Nabi Muhammad Tutup Mata pada Kesalahan

Anas melaporkan, pada suatu hari ada seorang lelaki datang dan dia terus masuk barisan orang-orang yang sedang sembahyang, dengan nafasnya termengah-mengah kerana terkocoh-kocoh mengejar waktu sembahyang, sambil membaca 'Alhamdulillahi hamdan kasiran thoyiban mubarakan fih.' Selepas selesai sembahyang, Nabi Muhammad bertanya, “Siapakah tadi yang mengucapkan kata-kata itu?” Semua orang yang ada diam sahaja, tidak seorang pun menjawab. Nabi Muhammad bertanya lagi, “Siapakah tadi yang mengucapkan kata-kata itu? Sebenarnya dia tidak mengucapkan sesuatu yang berdosa.” Lalu seorang lelaki berkata, “Tadi saya datang dengan termengah-mengah, lalu saya ucapkan kata-kata itu.” Kemudian, Nabi Muhammad berkata, “Sungguh, saya nampak 12 orang malaikat berebut-rebut mengangkat kata-kata itu.” -- Hadith No. 271 dalam kitab Ringkasan Sahih Muslim

Nota: 'Alhamdulillahi hamdan kasiran thoyiban mubarakan fih.' bermakna 'Segala puji bagi Allah, pujian yang banyak, bagus, lagi penuh kebaikan.'

Di dalam hadith ini, lelaki itu melakukan perkara-perkara yang salah dan juga perkara-perkara yang betul.

Kesalahan yang dilakukan oleh lelaki itu:

1. Lelaki itu datang lambat. Orang lain sudah mula bersembahyang dia baru sampai dalam keadaan terkocoh-kocoh.

2. Dia bercakap kuat di dalam masjid sampai Nabi Muhammad yang khusyuk itu pun dapat mendengar suaranya.

3. Apabila ditanya oleh Nabi Muhammad siapa yang bercakap kuat tadi, dia tidak mengaku.

Kebaikan yang dilakukan oleh lelaki itu:

1. Datang lambat bukanlah perbuatan berdosa, cuma kuranglah pahalanya. Walaupun dia datang lambat, tetapi dia datang juga ke masjid.

2. Dia sempat ikut sembahyang berjemaah. 

3. Walaupun dia bercakap kuat, tetapi kata-kata yang diucapkannya adalah kata-kata yang bagus, kerana dia memuji-muji Allah.

4. Walaupun dia lambat, sampai dalam keadaan terkocoh-kocoh dan termengah-mengah, dia tetap ingat kepada Allah, dan mulutnya memuji-muji Allah.

5. Tidak ada sesiapa menyuruh dia berzikir tetapi dia mengambil inisiatif melakukan perbuatan baik itu.

6. Seni kata dalam bacaan zikirnya itu adalah ciptaannya sendiri.

Nabi Muhammad memuji senikata zikir ciptaan lelaki itu: “Sungguh, saya nampak 12 orang malaikat berebut-rebut mengangkat kata-kata itu.”

Strategi Politik-Psikologi Nabi Muhammad Menjaga Perpaduan dalam Barisan Kepimpinan

Abdullah bin Abi Aufa melaporkan bahawa Abdul Rahman bin Auf pernah mengadu kepada Nabi Muhammad tentang Khalid al-Walid. Lalu Nabi Muhammad berkata kepada Khalid, "Wahai Khalid, janganlah saudara menyakiti lelaki yang menjadi anggota tentera Perang Badar. Andai kata saudara bersedekah dengan emas sebesar Gunung Uhud, tentu saudara masih tidak dapat menyaingi amalannya." Khalid al-Walid pun berkata, "Wahai Rasul Allah, mereka menuduh saya, sedangkan yang dimaksudkan adalah mereka." Nabi Muhammad berkata, "Janganlah menyakiti Khalid, sesungguhnya dia adalah pedang daripada pedang-pedang Allah 'azza wa jalla. Allah menghantarkan dia bagi memerangi orang-orang kafir." - Hadith ini direkodkan dalam koleksi hadith-hadith autentik Ibn Hibban

Dalam sesebuah oragnisasi, sama ada parti politik, persatuan mahupun syarikat ada dua peringkat perpaduan:

1. Perpaduan dalam kalangan anggota barisan kepimpinan

Mereka yang berada dalam posisi barisan kepimpinan adalah tokoh-tokoh yang memegang jawatan-jawatan penting dalam organisasi. Disebabkan jawatan-jawatan itu penting, maka lazimnya mereka yang terpilih mengisi jawatan-jawatan itu adalah individu-individu yang berbakat dan berpengaruh.

Menjaga perpaduan dalam barisan kepimpinan adalah sangat kritikal. Disebabkan mereka adalah individu-individu yang berpengaruh, apabila perpecahan berlaku dalam kalangan ini, perpecahan itu akan merebak ke dalam setiap lapisan anggota pertubuhan.

2. Perpaduan dalam kalangan anggota biasa

Golongan ini adalah anggota biasa, yakni mereka yang tidak mengisi jawatan-jawatan penting. Golongan ini lazimnya tidak memiliki bakat kepimpinan, dan tidak memiliki daya pengarauh yang tinggi.

Anggota-anggota biasa lazimnya mudah terpengaruh oleh individu-individu yang duduk dalam barisan kepimpinan. Apabila barisan kepimpinan berpecah, golongan ini pasti berpecah.

Khalid al-Walid dan Abdul Rahman bin Auf adalah dua nama besar dalam sejarah Islam. Kedua-duanya termasuk dalam senarai 10 orang yang dijamin masuk syurga. Hadith di atas melaporkan peristiwa apabila 2 orang tokoh itu berkonflik. Bagi menamatkan konflik antara Khalid al-Walid dan Abdul Rahman bin Auf, Nabi Muhammad memberitahu mereka berdua bahawa masing-masing sama-sama tidak boleh disakiti. Alasan yang diberitahukan adalah disebabkan mereka berdua sama-sama telah memberikan jasa yang besar kepada oragisasi, dalam hal mereka itu, jasa mereka adalah kepada perjuangan Islam.

Strategi Nabi Muhammad:

1. Mengalihkan pandangan kedua-dua pihak yang bermusuhan itu daripada melihat kelemahan dan kesalahan musuhnya kepada melihat kehebatan dan kemuliaan musuh. Ini dilakukan supaya perasaan benci-membenci dialihkan kepada perasaan saling hormat-menghormati dan kagum-mengagumi.

Dalam peristiwa itu Nabi Muhammad memberitahu kehebatan dan kemuliaan Khalid al-Walid kepada Abdul Rahman bin Auf, dan menerangkan kehebatan dan kemuliaan Abdul Rahman bin Auf kepada Khalid al-Walid.

Kepada Khalid al-Walid Nabi Muhammad berkata: "Wahai Khalid, janganlah saudara menyakiti lelaki yang menjadi anggota tentera Perang Badar. Andai kata saudara bersedekah dengan emas sebesar Gunung Uhud, tentu saudara masih tidak dapat menyaingi amalannya."

Kepada Abdul Rahman bin Auf Nabi Muhammad berkata: "Janganlah menyakiti Khalid, sesungguhnya dia adalah pedang daripada pedang-pedang Allah 'azza wa jalla. Allah menghantarkan dia bagi memerangi orang-orang kafir."

2. Menukar perasaan sakit hati dan benci terhadap musuhnya kepada perasaan menghormati, memuliakan dan mengagumi musuhnya.

Dalam peristiwa di atas, Nabi Muhammad sama sekali tidak bertanya tentang apa yang sebenarnya telah berlaku sehingga menyebabkan 2 orang tokoh itu sakit hati dan berkonflik. Sebaliknya beliau menerangkan kehebatan masing-masing. Teknik yang beliau gunakan adalah menggantikan perasaan sakit hati kepada perasaan suka dan puas hati hasil menerima pujian daripada pucuk pimpinan.

3. Memperkenalkan peraturan interaksi sosial yang dikenakan ke atas kedua-dua belah pihak.

Dalam peristiwa itu Nabi Muhammad memberitahu Abdul Rahman bin Auf supaya tidak menyakiti Khalid dal-Walid, dan memberitahu Khalid al-Walid supaya tidak menyakiti Abdul Rahman bin Auf.



Contoh Konten dalam Modul "Kursus Teknik Motivasi Khusus untuk Ketua-Ketua"

NOTA: Ini adalah contoh konten "Kursus Teknik Motivasi Khusus untuk Ketua-Ketua"
Topik Kursus: Menangani Perasaan Tidak Puas Hati Staf

Hadis rujukan:
Anas bin Malik adalah salah seorang sahabat Nabi Muhammad. Dia melaporkan suatu peristiwa yang dia pernah saksikan. Menurutnya, pernah berlaku pada suatu masa ada dua orang lelaki bersin dekat dengan Nabi Muhammad. Nabi Muhammad berdoa untuk salah seorang daripada mereka berdua dengan ucapan, "Yaharmukallah." Manakala yang seorang lagi pula bersin tetapi tidak didoakan oleh Nabi Muhammad. Lelaki itu tidak puas hati lalu berkata, "Mengapakah apabila si polan bersin, tuan mendoakan dia, tetapi apabila saya bersin, tuan tidak mendoakan saya?" Nabi Muhammad menjawab, "Selepas dia bersin, dia membaca Alhamdulillah, sedangkan saudara tidak membaca Alhamdulillah." - Hadith No. 186 dalam kitab Ringkasan Sahih Muslim

Kandungan kursus:

Ganjaran yang diterima dari ketua adalah salah satu faktor yang dapat mencipta banyak kesan-kesan positif ke atas semangat kerja kerana ganjaran dapat menghasil kesan-kesan berikut:

1. Orang yang menerima ganjaran itu berasa yakin sumbangannya diiktiraf sebagai penting oleh ketua.

2. Penerima ganjaran berasa yakin dirinya dan pekerjaannya dihargai.

3. Mereka mempunyai persepsi positif terhadap ketua.

4. Ganjaran dapat meningkatkan self-esteem mereka yang menerimanya.

Namun ganjaran juga berfungsi sebagai salah satu punca timbulnya perasaan tidak puas hati. Malah ganjaran boleh menyebabkan mereka yang tidak diberi ganjaran berasa malu dan maruah mereka jatuh kerana dari satu sudut, tidak diberi ganjaran adalah suatu hukuman!

Pada dasarnya ganjaran adalah alat bagi meningkatkan motivasi kerja. Namun ganjaran yang diberikan kepada satu pihak boleh mencipta kesan-kesan negatif ke atas pihak-pihak lain. Manakala pihak yang menerima ganjaran naik motivasinya namun yang lain-lain jatuh motivasi mereka.

Tujuan ganjaran diberikan adalah:

1. Mendorong mereka yang diberi ganjaran itu supaya meneruskan dan meningkatkan lagi tingkah lakunya yang baik.

2. Mendorong orang-orang lain yang tidak menerima ganjaran supaya ikut mencontohi apa yang dilakukan oleh mereka yang diberi ganjaran.

Strategi bagaimana Nabi Muhammad menggunakan ganjaran sebagai pendorong perubahan tingkah laku:

1. Ganjaran diberikan apabila seseorang itu melakukan sesuatu pekerjaan dengan teknik yang betul.

2. Bagi pekerja yang melakukan pekerjaan yang sama tetapi tekniknya salah, Nabi Muhammad mendorong dia supaya memperbaiki teknik kerjanya dengan menunjukkan kepadanya ganjaran yang diterima oleh orang lain yang melakukan kerja itu dengan teknik yang betul.

3. Kepada pekerja yang melakukan kerja dengan teknik yang salah, berikut adalah strategi Nabi Muhammad mendorong dia mengubah sikap dan tingkah lakunya:

i. Orang itu tidak diberi ganjaran.

ii. Hasil kerjanya yang salah itu tidak dikritik.

iii. Orang itu tidak dihukum kerana tidak pandai membuat kerja dengan cara yang betul.

iv. Kesalahannya itu dibiarkan sahaja.

v. Dia diberi peluang melihat bagaimana orang lain yang membuat kerja dengan teknik betul menerima ganjaran.

vi. Apabila dia tidak puas hati, diterangkan kepadanya faktor yang menyebabkan orang lain diberi ganjaran dan mengapa dia tidak diberi ganjaran.

Hadith 'Bersin' adalah hadith yang paling jelas menunjukkan cara bagaimana Nabi Muhammad menangani perasaan tidak puas hati anak buahnya yang tidak menerima ganjaran. Dalam hadith ini perasaan tidak puas hati timbul apabila ada 2 orang yang melakukan pekerjaan yang sama, tetapi ganjaran yang diterima dari ketua tidak sama.

Faktor-faktor yang menimbulkan perasaan tidak puas hati adalah:

1. Orang itu yakin dia dan pihak yang satu lagi telah melakukan pekerjaan yang sama.

2. Orang itu yakin dirinya berhak menerima layanan yang sama baik dengan layanan yang diterima oleh pihak yang satu lagi.

3. Orang itu tidak tahu rasional di sebalik perbezaan layanan yang diberikan oleh ketua.

Kemahiran menangani perasaan tidak puas hati adalah sangat kritikal bagi mengekalkan produktiviti yang tinggi. Orang yang tidak puas hati boleh melakukan perkara-perkara berikut:

1. Menganggap ketuanya tidak adil, zalim, berat sebelah, memilih bulu.

2. Berasa dirinya telah dianiaya oleh ketua.

3. Dia akan bercerita kepada rakan-rakan sekerjanya dan menghasut mereka supaya membenci ketua.

4. Dia membenci rakan sekerja yang menerima ganjaran lebih dan memfitnah raknnya itu menerima ganjaran lebih kerana pandai menggunakan cara-cara yang tidak beretika bagi menyukakan hati ketua.

5. Semangat dan motivasi kerjanya jatuh menyebabkan produktivitinya jatuh.

6. Dia menyebabkan berlakunya pecah-belah dan fenomena berpuak-puak dalam kalangan rakan-rakan sekerja.

7. Dia berasa kecil hati lalu menjauhkan diri dari ketua, dan tidak mahu memberikan kerjasama dan sokongan kepada ketua.

8. Dia mungkin memburuk-buruk oragnisasinya kepada orang luar.

9. Dia mungkin keluar, tarik diri ataupun berhenti kerja dan mencari pekerjaan di tempat lain.

Dalam kes hadith ini, ada 2 orang yang sama-sama bersin. Yang satu didoakan oleh Nabi Muhammad, manakala yang seorang lagi tidak. Pihak yang tidak menerima doa itu telah menyuarakan perasaan tidak puas hatinya dengan bertanya kepada Nabi Muhammad mengapa yang seorang itu didoakan tetapi dirinya tidak didoakan.

Cara memberikan respon yang betul kepada orang yang tidak puas hati adalah dengan menerangkan peraturan yang ada di sebalik ganjaran yang diberikan. Nabi Muhammad berkata: "Selepas dia bersin, dia membaca Alhamdulillah, sedangkan saudara tidak membaca Alhamdulillah."

Apabila menangani perasaan tidak puas hati, beberapa perkara yang tidak dilakukan oleh Nabi Muhammad adalah:

1. Nabi Muhammad tidak memberi ganjaran kepada orang yang melakukan pekerjaan tetapi tekniknya salah. Tetapi orang itu tidak juga dikritik, setakat didiamkan sahaja. Strategi ini sangat penting.

2. Dalam hadith ini Nabi Muhammad menunjukkan bagaimana orang yang tidak diberi ganjaran tidak boleh dijatuhkan maruahnya.

3. Bagi menjaga maruah orang yang tidak diberi ganjaran, Nabi Muhammad melakukan perkara-perkara berikut:

i. Nabi Muhammad tidak memarahi orang yang tidak puas hati itu dengan berkata:

* "Kenapa? Kamu cemburu?" (SALAH)
* "Kamu jangan dengki." (SALAH)
* "Tidak baik kamu iri hati." (SALAH)
* "Kamu memang suka komplen." (SALAH)

ii. Nabi Muhammad tidak menasihati orang yang tidak puas hati itu dengan berkata:

* "Buat kerja kamu elok-elok." (SALAH)
* "Kalau kamu hendak saya doakan, kamu buatlah macam dia." (SALAH)
* "Kamu kenalah perbaiki cara kerja awak." (SALAH)
* "Buat kerja kamu dengan penuh tanggungjawab." (SALAH)

iii. Nabi Muhammad tidak membanding-bandingkan orang yang tidak puas hati itu dengan orang yang menerima ganjaran dengan berkata:

* "Kerja dia elok. Kerja kamu buruk!" (SALAH)
* "Dia pandai buat kerja. Kamu tak pandai." (SALAH)
* "Dia layak menerima ganjaran. Kamu tidak layak." (SALAH)
* "Lain kali awak kenalah buat kerja elok-elok macam Si Fulan, barulah saya beri awak ganjaran macam dia juga." (SALAH)

iv. Nabi Muhammad tidak mengkritik orang yang tidak puas hati itu dengan berkata:

* "Cara kamu bersin itu salah." (SALAH)
* "Kerja kamu tidak berkualiti." (SALAH)
* "Betulkan cara kerja kamu." (SALAH)
* "Sikap awak itu tidak betul. Awak mahu supaya saya beri ganjaran, tetapi kerja awak tidak semenggah!" (SALAH)

Nabi Muhammad adalah seorang ketua. Salah satu tugas ketua adalah memberi ganjaran kepada anak-anak buahnya apabila mereka melakukan kerja dengan cara yang betul. Ganjaran yang diberikan oleh ketua boleh menyebabkan timbulnya perasaan tidak puas hati kepada yang tidak menerima ganjaran. Perkara ini berlaku disebabkan mereka tidak mengetahui kriteria yang digunakan oleh ketua apabila memberikan ganjaran kepada anak-anak buahnya.
 

Teknik Bagaimana Nabi Muhammad Menangani Perasaan Tidak Puas Hati

Nabi Muhammad adalah seorang ketua. Salah satu tugas ketua adalah memberi ganjaran kepada anak-anak buahnya apabila mereka melakukan kerja dengan cara yang betul. Ganjaran yang diberikan oleh ketua boleh menyebabkan timbulnya perasaan tidak puas hati kepada yang tidak menerima ganjaran. Perkara ini berlaku disebabkan mereka tidak mengetahui kriteria yang digunakan oleh ketua apabila memberikan ganjaran kepada anak-anak buahnya. Hadith di atas menunjukkan cara bagaimana Nabi Muhammad menangani perasaan tidak puas hati daripada anak buahnya yang tidak menerima ganjaran

Hadis 'Bersin'
Anas bin Malik adalah salah seorang sahabat Nabi Muhammad. Dia melaporkan suatu peristiwa yang dia pernah saksikan. Menurutnya, pernah berlaku pada suatu masa ada dua orang lelaki bersin dekat dengan Nabi Muhammad. Nabi Muhammad berdoa untuk salah seorang daripada mereka berdua dengan ucapan, "Yaharmukallah." Manakala yang seorang lagi pula bersin tetapi tidak didoakan oleh Nabi Muhammad. Lelaki itu tidak puas hati lalu berkata, "Mengapakah apabila si polan bersin, tuan mendoakan dia, tetapi apabila saya bersin, tuan tidak mendoakan saya?" Nabi Muhammad menjawab, "Selepas dia bersin, dia membaca Alhamdulillah, sedangkan saudara tidak membaca Alhamdulillah." Hadith No. 186 dalam  Ringkasan Sahih Muslim

Apabila ada 2 orang yang melakukan pekerjaan yang sama, tetapi ganjaran yang diterima dari ketua tidak sama, perasaan tidak puas hati tentu timbul. Faktor yang menimbulkan perasaan tidak puas hati adalah:

1. Orang itu yakin dia dan pihak yang satu lagi telah melakukan pekerjaan yang sama.

2. Orang itu yakin dirinya berhak menerima layanan yang sama baik dengan layanan yang diterima oleh pihak yang satu lagi.

3. Orang itu tidak tahu rasional di sebalik perbezaan layanan yang diberikan oleh ketua.

Dalam kes hadith ini, ada 2 orang yang sama-sama bersin. Yang satu didoakan oleh Nabi Muhammad, manakala yang seorang lagi tidak. Pihak yang tidak menerima doa itu telah menyuarakan perasaan tidak puas hatinya dengan bertanya kepada Nabi Muhammad mengapa yang seorang itu didoakan tetapi dirinya tidak didoakan.

Cara memberikan respon yang betul kepada orang yang tidak puas hati adalah dengan menerangkan peraturan yang ada di sebalik ganjaran yang diberikan. Nabi Muhammad berkata: "Selepas dia bersin, dia membaca Alhamdulillah, sedangkan saudara tidak membaca Alhamdulillah." 

.

Teknik Bagaimana Nabi Muhammad Mendorong Orang Supaya Suka Bertanya

Abu Hurairah menceritakan bahawa beliau pernah bertanya kepada Nabi Muhammad, "Wahai Rasul Allah, siapakah manusia yang paling bahagia kerana mendapat syafaat tuan pada hari kiamat?" Nabi Muhammad menjawab, "Sesungguhnya saya menyangka, wahai Abu Hurairah, bahawa tidak akan ada seorang pun yang bertanya kepada saya tentang hadith ini lebih dahulu daripada saudara. Saya lihat saudara amat serius tentang hadith. Manusia yang paling bahagia mendapat syafaat saya pada hari kiamat adalah sesiapa yang berkata La ilaha illa Allah dengan ikhlas dari lubuk jiwanya." - Hadith ini direkodkan dalam koleksi hadith autentik al-Bukhari

Aplikasi hadith:

Hadith ini sesuai digunakan dalam proses mengajar.

1. Puji pelajar yang paling awal bertanya.

2. Puji perbuatan dia bertanya itu, kemudian baru jawab pertanyaannya.

Teknik Nabi Muhammad:

1. Nabi Muhammad mendahulukan memuji perbuatan Abu Hurairah bertanya, kemudian barulah beliau menjawab pertanyaan Abu Hurairah itu.

2. Isi kandungan kata-kata pujian Nabi Muhammad kepada Abu Hurairah itu ada 2 bahagian:

i. Beliau memang sudah menduga Abu Hurairah menjadi orang yang pertama sekali bertanya.

ii. Bahawa Abu Hurairah seorang yang sangat serius tentang hadith.

Teknik dalam hadith ini dapat mendorong pelajar-pelajar berebut-rebut menjadi orang pertama bertanya.


Apabila Nabi Muhammad Menolak Permintaan, Beliau Tidak Memberi Sebarang Janji

Ali bin Abu Talib adalah menantu kepada Nabi Muhammad. Beliau melaporkan bahawa isterinya, Fatimah binti Muhammad, pernah meminta kepada ayahnya supaya dia diberi seorang pembantu rumah. Nabi Muhammad menjawab dengan berkata, "Mahukah ayahanda beritahu sesuatu yang lebih baik untuk anakanda berdua dibandingkan dengan seorang pembantu rumah? Apabila anakanda berdua pergi ke katil kamu, ataupun anakanda pergi ke tempat tidur kamu berdua, bacalah takbir 33 kali, dan baca tasbih 33 kali, dan baca tahmid 33 kali. Itul adalah lebih baik bagi anakanda berdua daripada seorang pembantu rumah." -- Hadith ini dipetik dari rekod hadith autentik dalam koleksi Bukhari

Salah satu perkara yang sukar hendak dilakukan adalah menolak permintaan dari orang yang sangat dikasihi ataupun sangat dihargai kehadiran mereka. Ia menjadi lebih sukar dilakukan apabila kita berasa tidak sampai hati hendak menolaknya kerana perkara yang diminta itu adalah perkara yang sangat diperlukan.

Contoh orang yang dikasihi adalah pasangan, anak-anak, ibu bapa, adik beradik dan kaum kerabat.

Contoh orang yang sangat dihargai adalah pekerja dalam syarikat kita, pelanggan, orang-orang bawahan, anggota persatuan kita, para pengundi kita, penyokong-penyokong kita dan lain-lain.

Salah satu amalan lazim yang dilakukan apabila menolak permintaan adalah memberikan janji bahawa pada masa hadapan apabila keadaan mengizinkan maka kita akan berikan apa yang diminta. Tujuan kita berjanji itu adalah bagi mengurangkan perasaan kecewa dan hampa. Hal seperti ini tidak dilakukan oleh Nabi Muhammad.

Menolak permintaan dan kemudian memberikan janji boleh mencipta risiko lain:

i. Orang itu menjadi sangat mengharap-harapkan bahawa perkara yang dimintanya itu pasti diberikan.

ii. Semakin lama kita belum dapat memenuhi janji yang diberikan, semakin lama orang itu menunggu.

iii. Akibat lama menunggu orang itu boleh kehilangan semangat. Sepanjang tempoh dia menunggu-nunggu itu motivasinya jatuh.

iv. Kita mungkin terlupa bahawa kita pernah berjanji, lalu kita tidak memberikan apa yang diminta meskipun pada waktu itu kita sudah mampu. Kita mungkin terlupa janji kita, tetapi orang itu tidak pernah lupa bahawa kita pernah berjanji kepadanya. Akibatnya lain kali dia tidak percaya lagi dengan cakap kita.

Strategi Bagaimana Nabi Muhammad Menjaga Perpaduan dalam Barisan Kepimpinan

Abdullah bin Abi Aufa melaporkan bahawa Abdul Rahman bin Auf pernah mengadu kepada Nabi Muhammad tentang Khalid al-Walid. Lalu Nabi Muhammad berkata kepada Khalid, "Wahai Khalid, janganlah saudara menyakiti lelaki yang menjadi anggota tentera Perang Badar. Andai kata saudara bersedekah dengan emas sebesar Gunung Uhud, tentu saudara masih tidak dapat menyaingi amalannya." Khalid al-Walid pun berkata, "Wahai Rasul Allah, mereka menuduh saya, sedangkan yang dimaksudkan adalah mereka." Nabi Muhammad berkata, "Janganlah menyakiti Khalid, sesungguhnya dia adalah pedang daripada pedang-pedang Allah 'azza wa jalla. Allah menghantarkan dia bagi memerangi orang-orang kafir." - Hadith ini direkodkan dalam koleksi hadith-hadith autentik Ibn Hibban

Khalid al-Walid dan Abdul Rahman bin Auf adalah dua nama besar dalam sejarah Islam. Kedua-duanya termasuk dalam senarai 10 orang yang dijamin masuk syurga. Hadith di atas melaporkan peristiwa apabila 2 orang tokoh itu berkonflik.

Dari hadith ini dapat disedut beberapa strategi yang digunakan oleh Nabi Muhammad dalam menghadapi situasi apabila 2 orang kuatnya berkonflik:

i. Tidak menyiasat punca konflik kepada kedua-dua pihak yang berkonflik itu.

ii. Tidak menyalahkan mana-mana pihak.

iii. Tidak menyebelahi mana-mana pihak.

iv. Kedua-dua belah pihak hadir bersama semasa pengaduan.

v. Tidak menyuruh kedua-dua pihak membela diri masing-masing.

vi. Kepada Khalid al-Walid Nabi Muhammad memberitahu Abdul Rahman bin Auf tidak boleh disakiti.

vii. Kepada Abdul Rahman bin Auf Nabi Muhammad memberitahu Khalid al-Walid tidak boleh disakiti.

viii. Kepada Khalid al-Walid Nabi Muhammad memberitahu status istimewa Abdul Rahman bin Auf yang sangat luar biasa.

iv. Kepada Abdul Rahman bin Auf Nabi Muhammad memberitahu stuatus istimewa Khalid al-Walid yang sangat luar biasa.

Nota:

1. Kepada Khalid al-Walid Nabi Muhammad menyebutkan status istimewa Abdul Rahman bin Auf:

i. Abdul Rahman bin Auf tidak boleh disakiti.

ii. Abdul Rahman ikut berperang dalam Perang Padang Badar, iaitu peperangan pertama dalam sejarah Islam. (Dalam peperangan itu Khalid al-Walid berperang dalam pasukan musuh kerana dia belum masuk Islam.)

iii. Abdul Rahman bin Auf adalah seorang pedagang yang kayaraya dan dia sangat banyak bersedekah. (Peperangan pertama Khalid al-Walid selepas dia masuk Islam adalah Perang Gunung Uhud.)

2. Kepada Abdul Rahman bin Auf Nabi Muhammad menyebutkan status istimewa Khalid al-Walid:

i. Khalid tidak boleh disakiti.

ii. Khalid diberi gelaran oleh Nabi Muhammad sebagai 'Pedang Allah'. (Abdul Rahman tiada mempunyai gelaran.)

iii. Bahawa Khalid adalah seorang yang dihantar oleh Allah bagi memerangi orang kafir.


.

Apabila Nabi Muhammad Menolak Permintaan Beliau Tidak Memberikan Alasan

Ali bin Abu Talib adalah menantu kepada Nabi Muhammad. Beliau melaporkan bahawa isterinya, Fatimah binti Muhammad, pernah meminta kepada ayahnya supaya dia diberi seorang pembantu rumah. Nabi Muhammad menjawab dengan berkata, "Mahukah ayahanda beritahu sesuatu yang lebih baik untuk anakanda berdua dibandingkan dengan seorang pembantu rumah? Apabila anakanda berdua pergi ke katil kamu, ataupun anakanda pergi ke tempat tidur kamu berdua, bacalah takbir 33 kali, dan baca tasbih 33 kali, dan baca tahmid 33 kali. Itu adalah lebih baik bagi anakanda berdua daripada seorang pembantu rumah." -- Hadith ini dipetik dari rekod hadith autentik dalam koleksi Bukhari

Salah satu perkara yang sukar hendak dilakukan adalah menolak permintaan dari orang yang sangat dikasihi ataupun sangat dihargai. Ia menjadi lebih sukar dilakukan apabila kita berasa tidak sampai hati hendak menolaknya kerana perkara yang diminta itu adalah perkara yang sangat diperlukan.

Dalam amalan lazim, kita percaya kita mesti memberikan alasan yang kuat kepada si peminta supaya dia faham mengapa permintaannya itu terpaksa ditolak. Ciri alasan yang kuat adalah:

1. Alasan itu perlu sangat logikal. Ini bermakna kita perlu mengemukakan hujah, bukti dan rasional yang kuat.

2. Alasan itu pula perlu dapat diterima oleh logik si peminta. Apa yang logikal kepada kita tidak semestinya logikal bagi si peminta.

3. Alasan yang kita berikan itu perlu dapat menjaga perasaan si peminta supaya meskipun permintaannya ditolak dia tidak berkecil hati.

Dalam hadith ini Nabi Muhammad menunjukkan prinsip dan teknik yang bertentangan dengan amalan lazim. Apabila Nabi Muhammad menolak permintaan Fatimah beliau tidak memberikan apa-apa alasan mengapa permintaan itu terpaksa ditolak.

Langkah memberikan pelbagai alasan hanya mencetuskan lebih banyak kesukaran:

1. Bagi setiap alasan yang kita berikan, orang itu dapat mencipta alasannya sendiri bagi menolak alasan kita itu.

2. Semakin banyak alasan yang kita berikan, dari sudut logiknya, semakin lemah alasan terbaru yang kita kemukakan. Alasan pertama sentiasa alasan paling kuat. Alasan berikutnya sentiasa semakin kurang kuat.

3. Dengan mengemukakan banyak alasan kita dipersepsi secara negatif, yakni semakin orang itu percaya kita sebenarnya tidak ikhlas semasa menolak permintaannya, bahawa kita sebenarnya hanya mementingkan diri sendiri.

4. Setiap alasan yang kita kemukakan hanya menambahkan lagi jumlah titik pertentangan pendapat.

5. Langkah mengemukakan banyak alasan mencipta kesan bahawa kita berada pada posisi kuasa yang lemah, dan memang ada benarnya bahawa orang yang banyak memberi alasan di sebalik keputusan yang diambilnya adalah orang yang lemah kuasanya. Sebaliknya juga begitu, di mana semakin banyak kuasa yang dimiliki semakin dfia tidak perlu memberikan alasan di sebalik keputusannya.


.

Apabila Menolak Permintaan, Nabi Muhammad Menggantikan dengan Alternatif yang Lebih Tinggi Nilainya

Hadith rujukan: Ali bin Abu Talib adalah menantu kepada Nabi Muhammad. Beliau melaporkan bahawa isterinya, Fatimah binti Muhammad, pernah meminta kepada ayahnya supaya dia diberi seorang pembantu rumah. Nabi Muhammad menjawab dengan berkata, "Mahukah ayahanda beritahu sesuatu yang lebih baik untuk anakanda berdua dibandingkan dengan seorang pembantu rumah? Apabila anakanda berdua pergi ke katil kamu, ataupun anakanda pergi ke tempat tidur kamu berdua, bacalah takbir 33 kali, dan baca tasbih 33 kali, dan baca tahmid 33 kali. Itul adalah lebih baik bagi anakanda berdua daripada seorang pembantu rumah." -- Hadith ini dipetik dari rekod hadith autentik dalam koleksi Bukhari

Situasi dalam hadith: Fatimah mempunyai 2 orang anak kembar lelaki yang masih kecil manakala suaminya pula seorang lelaki yang miskin. Pada suatu masa Fatimah meminta pembantu rumah dari ayahnya. Beliau tidak menolak permintaan Fatimah, tetapi beliau tidak dapat memberikan apa yang dimintanya.

Nabi Muhammad adalah seorang yang tidak pernah menolak harapan dan permintaan orang. Tetapi itu tidak bermakna segala yang diminta beliau berikan. Ada masanya beliau tidak dapat memberikan apa yang diminta. Dalam hal begitu, beliau memberikan pengganti.

Situasi lazim: Ada beberapa respon yang dapat diberikan apabila menerima permintaan orang:

+ Memberikan apa yang diminta.

+ Memberikan sebahagian daripada yang diminta.

+ Tidak menolak apa yang diminta, cuma tidak berdaya memberikannya.

+ Menolak apa yang diminta, kerana memang tidak setuju dengan permintaan itu.

+ Memberikan alternatif lain.

Risiko tidak memberikan apa yang diminta:

+ Berlaku kecederaan pada hubungan baik.

+ Timbul rasa kecewa, tidak puas hati dan hampa pada si peminta.

+ Hilang populariti dan sokongan.

+ Merosakkan dedikasi dan semangat kerja.

+ Menurunkan produktiviti.

+ Peminta yang kecewa memberikan reaksi negatif seperti tidak mahu memberikan kerjasama lagi.

Nabi Muhammad menunjukkan bagaimana caranya menolak permintaan tetapi pada waktu yang sama mencipta kesan positif ke atas orang yang permintaannya ditolak:

+ Orang itu tidak kecewa apabila permintaannya ditolak.

+ Dia berasa amat beruntung kerana diberikan sesuatu yang lebih berharga.

Teknik Nabi Muhammad: Apabila Nabi Muhammad tidak memenuhi permintaan Fatimah, beliau menggantikan permintaan yang tidak dapat diberikan itu dengan sesuatu yang lebih murah tetapi lebih berguna dan lebih berharga. Dalam kes ini, Fatimah meminta sesuatu yang bersifat material, yakni seorang pembantu, tetapi Nabi Muhammad memberikan sebagai gantinya suatu yang non-material, yakni suatu ilmu yang sangat tinggi nilainya namun sangat mudah menggunakannya.

Semasa menawarkan pengganti, Nabi Muhammad menyebutkan dengan jelas: "Mahukah ayahanda beritahu sesuatu yang lebih baik untuk anakanda berdua dibandingkan dengan seorang pembantu rumah?....” Di sini Nabi Muhammad menunjukkan pentingnya diberitahu lebih awal perkara yang akan ditawarkan itu adalah 'lebih baik'. Kemudian baru diberikan tawaran itu.

Sebelum memberitahu barang ganti yang ditawarkan itu, Nabi Muhammad bertanya dahulu: "Mahukah ayahanda beritahu....” Di sini Nabi Muhammad menunjukkan cara yang betul menawarkan barang ganti. Dengan bertanya "Mahukah ayahanda beritahu....” Fatimah tidak berasa dirinya dipaksa menerima sahaja barang ganti itu.

Nabi Muhammad tidak menunggu sehingga Fatimah menjawab. Beliau terus menyambung ayatnya dengan memaklumkan barang ganti yang diberikan itu: "Mahukah ayahanda beritahu sesuatu yang lebih baik untuk anakanda berdua dibandingkan dengan seorang pembantu rumah? Apabila anakanda berdua pergi ke katil kamu, ataupun anakanda pergi ke tempat tidur kamu berdua, bacalah takbir 33 kali, dan baca tasbih 33 kali, dan baca tahmid 33 kali. Itul adalah lebih baik bagi anakanda berdua daripada seorang pembantu rumah." Jika ditunggu Fatimah menjawab dahulu, besar kemungkinan Fatima akan menjawab dengan mengatakan dia tidak mahu barang ganti dan dia tetap mahukan seorang pembantu rumah. Memang lazimnya begitulah, orang yang meminta tidak mahu diberikan barang ganti lain.

Dalam ayat yang beliau ucapkan kepada Fatimah dan Ali, beliau menyebut frasa 'lebih baik' sebanyak 2 kali, sekali pada pembukaan tawaran dan sekali lagi pada penutup tawaran.

Perbezaan dengan amalan lazim: Lazimnya, apabila kita menolak permintaan kita menolak dengan melakukan dua perkara:

+ Tidak memberikan sebarang pengganti.

+ Jika diberikan pengganti, maka barang ganti itu adalah barang yang lebih murah.

Dalam hadith itu Nabi Muhammad memberikan barang ganti yang lebih murah tetapi nilainya sangat tinggi, sehingga Fatimah dan Ali berasa sangat puas hati meskipun permintaan mereka telah ditolak. Namun yang lebih istimewa dalam hadith ini adalah Nabi Muhammad menunjukkan TEKNIK yang betul yang digunakan semasa memberikan barang ganti itu. Ali dan Fatimah menerima baik pengganti itu disebabkan cara Nabi Muhammad memberikannya itu sangat baik dan betul.


Nabi Muhammad Menerangkan Bagaimana Orang Baik-Baik Menolong Kerja Syaitan

Abu Hurairah melaporkan, pada suatu hari ada seorang lelaki peminum arak dibawa ke hadapan Nabi Muhammad. Nabi Muhammad berkata, “Pukul dia.” Abu Hurairah melaporkan lagi, ada sebahagian orang yang ada di situ memukul lelaki itu dengan tangan, ada yang memukul dengan selipar, ada yang memukul dengan baju. Apabila hukuman seslesai dijalankan, ada seseorang berkata, “Moga-moga Allah merendahkan kamu!” Mendengar kata-kata itu Nabi Muhammad berkata, “Jangan kata begitu, kerana saudara menolong syaitan menguasai dirinya.” -- Hadith No. 2159 dalam kitab Ringkasan Sahih al-Bukhari

Hadith ini adalah hadith yang paling jelas menunjukkan Nabi Muhammad menegur seorang orang alim yang mengutuk pelaku dosa besar, di mana beliau menerangkan mengapa perbuatan mengutuk pedosa besar adalah salah.

Pada peristiwa itu ada seorang peminum arak dibawa ke hadapan Nabi Muhammad. Beliau pun menjatuhkan hukuman ke atas peminum arak itu.

Daripada teks hadith ini, kita dapat andaikan bahawa lelaki itu dibawa ke hadapan Nabi Muhammad dalam keadaan dia masih mabuk, kerana itulah Nabi Muhammad terus menjatuhkan hukuman.


Apabila peminum arak itu selesai menjalani hukuman ada seorang lelaki mengutuk dia dengan berkata, “Moga-moga Allah merendahkan kamu!” Kutukannya itu sangat berat sebab dia bukan sahaja mengutuk peminum arak itu, malah dia telah meminta supaya Allah mengutuknya juga.

Kita dapat andaikan bahawa si pengutuk adalah orang yang alim, yang baik amalan agamanya dan baik akhlaknya, di mana dia juga tidak meminum arak. Orang baik-baik sahaja yang berani secara terbuka mengutuk orang-orang yang tidak baik. Orang yang tidak meminum arak sahaja yang berani secara terbuka mengutuk orang yang minum arak.

Nabi Muhammad telah menegur si pengutuk dengan berkata: “Jangan kata begitu, kerana saudara menolong syaitan menguasai dirinya.”

NOTA: Hadith ini memberitahu bahawa perbuatan mengutuk secara terbuka orang Islam yang melakukan dosa besar adalah sebenarnya perbuatan menolong kerja-kerja syaitan. Pedosa yang dikutuk oleh orang alim akan membenci orang-orang alim. Apabila seseorang itu membenci orang-orang alim, maka pada saat itu dirinya sudah dikuasai oleh syaitan, dan akibatnya dia akan melakukan perkara-perkara yang syaitan mahukan, seperti membenci agama Islam, membenci ulamak, membenci ustaz-ustaz dan lain-lain.

.

Nabi Muhammad Menjaga Kepuasan Pelanggan

Seorang sahabat Nabi Muhammad yang bernama Huzaifah melaporkan, pada suatu hari ada rombongan wakil penduduk negeri Najran datang berjumpa Nabi Muhammad. Mereka berkata, “Wahai Rasul Allah, hantarkanlah untuk kami seorang lelaki yang dapat dipercayai.” Lalu Nabi Muhammad menjawab, “Baiklah, saya akan hantarkan seorang lelaki yang amat dipercayai. Dia benar-benar dipercayai. Benar-benar dipercayai.” Menurut Huzaifah, orang-orang pun memikir-mikirkan siapa gerangan lelaki itu. Akhirnya, terbukti Nabi Muhammad menghantarkan Abu Ubaidah bin Jarrah. - Hadith No. 1651 dalam kitab Ringkasan Sahih Muslim

Hadith ini adalah hadith yang paling jelas menunjukkan bagaimana Nabi Muhammad memenuhi permintaan klien dengan cara memberikan apa yang diminta itu tepat sebagaimana yang diminta, malah lebih baik lagi.

Penduduk negeri Najran baru sahaja menerima Islam. Mereka menghantar wakil berjumpa Nabi Muhammad dengan hasrat meminta supaya beliau menghantar seorang pegawai ke negeri mereka bagi membantu pengurus penduduk di negeri itu. Mereka menyebut dengan jelas kriteria pegawai tersebut sebagai 'seorang lelaki yang dapat dipercayai'.

Hadith ini juga menunjukkan teknik komunikasi interpersonal bagi meyakinkan hati orang dengan keyakinan yang sangat tinggi, iaitu dengan mengulang-ulang kata-kata orang itu sendiri. Dalam peristiwa itu rombongan dari negeri Najran menggunakan perkataan "....dapat dipercayai." Nabi Muhammad menjawab dengan menggunakan perkataan “...amat dipercayai. ....benar-benar dipercayai. Benar-benar dipercayai.”

Prinsip dalam hadith ini sangat relevan dalam dunia bisnes kerana ia seleras dengan fungsi memenuhi keperluan pelanggan dan meningkatkan kepuasan pelanggan. Dalam peristiwa itu rombongan dari Najran meminta orang yang 'DAPAT dipercayai'. Apa yang dilakukan oleh Nabi Muhammad, beliau memberikan orang yang 'AMAT dipercayai', malah orang yang 'BENAR-BENAR dipercayai.'


Nabi Muhammad Menegur Kesilapan Teknikal

Salah seorang sahabat Nabi Muhammad bernama Abu Musa. Dia melaporkan bahawa dia pernah bersama dengan Nabi Muhammad dalam satu perjalanan. Lalu ada orang-orang yang bertakbir dengan suara kuat. Nabi Muhammad berkata, "Wahai saudara-saudara sekalian, kasihanilah dirimu! Sesungguhnya kalian tidak berdoa kepada seorang yang tuli dan jauh, tetapi kalian berdoa kepada Zat yang maha mendengar lagi maha dekat, dan Dia bersama kalian." - Hadith nombor 1893 dalam kitab Ringkasan Sahih Muslim

Hadith ini adalah hadith paling jelas menunjukkan bagaimana suatu perbuatan salah yang dilakukan secara beramai-ramai telah ditegur oleh Nabi Muhammad. Dalam kes ini kesalahan yang dilakukan oleh kumpulan telah ditegur ke atas semua anggota kumpulan itu. Sebelum memberitahu apa kesalahan yang mereka lakukan, Nabi Muhammad terlebih dahulu berkata kepada mereka: "Wahai saudara-saudara sekalian, kasihanilah dirimu!...." Ayat itu dengan jelas menunjukkan bahawa teguran itu ditujukan kepada semua orang yang melakukan kesalahan itu.

Intipati hadith:

1. Apabila kesalahan dilakukan oleh sekumpulan orang, teguran diberikan kepada semua anggota kumpulan itu.

2. Kesalahan yang dilakukan itu adalah kesalahan teknikal berkenaan cara mereka menjalan suatu pekerjaan.

3. Mereka yang melakukan kesilapan teknikal itu diberi penerangan berkenaan perkara-perkara teknikal bagi menerangkan mengapa cara kerja mereka itu salah.

Aplikasi hadith:

1. Hadith ini adalah hadith teguran yang diberikan kepada sekumpulan orang yang telah melakukan suatu kesilapan teknikal secara beramai-ramai.

2. Dalam hadith ini mereka melakukan pekerjaan yang baik, yakni berzikir. Tetapi kesilapan yang mereka lakukan itu adalah kesilapan teknikal semasa mereka berzikir, di mana mereka berzikir dengan kuat.

3. Teguran itu diberikan serta-merta, yakni semasa kesilapan itu masih sedang dilakukan, yakni Nabi Muhammad tidak menggu mereka selesai berzikir baru teguran diberikan.

4. Perkara yang ditegur adalah kesilapan cara kerja mereka, bukan diri orang-orang yang melakukan perbuatan salah itu.

Contoh aplikasi teknik dalam hadith ini: Ada perempuan yang melakukan kesilapan apabila memakai tudung di mana jambulnya masih dapat dilihat. Memakai tudung adalah perbuatan yang betul. Kesilapannya adalah pada teknik tudung itu dipakai. Terangkan kepadanya teknik yang betul memakai tudung. Jangan dikritik, dikutuk dan jangan dihina diri perempuan itu.


Nabi Muhammad Melebih-lebihkan Pujian yang Diberikan

Muaz bin Jabal memberitahu bahawa beliau pernah bertanya kepada Nabi Muhammad: "Wahai Rasul Allah, terangkan kepada saya amalan yang dapat memasukkan saya ke dalam syurga." Nabi Muhammad berkata, "Bakh! Bakh! Sesungguhnya saudara telah bertanyakan suatu soalan yang agung. Ia menjadi mudah bagi sesiapa yang diberi kemudahan oleh Allah. Lakukanlah sembahyang yang ditetapkan, dan bayarlah zakat yang diwajibkan." - Hadith ini direkodkan dalam Musnad Abu Daud.

Nabi Muhammad adalah seorang yang pandai mendorong orang supaya suka menadah ilmu daripada beliau. Salah satu strategi yang beliau gunakan adalah dengan mendorong orang supaya berani bertanya dan tidak malu bertanya. Teknik yang digunakan adalah dengan memuji pertanyaan yang dikemukakan kepada beliau. Pujian yang diucapkan itu pula sangat besar.

Sebagai contoh, dalam hadith di atas Nabi Muhammad menggunakan perkataan 'agung' bagi memuji pertanyaan yang dikemukakan oleh Muaz bin Jabal, meskipun bagi orang yang berilmu soalan seperti itu mungkin dipersepsi sebagai biasa-biasa sahaja bunyinya.

Jawapan Nabi Muhammad kepada orang yang bertanya itu adalah: "Bakh! Bakh! Sesungguhnya saudara telah bertanyakan suatu soalan yang agung. Ia menjadi mudah bagi sesiapa yang diberi kemudahan oleh Allah. Lakukanlah sembahyang yang ditetapkan, dan bayarlah zakat yang diwajibkan."

Ayat jawapan Nabi Muhammad itu terdiri daripada 4 ayat. Tiga daripada 4 ayat itu adalah ayat pujian, manakala satu ayat adalah jawapan. Susunan jawapan itu pula, ayat-ayat pujian disebut dahulu, kemudian baru ayat jawapan. Malah, Nabi Muhammad membuka jawapannya dengan mengucapkan kata seruan kekaguman: Bakh! Bakh!

Ayat 1."Bakh! Bakh! = Kata seruan kagum.

Ayat 2. Sesungguhnya saudara telah bertanyakan suatu soalan yang agung. = Memuji perbuatan bertanya soalan yang agung.

Ayat 3. Ia menjadi mudah bagi sesiapa yang diberi kemudahan oleh Allah. = Memuji ciri soalan yang agung itu.

Ayat 4. Lakukanlah sembahyang yang ditetapkan, dan bayarlah zakat yang diwajibkan." = Jawapan kepada soalan.

Dalam bilik darjah, kursus, bengkel dan seminar, banyak pelajar dan hadirin takut-takut dan malu-malu hendak mengangkat tangan dan bertanya kerana khuatir soalannya dianggap soalan bodoh. Dalam hadith ini, Nabi Muhammad menunjukkan bahawa cara yang betul mendorong seseorang itu orang supaya tidak malu dan suka bertanya adalah dengan memuji pertanyaannya.


Teknik Nabi Muhammad Melayan Pertanyaan Orang Berilmu yang Tidak Menyukai Hal-Hal Dasar

Abu Al-Aswad melaporkan apa yang didengarnya sendiri dari sahabat Nabi Muhammad yang bernama Abu Zarr. Abu al-Aswad melaporkan bahawa Abu Zarr telah berkata, "Saya pergi berjumpa Nabi Muhammad, tetapi saya dapati beliau sedang tidur dengan memakai baju putih. Kemudian saya pergi lagi kepadanya, dan beliau masih lagi tidur. Kemudian saya pergi lagi, dan kali ini beliau sudah bangun daripada tidurnya. Kemudian beliau berkata, 'Setiap hamba Allah yang mengucapkan kalimat 'La ilaha illallah', lalu kemudian dia meninggal dunia dengan berpegang teguh pada kalimat itu, maka dia pasti masuk syurga.' Saya bertanya, 'Walaupun dia melakukan zina dan mencuri?' Nabi Muhammad menjawab, 'Ya, walaupun dia melakukan zina dan mencuri.' Saya bertanya lagi, 'Walaupun dia melakukan zina dan mencuri?' Beliau menjawab, 'Ya, walaupun dia melakukan zina dan mencuri.' Tanya-jawab ini berulang sebanyak tiga kali, dan pada kali keempatnya, beliau berkata, 'Walaupun Abu Zarr tidak suka.'" Lalu Abu Zarr pun keluar sambil berkata,"Walaupun Abu Zarr tidak suka." -- Hadith No. 53 dalam bab Keimanan dalam kitab Ringkasan Sahih Bukhari

Pengenalan:

Abu Zarr adalah seorang yang mempunyai banyak ilmu, beliau juga sangat rapat kepada Nabi Muhammad. Dalam hadith itu Nabi Muhammad memberitahu Abu Zarr suatu dasar tentang siapa yang berhak memasuki syurga. Maklumat yang disampaikan oleh Nabi Muhammad itu tidak disukai oleh Abu Zarr. Hadith ini menunjukkan kepada kita bagaimana membuat respon kepada pertanyaan orang berilmu yang tidak menyukai suatu perkara benar yang menjadi dasar. Dasar yang diterangkan oleh Nabi Muhammad itu adalah: Setiap hamba Allah yang mengucapkan kalimat 'La ilaha illallah', lalu kemudian dia meninggal dunia dengan berpegang teguh pada kalimat itu, maka dia pasti masuk syurga.

Intipati hadith:

1. Dalam hadith ini Nabi Muhammad menunjukkan teknik menjawab soalan yang dikemukakan oleh seorang yang berilmu tetapi dia meragui sesuatu dasar yang benar.

2. Kepada orang berilmu itu Nabi Muhammad hanya menyatakan perkara yang benar itu dengan tidak memberikan sebarang penjelasan mengapa dasar itu demikian bunyinya.

Aplikasi hadith:

1. Hadith ini adalah hadith kepimpinan.

2. Hadith ini sesuai digunakan apabila menerangkan hal-hal yang menjadi dasar, polisi dan prinsip-prinisp pokok kepada anggota yang menunjukkan keraguan terhadap kebijaksanaan dasar-dasar itu.

2. Dasar yang diragukan itu adalah dasar-dasar tentang hak-hak menikmati keistimewaan yang disediakan untuk anggota-anggota.

Nota: Ketua-ketua sentiasa berdepan dengan anak-anak buah yang belum tentu setuju dengan dasar-dasar dan keputusan-keputusan yang sudah ditetapkan. Dalam amalan lazim, apabila anak buah tidak bersetuju, ketua-ketua memberi penerangan yang panjang lebar mengapa peraturan-peraturan itu diperlukan dan dilaksanakan dengan harapan penerangan itu dapat memuaskan hati mereka yang tidak setuju, dan supaya dengan itu mereka akan menyokong dan melaksanakan peraturan-peraturan tersebut. Dalam hadith ini Nabi Muhammad menunjukkan teknik yang betul apabila berhadapan dengan orang yang meragui perkara-perkara yang menjadi dasar.

.

Hadith 'Sehelai Bulu Seladang' adalah Bukti Motivasi pun Perlu Diberikan kepada Mereka yang Cemerlang

Abdullah bin Mas'ud melaporkan pada suatu masa beliau dengan sekitar 40 orang lelaki lain bersama-sama Nabi Muhammad berada di bawah khemah yang diperbuat daripada kulit. Nabi Muhammad berkata, “Sukakah saudara-saudara menjadi seperempat daripada semua penduduk syurga?” Mereka semua menjawab, “Ya.” Nabi Muhammad berkata lagi, “Sukakah saudara-saudara menjadi sepertiga daripada semua penduduk syurga?” Mereka semua menjawab, “Ya.” Lalu Nabi Muhammad berkata, “Demi Zat yang jiwa Muhammad berada di dalam genggamannya, sesungguhnya saya mahukan saudara-saudara menjadi separuh daripada semua penduduk syurga. Sedangkan syurga itu hanya dapat dimasuki oleh jiwa yang muslim. Dan, perbandingan antara saudara-saudara dengan mereka yang menyembah berhala adalah umpama sehelai bulu putih pada kulit seekor seladang hitam, ataupun umpama sehelai bulu hitam pada kulit seekor seladang putih.” -- Hadith No. 102 dalam buku Ringkasan Sahih Muslim

Hadith ini adalah hadith yang paling jelas menunjukkan skrip ucapan Nabi Muhammad kepada sekumpulan audiens yang semuanya adalah individu-individu yang sangat cemerlang iman mereka, agama mereka dan prestasi mereka. Meskipun mereka sudah sangat cemerlang namun Nabi Muhammad masih tetap memberikan kata-kata perangsang dan motivasi supaya mereka mahu mencapai peringkat kecemerlangan yang lebih tinggi lagi.

Dalam peristiwa di atas, Nabi Muhammad berucap kepada sekitar 40 orang. Mereka adalah sekumpulan orang yang sudah sedia mempunyai sikap dan prestasi cemerlang. Ini berdasarkan kata-kata yang beliau ucapkan kepada mereka: “Sukakah saudara-saudara menjadi seperempat daripada semua penduduk syurga?” Kita dapat andaikan bahawa semua 40 orang itu akan masuk syurga. Ini kerana Nabi Muhammad tidak bertanya: "Mahukah saudara masuk syurga?"

Nabi Muhammad menunjukkan bahawa beliau masih memberikan dorongan motivasi kepada golongan yang sudah sedia cemerlang akhlak dan prestasi mereka. Kumpulan orang yang dimotivasi itu adalah mereka yang sudah menunjukkan komitmen tinggi dan prestasi tinggi.

Dalam hadith ini Nabi Muhammad bukan hanya menawarkan kepada mereka peluang memasuki syurga, tetapi menawarkan kepada mereka peluang menjadi penduduk syurga yang statusnya sangat tinggi. Struktur konten hadith ini dapat digunakan bagi menyusun kata-kata motivasi yang diucapkan kepada sekumpulan orang yang kualiti mereka sudah cemerlang.

Kata-kata Nabi Muhammad yang berbunyi: "....Dan, perbandingan antara saudara-saudara dengan mereka yang menyembah berhala adalah umpama sehelai bulu putih pada kulit seekor seladang hitam, ataupun umpama sehelai bulu hitam pada kulit seekor seladang putih.” menunjukkan kualiti audiens beliau itu adalah semuanya individu-idnidvidu yang sangat cemerlang.

Beliau memulakan ucapan dengan bertanya: “Sukakah saudara-saudara menjadi seperempat daripada semua penduduk syurga?”


Hadith 'Uncang Duit'

Bab 14
Hadith 'Uncang Duit'

Sahabat Nabi Muhammad yang bernama Jarir bin Abdullah melaporkan, pada suatu hari beberapa orang Arab kampung datang berjumpa Nabi Muhammad dengan memakai pakaian yang diperbuat daripada kulit binatang yang masih ada bulunya. Apabila Nabi Muhammad melihat kemiskinan orang kampung itu beliau mengesyorkan supaya orang-orang yang ada mengeluarkan sedekah kepada mereka, tetapi anjuran Nabi Muhammad tidak diberikan perhatian serius sehingga menyebabkan tergambar emosi marah pada wajah beliau. Kemudian, ada seorang lelaki datang membawa uncang berisi duit. Selepas itu datang lagi orang-orang lain, sehingga beliau kelihatan gembira. Kemudian Nabi Muhammad berkata, “Sesiapa yang melakukan perbuatan baik dalam Islam, kemudian perbuatannya itu menjadi teladan dan diikuti oleh orang-orang lain selepas itu, maka dia mendapat paha sebanyak pahala-pahala yang diterima oleh mereka yang mencontohinya, sedangkan pahala mereka sedikit pun tidak dikurangi. Sesiapa yang melakukan keburukan dalam Islam, kemudian diikuti oleh orang-orang lain selepas itu, maka dia mendapat dosa sebanyak dosa-dosa yang diterima oleh mereka yang mencontohinya, sedangkan dosa mereka sedikit pun tidak dikurangi.” -- Hadith No. 1859 dalam kitab Ringkasan Sahih Muslim

Intipati hadith:

1. Apabila orang tidak memberi sokongan kepada cadangan yang baik, terangkan kelebihan melakukan kebaikan itu.

2. Terangkan kelebihan dan keistimewaan menjadi orang pertama memberi sokongan.

3. Apabila sedang marah ataupun gembira, tidak bercakap.

Aplikasi hadith:

1. Hadith ini adalah hadith yang paling jelas menunjukkan strategi yang Nabi Muhammad gunakan apabila mahu mendorong sekumpulan orang ramai supaya melakukan kebaikan.

2. Hadith ini adalah hadith motivasi bagi mendorong orang melakukan perkara baik, seperti bersedekah kepada orang-orang miskin.

3. Tidak mengkritik, sebaliknya tunjukkan sahaja emosi tidak puas hati, kepada orang-orang yang belum tergerak hatinya melakukan perkara yang dianjurkan.

4. Apabila ada orang pertama menyahut anjuran, berikan pujian dengan menerangkan besarnya kebaikan memulakan pekerjaan yang baik sehingga orang lain ikut melakukannya.

5. Terangkan juga risiko besar memulakan pekerjaan yang tidak baik yang menjadi ikutan orang-orang lain.

Senario dalam hadith:

1. Pada persitiwa itu ada beberapa orang kampung yang amat miskin datang berjumpa Nabi Muhammad. Beliau mengesyorkan kepada hadirin supaya bersedekah kepada orang-orang miskin itu.

2. Apabila tidak ada sesiapa dalam kalangan hadirin yang ke hadapan menyahut kata-kata Nabi Muhammad itu dengan memberi sedekah, wajah beliau menunjukkan beliau marah. Tetapi beliau tidak bercakap apa-apa. Beliau diam sahaja.

3. Apabila ada seorang daang ke hadapan dan memberi sedekah, kemudian barulah orang-orang lain ikut ke hadapan memberi sedekah.

Analisis hadith:

1. Hadith ini dilaporkan oleh Jarir bin Abdullah. Dia tidak mencatatkan lokasi peristiwa itu, sama ada di dalam masjid ataupun di tempat lain. Kita andaikan peristiwa ini berlaku di dalam masjid.

2. Peristiwa ini berlaku di tempat terbuka, di mana di situ ada ramai orang. Jarir tidak mencatatkan sebarang nama orang yang ada di situ waktu itu.

3. Pada persitiwa itu ada beberapa orang yang amat miskin datang berjumpa Nabi Muhammad. Jarir mencatatkan mereka itu sangat miskin kerana mereka memakai kulit haiwan yang masih ada bulunya.

4. Jarir bin Abdullah, tidak menyebut nama orang-orang itu. Ini bermakna dia tidak mengenali mereka.

5. Jarir mengatakan mereka adalah orang kampung. Jadi, kita dapat andaikan pada waktu itu orang kampung dikenali sebagai orang-orang yang sangat miskin, dan lazimnya menggunakan kulit haiwan sebagai bahan pakaian, dan bahawa pada masa agama Islam sudah sampai kepada orang-orang kampung di luar bandar Madinah.

6. Dalam teks hadith ini tidak dicatatkan sama ada orang-orang miskin itu berkata apa-apa kepada Nabi Muhammad dengan maksud meminta bantuan dari beliau.

7. Apabila melihat keadaan dan penampilan orang-orang miskin itu Nabi Muhammad terus mencadangkan kepada hadirin supaya bersedekah kepada mereka. Berdasarkan andaian itu kita simpulkan bahawa Nabi Muhammad menunjukkan beliau tidak menunggu sehingga orang-orang miskin itu bercakap meminta bantuan barulah bantuan diberikan.

8. Data hadith ini juga tidak mencatatkan kata-kata yang diucapkan oleh Nabi Muhammad semasa mencadangkan supaya hadirin bersedekah kepada orang-orang kampung itu.

9. Hadith ini menunjukkan dengan jelas bagaimana kata-kata Nabi Muhammad tidak semestinya terus dilaksanakan oleh mereka yang mendengar beliau bercakap. Dari satu sudut, ini bermakna kata-kata Nabi Muhammad itu masih tidak cukup tinggi nilai pengaruhnya ke atas sesetengah individu.

10. Apabila tidak ada sesiapa di kalangan hadirin yang ke hadapan menyahut kata-kata Nabi Muhammad itu dengan memberi sedekah, wajah beliau menunjukkan beliau marah. Tetapi beliau tidak bercakap apa-apa. Beliau diam sahaja. Dalam erti kata yang lain Nabi Muhammad tidak berkata apa-apa bagi meluahkan emosi marahnya. Sebagai contoh, beliau tidak berkata:

* "Saudara-saudara tidak nampakkah siapa yang datang ini?" (SALAH)
* "Tidakkah saudara-saudara mendengar apa yang saya katakan sebentar tadi?" (SALAH)
* "Mengapakah tidak ada sesiapa yang mahu bersedekah kepada saudara segamanya yang sangat memerlukan?" (SALAH)

11. Selepas wajah Nabi Muhammad menunjukkan tanda-tanda beliau marah, barulah ada seorang datang ke hadapan menyahut seruan beliau. Orang itu menyerahkan seuncang duit.

12. Apabila lelaki pertama itu tampil memberi sedekah, beberapa perkara yang tidak dilakukan oleh Nabi Muhammad adalah:

i. Nabi Muhammad tidak memuji lelaki itu, dengan berkata:

* "Bagus!" (SALAH)
* "Kamu sangat bagus." (SALAH)
* "Macam itulah yang bagus." (SALAH)
* "Kamu memang orang yang baik hati." (SALAH)
* "Tahniah! Kamu memang budiman dan dermawan." (SALAH)

ii. Nabi Muhammad tidak menyuruh orang-orang lain supaya ikut bersedekah macam lelaki itu, dengan berkata:

* "Bagus! Bersedekahlah macam dia." (SALAH)
* "Perbuatannya patut dicontohi semua orang." (SALAH)
* "Ikut macam dia. Dia melakukan perbuatan yang sangat bagus." (SALAH)
* "Apa lagi yang ditunggu? Sudah ada yang memulakan. Bersedekahlah." (SALAH)
* "Kita sudah lihat orang pertama bersedekah. Jadilah orang kedua, ketiga, dan seterusnya." (SALAH)

iii. Nabi Muhammad tidak membandingkan lelaki itu dengan hadirin, dengan berkata:

* "Tengok dia. Dia pemurah." (SALAH)
* "Tengok dia. Dia tidak kedekut." (SALAH)
* "Tengok dia. Dia suka jadi orang pertama melakukan kebaikan." (SALAH)
* "Tengok dia. Dia pandai membaca air muka saya. Dia tahu tadi saya marah." (SALAH)
* "Tengok dia. Orang macam dia adalah contoh orang yang hatinya tidak terpaut pada harta bendanya." (SALAH)

13. Pelapor hadith ini, Jarir bin Abdullah, tidak mencatat nama lelaki itu. Jadi, kita boleh andaikan bahawa Jarir tidak mengenali lelaki itu. Ini bermakna lelaki itu bukan seorang yang rapat dengan Nabi Muhammad, sebab jika dia seorang yang rapat dengan beliau Jarir tentu tahu namanya.

14. Selepas lelaki itu membawa uncang duitnya kepada Nabi Muhammad, beberapa orang lagi ikut bersedakah. Nabi Muhammad tidak memuji mereka itu dengan berkata:

* "Bagusnya." (SALAH)
* "Tahniah, kerana ikut bersedakah." (SALAH)
* "Saya suka sebab banyak yang bersedekah." (SALAH)
* "Saya memuji sikap mereka yang ikut besedekah." (SALAH)
* "Bagus! Bagus! Tahniah kepada saudara-saudara yang telah ikut bersedekah." (SALAH)

15. Dari satu sudut, dapat diandaikan bahawa wajah Nabi Muhammad adalah faktor yang menyebabkan orang itu menyahut cadangan Nabi Muhammad itu, sebab selepas Nabi Muhammad bercakap tidak ada orang bangun memberi sedekah. Hanya selepas wajah beliau berubah dan menunjukkan emosi marah barulah ada orang bangun menyerahkan uncang duitnya sebagai sedekah.

16. Dari satu sudut lain, dapat juga diandaikan bahawa emosi marah adalah salah satu elemen daya persuasi, oleh itu emosi dapat digunakan bagi mendorong perubahan tingkah laku orang lain. Namun emosi marah yang persuasif adalah emosi yang tidak diiringi oleh sebarang kata-kata.

17. Apabila sudah banyak orang ikut bersedekah, wajah Nabi Muhammad menunjukkan emosi gembira. Namun Nabi Muhammad tidak juga mengucapkan kata-kata bagi meluahkan emosi gembiranya.

18. Meskipun Nabi Muhammad berasa gembira, dalam peristiwa itu beliau tidak memuji mereka yang bersedekah dengan mengucapkan kata-kata pujian secara terus terang dan secara langsung kepada mereka. Bagi memuji mereka yang bersedekah, beliau berkata: “Sesiapa yang melakukan perbuatan baik dalam Islam, kemudian perbuatannya itu menjadi teladan dan diikuti oleh orang-orang lain selepas itu, maka dia mendapat paha sebanyak pahala-pahala yang diterima oleh mereka yang mencontohinya, sedangkan pahala mereka sedikit pun tidak dikurangi. Sesiapa yang melakukan keburukan dalam Islam, kemudian diikuti oleh orang-orang lain selepas itu, maka dia mendapat dosa sebanyak dosa-dosa yang diterima oleh mereka yang mencontohinya, sedangkan dosa mereka sedikit pun tidak dikurangi.”

19. Kata-kata Nabi Muhammad itu bukan memuji mereka yang bersedekah, sebaliknya beliau menerangkan hukum melakukan perkara baik, ataupun perkara tidak baik, yang menyebabkan perbuatan itu dicontohi oleh orang-orang lain. Dari satu sudut, kata-kata itu adalah pujian secara tidak langsung sahaja kepada lelaki yang mula-mula datang membawa uncang duitnya.

20. Kata-kata pujian tak-langsung yang diucapkan oleh Nabi Muhammad itu tidak ditujukan secara spesifik kepada orang yang mula-mula menyerahkan uncang duitnya. Kata-kata itu ditujukan kepada semua hadirin yang ada di situ, termasuk kepada orang-orang kampung ada ada di situ.

21. Kata-kata Nabi Muhammad itu mengandungi 2 bahagian:

i. Bahagian pertama memberitahu pahala besar berbuat kebaikan: "Sesiapa yang melakukan perbuatan baik dalam Islam, kemudian perbuatannya itu menjadi teladan dan diikuti oleh orang-orang lain selepas itu, maka dia mendapat paha sebanyak pahala-pahala yang diterima oleh mereka yang mencontohinya, sedangkan pahala mereka sedikit pun tidak dikurangi." Ayat ini adalah ayat pujian sipi-sipi kepada orang yang mula-mula menyerahkan uncang duitnya.

ii. Bahagian kedua menerangkan risiko berbuat keburukan: "Sesiapa yang melakukan keburukan dalam Islam, kemudian diikuti oleh orang-orang lain selepas itu, maka dia mendapat dosa sebanyak dosa-dosa yang diterima oleh mereka yang mencontohinya, sedangkan dosa mereka sedikit pun tidak dikurangi.” Ayat ini adalah ayat peringatan, ataupun ayat ancaman.

22. Nabi Muhammad memuji dahulu perbuatan baik dengan menerangkan besarnya pahala yang diterima oleh orang yang melakukannya. Kemudian baru Nabi Muhammad menyebut risiko melakukan perbuatan buruk.

23. Nabi Muhammad mengucapkan kata-kata peringatan itu kepada audiens yang terdiri daripada orang-orang baik belaka.

24. Nabi menujukan kata-kata pujiannya secara umum kepada semua orang yang ada di situ.

25. Sebagai kesimpulan, Nabi Muhammad tidak mendorong orang supaya bersedekah dengan cara mengkritik sikap kedekut mereka dengan berkata:

* "Harta adalah ujian Allah kepada pemiliknya." (SALAH)
* "Orang kedekut adalah calon penduduk neraka." (SALAH)
* "Malanglah nasib orang yang tidak mahu berbuat baik." (SALAH)
* "Sesiapa yang tidak mahu berbuat baik adalah orang yang rugi." (SALAH)
* "Sikap tidak mahu berbuat baik adalah sikap orang yang bodoh, tidak bijak." (SALAH)
* "Orang kaya yang tidak suka bersedekah kepada jalan Allah akan diseksa di akhirat nanti." (SALAH)
* "Orang yang kedekut akan dicampakkan ke dalam neraka bersama-sama harta mereka." (SALAH)

Nota tambahan:

Hadith ini dapat dijadikan panduan apabila bercakap dalam kempen-kempen di mana kita mengajak orang ramai supaya melakukan kebaikan. Prinsip yang penting dalam hadith ini adalah:

i. Terangkan manfaat projek yang dijalankan, yakni terangkan kebaik-kebaikan yang akan diterima oleh mereka yang ikut serta dalam kempen itu. Maklumat adalah sangat persuasif. Dengan memberikan maklumat berkenaan kelebihan sesuatu perkara, orang lebih terpengaruh melakukan perkara itu.

ii. Terangkan juga risiko, bahaya dan kerugiannya apabila kempen itu tidak menerima sambutan.

.

Skrip Motivasi Pencapaian Target Gaya Nabi Muhammad

Aplikasi Hadith 'Masuk Syurga'

Abu Hurairah melaporkan bahawa pada suatu masa Nabi Muhammad pernah bertanya: “Siapakah antara saudara-saudara sekalian yang berpuasa pada hari ini?” Abu Bakar menjawab, “Saya.” Beliau bertanya lagi: “Siapakah antara saudara-saudara sekalian yang hari ini menghantar jenazah?” Abu Bakar menjawab, “Saya.” Beliau bertanya lagi: “Siapakah antara saudara-saudara sekalian yang hari ini memberi orang miskin makan?” Abu Bakar menjawab, “Saya.” Beliau bertanya lagi: “Siapakah antara saudara-saudara sekalian yang hari ini melawat orang sakit?” Abu Bakar menjawab, “Saya.” Lalu Nabi Muhammad berkata: “Seseorang yang melakukan perkara-perkara tersebut sudah tentu masuk syurga.” -- Hadith No. 543 dalam kitab Ringkasan Sahih Muslim

Intipati hadith:

1. Ayat tanya boleh menjadi alat mendorong yang efektif.

2. Perkara yang ditanyakan mestilah perkara yang mulia.

Aplikasi hadith:

1. Hadith ini adalah hadis motivasi. Dalam kes ini motivasi itu adalah motivasi mahu masuk syurga.

2. Hadith ini sesuai digunakan bagi mendorong audiens supaya mahu mencapai target kejayaan peribadi.

3. Cara motivasi ini dilakukan: Senaraikan perkara-perkara yang menjadi syarat kejayaan. Kemudian tanya mereka satu persatu syarat itu. Contoh aplikasi di dalam bilik darjah:

* “Siapakah antara kamu semua yang hari ini menyiapkan latihan?” (BETUL)

* “Siapakah antara kamu semua yang hari ini tidak tidur dalam kelas saya?” (BETUL)

* “Siapakah antara kamu semua yang hari ini mendengar saya bercakap?” (BETUL)

* “Siapakah antara kamu semua yang hari ini faham apa yang dipelajari?” (BETUL)

Kemudian terangkan signifikans jawapan kepada 4 soalan itu: "Sesiapa yang melakukan 4 perkara itu layak lulus peperiksaan dengan cemerlang."


.