Sebagai Ketua: Teknik Bagaimana Nabi Muhammad Memuji Orang Besar di Depan Khalayak

Salah satu tugas ketua adalah memuji orang-orang bawahannya, baik mereka yang statusnya tinggi mahupun yang rendah. Sebagai ketua, Nabi Muhammad adalah seorang yang murah dengan pujian kepada anak-anak buahnya.

Nabi Muhammad menunjukkan cara beliau memuji orang besar tidak serupa dengan cara beliau memuji orang kecil.

Abu Hurairah melaporkan bahawa pada suatu masa Nabi Muhammad pernah bertanya, “Siapakah antara saudara-saudara sekalian yang berpuasa pada hari ini?” Abu Bakar menjawab, “Saya.” Beliau bertanya lagi, “Siapakah antara saudara-saudara sekalian yang hari ini menghantar jenazah?” Abu Bakar menjawab, “Saya.” Beliau bertanya lagi, “Siapakah antara saudara-saudara sekalian yang hari ini memberi orang miskin makan?” Abu Bakar menjawab, “Saya.” Beliau bertanya lagi, “Siapakah antara saudara-saudara sekalian yang hari ini melawat orang sakit?” Abu Bakar menjawab, “Saya.” Lalu Nabi Muhammad berkata, “Seseorang yang melakukan perkara-perkara tersebut sudah tentu masuk syurga.” --
Hadith No. 543 dalam kitab Ringkasan Sahih Muslim

Dalam peristiwa di atas, teknik yang digunakan oleh Nabi Muhammad apabila memuji orang besarnya adalah dengan bertanya empat soalan, di mana semua empat soalan itu dijawab oleh orang penting itu, yakni Saidina Abu Bakar:

1. Semasa bertanya, Nabi Muhammad tidak menyebut nama orang besar itu.

2. Soalan itu ditujukan kepada semua orang yang hadir, bukan kepada orang besar yang dipuji.

3. Apabila memuji, Nabi tidak menyebut nama orang besar yang dipuji itu.

4. Pujian yang diberikan oleh Nabi Muhammad adalah ganjaran yang akan diterima oleh orang penting itu, yakni kelayakan masuk syurga.