Apabila Nabi Muhammad memuji perbuatan yang baik, beliau menerangkan impak yang dihasilkan oleh pebuatan baik itu. Ini adalah ciri utama yang terdapat dalam ayat-ayat dorongan yang beliau ucapkan kepada orang biasa-biasa apabila mereka melakukan sesuatu perbuatan yang luar biasa.
Contoh konten ayat pujian Nabi Muhammad itu dapat dilihat pada hadith di bawah ini:
Ibnu Umar menceritakan, pada suatu masa beliau dan orang-orang lain sedang hendak melakukan sembahyang di masjid. Pada waktu itu kedengaran seorang lelaki berkata, "Allahu akbar kabiran, alhamdulillahi kathiran, wasubhanallahi bukratan wa'asila." Selepas selesai sembahyang, Nabi Muhammad bertanya kepada orang-orang yang ada, "Siapakah tadi yang membaca ucapan itu?" Lelaki itu menjawab, "Saya, ya Rasul Allah." Lalu Nabi Muhammad berkata, "Saya kagum dengan kata-kata itu. Pintu-pintu langit dibuka kerana kata-kata itu." Dalam laporannya itu, Ibnu Umar berkata, "Semenjak saya terdengar Nabi Muhammad berkata begitu, saya tidak pernah lupa mengucapkan kata-kata itu." - catatan peristiwa ini ada dalam rekod koleksi hadith-hadith autentik Muslim.
Dalam teks hadith di atas ayat pujian yang Nabi Muhammad berikan kepada lelaki itu adalah: "Saya kagum dengan kata-kata itu. Pintu-pintu langit dibuka kerana kata-kata itu."
Dua impak yang disebutkan oleh Nabi Muhammad adalah:
1. "Saya kagum...."
2. "....Pintu-pintu langit dibuka kerana kata-kata itu."
.