Nabi Muhammad adalah seorang ketua. Pada suatu masa Nabi Muhammad melantik Usamah bin Zaid sebagai ketua panglima perang tentera Islam. Usamah seorang yang sangat muda usianya, dan sangat junior dalam ilmu peperangan.
Dalam mempertahankan keputusannya melantik Usamah bin Zaid itu, beliau berkata kepada semua anak buahnya:
"Jikalau saudara-saudara mengkritik kepimpinan Usamah bin Zaid, bermakna saudara-saudara mengkritik kepimpinan ayahnya, Zaid bin Harithah. Demi Allah, dia selayaknya memegang kepimpinan pasukan ini. Demi Allah, dia adalah seorang yang paling saya kasihi. Demi Allah, dia selayaknya memegang kepimpinan pasukan ini. Demi Allah, dia seorang yang paling saya kasihi selepas ayahnya. Oleh kerana itu saya berpesan kepada saudara-saudara, sesungguhnya dia adalah antara orang-orang saleh di kalangan saudara-saudara." - Hadith No. 1681 dalam kitab Ringkasan Sahih Muslim
Daripada kata-kata Nabi Muhammad itu, beberapa teknik yang digunakan oleh Nabi Muhammad:
1. Beliau menggunakan perkataan 'jikalau' dalam ayat "Jikalau saudara-saudara mengkritik kepimpinan Usamah bin Zaid...." Perkataan 'jikalau' itu menyebabkan beliau dipersepsi sebagai tidak menuduh mana-mana pihak dengan tuduhan yang tepat.
2. Beliau tidak menegur sikap dan perbuatan golongan yang mengkritik pelantikan Usamah, yakni Nabi Muhammad tidak mengatakan apa yang mereka lakukan itu adalah melawan ketua dan salah besar.
3. Beliau mengatakan Usamah layak menjadi pemimpin, tetapi beliau tidak menerangkan satu persatu ciri-ciri yang ada pada diri Usamah yang melayakkan dia menjadi pemimpin.
4. Beliau empat kali bersumpah, "Demi Allah,..."
5. Beliau memuji kepimpinan ayah Usamah, Zaid bin Harithah.
6. Beliau mengistiharkan kasih beliau kepada Zaid dan Usamah.
7. Beliau dua kali mengulang kenyataan "Demi Allah, dia selayaknya memegang kepimpinan pasukan ini."
8. Beliau menamatkan ucapan dengan mengatakan bahawa Usamah adalah orang yang saleh sebagaimana mereka semua adalah orang-orang yang saleh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan