Lazimnya ketua-ketua memberi motivasi kepada golongan yang tidak cemerlang, seperti orang yang malas, yang gagal, yang tidak proaktif, yang tidak bercita-cita tinggi, yang tidak sanggup bersusah payah, yang tidak mahu berkorban, yang cepat putus asa, yang mementingkan diri sendiri, yang tidak ingat mati, yang tidak kuat beribadat, orang yang mutu kerjanya rendah dan lain-lain golongan yang seperti itu.
Golongan yang sudah sedia bermotivasi tinggi lazimnya tidak diberikan dorongan tambahan kerana mereka dianggap sudah pandai memotivasikan diri mereka sendiri, oleh itu mereka tidak memerlukan motivasi dari ketua ataupun sesiapa lagi. Benarkah golongan cemerlang tidak memerlukan dorongan lagi?
Nabi Muhammad adalah seorang motivator. Beliau bukan hanya memberi motivasi kepada golongan yang tidak cemerlang, malah beliau juga memberi motivasi kepada golongan yang sudah sangat cemerlang. Ada dua tujuan memberi motivasi kepada golongan cemerlang: (a) Supaya mereka terus mahu kekal cemerlang. (b) Supaya mereka terus mahu meningkatkan lagi tahap kecemerlangan mereka.
Dalam rekod sejarah ada catatan yang menunjukkan bagaimana beliau menaikkan semangat 40 orang lelaki yang sudah sedia mempunyai sifat-sifat gagah berani.
Abdullah bin Mas'ud melaporkan pada suatu masa beliau dengan sekitar 40 orang lelaki lain bersama-sama Nabi Muhammad berada di bawah khemah yang diperbuat daripada kulit. Nabi Muhammad berkata, “Sukakah saudara-saudara menjadi seperempat daripada semua penduduk syurga?” Mereka semua menjawab, “Ya.” Nabi Muhammad berkata lagi, “Sukakah saudara-saudara menjadi sepertiga daripada semua penduduk syurga?” Mereka semua menjawab, “Ya.” Lalu Nabi Muhammad berkata, “Demi Zat yang jiwa Muhammad berada di dalam genggamannya, sesungguhnya saya mahukan saudara-saudara menjadi separuh daripada semua penduduk syurga. Sedangkan syurga itu hanya dapat dimasuki oleh jiwa yang muslim. Dan, perbandingan antara saudara-saudara dengan mereka yang menyembah berhala adalah umpama sehelai bulu putih pada kulit seekor seladang hitam, ataupun umpama sehelai bulu hitam pada kulit seekor seladang putih.” -- Hadith No. 102 dalam kitab Ringkasan Sahih Muslim
Dalam peristiwa di atas, teknik bercakap yang Nabi Muhammad gunakan apabila memberi motivasi kepada golongan yang sudah sedia cemerlang adalah:
1. Nabi Muhammad mendorong sekumpulan orang-orang cemerlang.
2. Dorongan itu disampaikan semasa kumpulan sedang menjalankan tugas penting.
3. Kata-kata dorongan itu dibuka dengan ayat bertanya: "Sukakah saudara-saudara menjadi....."
4. Nabi bertanya tiga kali. Dimulakan dengan pertanyaan yang kurang sukar, menjadi lebih sukar.