-teknik bagaimana mereka dapat mendorong orang-orang bawahannya supaya mereka sendiri mahu belajar menjalankan tugas-ugas mereka dengan lebih baik lagi.

Nabi Muhammad menunjukkan teknik-teknik yang betul bagaimana cara mendorong pekerjanya menjadi petugas yang baik. Salah satu teknik dorongan yang digunakan oleh Nabi Muhammad adalah dengan tidak bercakap dengan gaya mempersoal.

Gaya mempersoal sentiasa dalam bentuk ayat soalan. Contoh-contoh ayat mempersoal adalah:

* Mengapa awak masih tidak buat perkara itu?
* Mengapa awak buat perkara itu?
* Mengapa awak tak fikirkan kesan buruknya?
* Mengapa tunggu sampai sekarang baru dibaiki?
* Takkan awak tak tahu perkara itu tidak betul?
* Apa sebab awak buat macam itu?
* Kenapa tak dibuat cara begini?
* Apa salahnya kalau dibuat cara lain?
* Siapa kata tidak boleh?
* Takkan awak tidak boleh fikir sendiri?

Anas bin Malik pernah bersumpah: "Demi Allah, saya telah berkhidmat kepada Nabi Muhammad selama 9 tahun. Tidak pernah beliau menegur sesuatu yang saya kerjakan dengan bertanya, 'Mengapa kamu melakukan ini dan ini?' Beliau juga tidak pernah menegur sesuatu yang tidak saya kerjakan dengan bertanya, 'Mengapa kamu tidak melakukan ini dan ini?'" - Hadith nombor 1582 dalam kitab Ringkasan Sahih Muslim

Ada kekeliruan antara ayat bertanya dengan ayat mempersoal. Ayat bertanya adalah dengan tujuan meminta informasi. Manakala ayat mempersoal pula mempersoal kebijaksanaan orang yang ditanya.

Nota: Dalam sesi training, peserta akan dilatih menggunakan ayat yang betul apabila meminta informasi supaya tidak tersalah menggunakan ayat mempersoal.


.

Sebagai Kaunselor: Lagi Bukti bahawa Nabi Muhammad Tidak Menyelidiki Punca Kesalahan

Perceraian adalah perkara yang dibenarkan dalam agama tetapi dibenci oleh Allah. Manakala perceraian talak tiga adalah kes yang ekstrem, oleh itu jarang berlaku. Dari satu segi perbuatan menjatuhkan talak tiga bolehlah dikatakan sebagai 'kesalahan' yang tidak sepatutnya berlaku.

Dalam catatan sejarah ada disebutkan peristiwa Nabi Muhammad berdepan dengan seorang perempuan yang telah diceraikan dengan talak tiga. Beliau sama sekali tidak bertanyakan kepada perempuan itu maklumat latar belakang apa yang telah berlaku sehingga suaminya menjatuhkan talak tiga kepadanya.

Nabi Muhammad tidak bertanya kepada janda itu apa kesalahannya, jika ada, sehingga dirinya diceraikan dengan talak tiga. Beliau juga tidak bertanya apa kesalahan suaminya, jika ada, sehingga dia melakukan perkara yang ekstrem itu.

Sebaliknya, Nabi Muhammad terus menawarkan penyelesaian kepada masalah yang dihadapi oleh janda itu. Masalah itu adalah masalah yang berat kerana sebagai perempuan yang dicerai dengan talak tiga dia
tidak berhak menerima tempat tinggal dan belanja hidup dari bekas suaminya itu.

Fatimah binti Qais melaporkan bahawa dirinya pernah dicerai dengan talak tiga oleh bekas suaminya. Nabi Muhammad menerangkan kepadanya bahawa dia tidak berhak menerima tempat tinggal dan belanja hidup dari bekas suaminya itu. Nabi Muhammad berkata kepadanya, “Apabila saudari sudah tamat tempoh iddah, beritahu saya.” Lalu apabila tempoh iddahnya sudah tamat, dia pun memaklumkan perkara itu kepada Nabi Muhammad. Kemudian daripada itu ada tiga lelaki meminang dirinya, iaitu Muawiyah, Abu Jaham, dan Usamah bin Zaid. Nabi Muhammad berkata kepadanya, “Muawiyah itu miskin, sedangkan Abu Jaham suka memukul isterinya, sebaiknya saudari terima Usamah sahaja.” Hati Fatimah tidak setuju dengan nasihat Nabi Muhammad. Sambil dia memulas-mulas tangannya, dia berkata, “Usamah?” Kemudian Nabi Muhammad berkata, “Taat kepada Allah dan Rasulnya adalah lebih baik bagi saudari.” Lalu Fatimah pun bernikah dengan Usamah. Menurutnya, selepas itu dia mengecapi kebahagiaan dalam perkahwinannya dengan Usamah. --
Hadith No. 862 dalam kitab Ringkasan Sohih Muslim