Tugas trainer adalah memberikan skill, skill, skill. Tugas trainer bukan membetulkan kepercayaan dan sikap-sikap buruk peserta.
Menurut ahli-ahli psikologi, sikap adalah pancaran sistem kepercayaan seseorang. Oleh yang demikian, sikap berubah apabila sistem kepercayaan itu berubah. Tingkah laku pula adalah pancaran sikap. Tingkah laku berbubah apabila sikap berubah.
Sebagai contoh, apabila seseorang sangat percaya kepada perkara-perkara tahyul, maka sikapnya terhadap tahyul akan selaras dengan kepercayaannya itu. Walaupun ada pihak mengatakan itu tahyul semata-mata, namun dia percaya perkara itu benar, bukan tahyul. Sikapnya itu menyebabkan dia melakukan perbuatan-perbuatan yang selaras dengan sikapnya itu.
Di kalangan staf organisasi, setiap orang staf mempunyai jumlah kepercayaan yang tidak terhitung banyaknya. Sebagai contoh, ada staf yang percaya mereka tidak perlu melakukan lebih banyak kerja daripada apa yang diarahkan oleh ketua. Ada pula staf yang percaya pekerjaannya hanyalah cara dia mencari makan.
Tugas mengubah sistem kepercayaan bukan tugas trainer. Ia adalah tugas pakar-pakar dalam bidang-bidang lain, seperti pakar psikologi dan pakar agama.
Namun ada pakar-pakar yang berpendapat bahawa fungsi terpenting kepimpinan dalam organisasi adalah mengubah sikap staf. Hasil kajian projek ini mendapati Nabi Muhammad menjalankan fungsi mengubah sistem kepercayaan anak-anak buahnya. Dengan perubahan kepercayaan itu, sikap mereka berubah, dan seterusnya tingkah laku mereka berubah. Kepimpinan jenis inilah yang disebut dengan istilah transformational leadership. Bagi melaksanakan kepimpinan transformasi, ertinya ketua-ketua dalam organisasi memerlukan kompetensi bagi menjalankan fungsi itu.
Nota: Kajian ini menggali strategi, prinsip, teknik, prosedur dan prioriti yang digunakan oleh Nabi Muhammad bagi dijadikan konten dalam modul latihan bagi meningkat kompetensi peserta kursus.