Dalam amalan lazim, apabila ada orang datang membuat aduan, kita cenderung bertanya nama orang yang menjadi punca aduan itu.
Namun Nabi Muhammad tidak bertanya nama orang yang dijadikan aduan itu, sebagaimana yang berlaku dalam catatan sejarah di bawah ini:
Abu Mas'ud melaporkan, pada suatu hari seorang lelaki datang berjumpa Nabi Muhammad lalu berkata, “Wahai Rasul Allah! Demi Allah, saya tidak pergi sembahyang subuh berjemaah kerana Si Fulan memanjang-manjangkan sembahyangnya semasa dia menjadi imam kami.” Menurut Abu Mas'ud, beliau belum pernah melihat Nabi Muhammad begitu marah semasa memberikan nasihat. Nabi Muhammad berkata, “Ada sesetengah orang dalam kalangan saudara-saudara yang menyebabkan sesetengah orang lain tidak suka melakukan perkara-perkara baik. Barang siapa dalam kalangan saudara-saudara yang menjadi imam sembahyang, pendekkanlah, sebab antara mereka ada yang lemah, sakit, dan ada pula yang mempunyai urusan mendesak.” -- Hadith No. 417 dalam kitab Ringkasan Sahih Bukhari
Dalam peristiwa di atas, orang yang mengadu tidak menyebutkan nama orang yang diadukan, manakala Nabi Muhammad pula tidak melakukan perkara-perkara seperti di bawah:
1. Tidak bertanya siapa nama orang yang menjadi isu aduan itu, dengan berkata, "Beritahu saya siapa yang kamu maksudkan itu?"
2. Tidak menyuruh supaya orang yang diadukan itu dipanggil dengan berkata, "Panggil dia ke mari, biar saya tanya sendiri mengapa dia memanjang-manjangkan sembahyang."
3. Tidak menyiasat apakah aduan itu benar ataupun palsu, yakni tidak bertanya kepada orang-orang lain apakah aduan itu benar dan mereka sendiri menjadi saksi dengan berkata, "Betulkah dia suka memanjang-manjangkan sembahyangnya? Ada sesiapa di sini yang boleh jadi saksi?"
4. Tidak memberitahu orang yang diadukan itu bahawa apa yang dilakukannya itu salah dengan berkata, "Nanti apabila saya jumpa dia saya akan beritahu dia apa yang dilakukannya itu salah."
Apa yang dilakukan oleh Nabi Muhammad adalah memberitahu orang-orang lain yang ada di situ pada waktu itu bahawa:
a. Ada jenis-jenis perbuatan yang menyebabkan orang tidak mahu melakukan perkara-perkara baik.
b. Imam sembahyang hendaklah memendekkan tempoh sembayang.
c. Sembahyang hendaklah pendek sebab ada orang yang lemah, sakit dan ada urusan penting.