Nabi Muhammad Mendorong dengan Tidak Menggunakan Kata Gantinama Orang Kedua

Nabi Muhammad adalah seorang motivator yang sangat mahir. Beliau dapat mendorong orang-orang di sekelilingnya mengubah sikap dan tingkah laku buruk mereka sehingga menjadi orang-orang yang baik dan mulia.

Apabila Nabi Muhammad bercakap dengan tujuan mahu mendorong orang supaya melakukan perkara-perkara baik, kata-kata yang beliau gunakan menyebabkan orang menerima dorongannya itu dengan perasaan positif.

Dalam rekod sejarah terdapat banyak catatan yang menunjukkan bagaimana Nabi Muhammad mendorong orang supaya melakukan perkara-perkara yang baik.

Di bawah ini adalah salah satu contoh catatan sejarah bagaimana Nabi Muhammad mendorong orang supaya bersedekah dan menderma.

Abu Musa memberitahu bahawa Nabi Muhammad berkata, "Bagi setiap Muslim itu hendaklah bersedekah." Orang ramai bertanya, "Jika tidak mampu?" Nabi menjawab, "Bekerja dengan tangannya untuk manfaat dirinya kemudian bersedekah." Mereka bertanya, "Jika tidak mampu?" Nabi menjawab, "Membantu orang yang betul-betul berhajat." Mereka bertanya, "Jika tidak mampu?" Nabi menjawab, "Menganjurkan kebaikan." Mereka bertanya, "Jika tidak mampu?" Nabi menjawab, "Menahan diri daripada kejahatan, sesungguhnya ia sedekah untuk dirinya sendiri." - Hadith ini terdapat dalam rekod Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim

Antara ciri percakapan Nabi Muhammad adalah:

1. Nabi Muhammad sama sekali tidak bercakap dengan menggunakan kata ganti nama orang kedua. Kata gantinama orang kedua adalah: kamu, awak, kau, engkau, anda, saudara, tuan, puan, you, anta, enti.

2. Nabi Muhammad menggunakan kata gantinama orang ketiga, yakni 'nya'. Kata gantinama orang ketiga adalah: dia, beliau, mereka, nya, they.

Apabila seseorang itu bercakap dengan tidak menggunakan kata gantinama orang kedua, kesan positifnya adalah:

1. Target tidak berasa diri mereka 'diajar-ajar' dan diperbodohkan.

2. Target tidak berasa diri mereka dikritik, ditegur, dinasihati, dimarahi dan dileteri.

3. Target berasa mereka sedang mendengar informasi semata-mata.


.

Mudahnya Nabi Muhammad Memberi Gelaran

Nabi Muhammad seorang ketua kerja yang sangat berpengaruh. Orang sanggup bermati-matian ikut sama menjalankan kerja-kerja yang beliau lakukan.

Salah satu faktor yang mendorong orang suka bekerja di bawah pimpinan Nabi Muhammad adalah sikap beliau yang murah dengan puji-pujian.

Dalam rekod sejarah terdapat banyak catatan yang menunjukkan pelbagai teknik Nabi Muhammad memuji anak-anak buahnya. Salah satu daripada teknik itu adalah dengan memberikan gelaran kepada mereka.

Sahabat Nabi Muhammad yang bernama Jabir bin Abdillah melaporkan bahawa pada hari berlakunya Perang Khandaq, Nabi Muhammad telah mengumumkan panggilan perang, lalu Zubair bin Awam menyahut panggilan perang itu. Selepas itu, sekali lagi Nabi Muhammad menyeru panggilan perang, lalu sekali lagi Zubair bin Awam menyahut panggilan itu. Kemudian, sekali lagi Nabi Muhammad menyeru panggilan perang, lalu sekali lagi Zubair bin Awwam menyahut panggilan itu. Lalu Nabi Muhammad berkata, “Sesungguhnya, tiap-tiap nabi mempunyai pembela, dan pembela saya adalah Zubair.” - Hadith nombor 1643 dalam kitab Ringkasan Sohih Muslim

Gelaran 'pembela' itu diberikan kepada Zubair meskipun Zubair hanya menyahut panggilan sahaja. Yakni Zubair hanya bercakap sedikit.

Pada saat gelaran itu diberikan kepadanya, Zubair belum melakukan apa-apa. Beliau baru menyahut panggilan sebanyak 3 kali, namun Nabi Muhammad sudah memberikan gelaran yang sangat istimewa kepadanya.


Contoh menyahut panggilan:

* “Siapa mahu ikut saya pergi buat kerja gotong-royong di masjid?”
Ada orang menjawab, “Saya!"



.