Pendekatan Tradisional Bagaimana Islam Dimasukkan ke dalam Budaya Organisasi

Pada masa ini banyak organisasi yang sahamnya dimiliki oleh orang Islam dan diuruskan oleh individu-individu Islam sudah memasukkan lebih banyak elemen-elemen Islam ke dalam urusan organisasi.

Antara langkah-langkah yang sudah banyak dilakukan bagi tujuan memasukkan elemen Islam ke dalam organisasi adalah:

1. Mendapatkan sijil halal untuk produk-produk yang mereka keluarkan dan pasarkan.
2. Tidak lagi menjual produk haram.
3. Hanya menggunakan kemudahan perbankan Islam.
4. Membina kemudahan beragama, seperti surau.
5. Menyiarkan azan solat dalam sistem PA korporat.
6. Menyiarkan doa korporat setiap pagi tepat pada waktu kerja bermula.
7. Menganjurkan siri ceramah agama bulanan untuk semua staf.
8. Menghantar staf ke kem bina-iman, aqidah dan ibadah.
9. Memberi kelonggaran bercuti panjang bagi menunaikan ibadah haji.
10. Mengenakan peraturan penampilan korporat yang menutup aurat.
11. Mengadakan jawatan imam bagi menguruskan keperluan beragama kalangan staf.
12. Menggalakkan solat berjemaah dalam kalangan staf.
13. Memulakan setiap acara dengan bacaan doa.
14. Menggalakkan staf menubuhkan persatuan pekerja Islam.
15. Menyumbangkan wang untuk tabung khairat pekerja.
16. Memberi elaun saguhati kepada staf yang naik haji.
17. Menggalakkan staf mengucapkan salam.
18. Membayar zakat keuntungan perniagaan korporat.
19. Menaja pelbagai projek kebajikan.

Dengan banyaknya langkah-langkah di atas, yang sudah dilaksanakan oleh pihak pengurusan syarikat, maka timbul persoalan apakah masih ada aspek-aspek dalam ajaran Islam yang masih dapat diadoptasi oleh pengurusan.

Meskipun banyak aspek Islam yang sudah cuba dimasukkan ke dalam urusan organisasi, namun Islam hanya dimasukkan dalam urusan-urusan ibadah umum. Akibatnya, hanya staf yang beragama Islam sahaja yang mendapat manfaat daripada perkara-perkara itu, manakala staf bukan Islam tidak menerima apa-apa benefit.

Dalam erti kata lain, melalui pendekatan tradisional itu Islam tidak dimasukkan ke dalam jantung pengurusan organisasi supaya semua staf, Islam dan bukan Islam, menikmati benefit daripada sistem Islam.