Nabi Muhammad adalah seorang ketua. Salah satu tugas ketua adalah
memberi ganjaran kepada anak-anak buahnya apabila mereka melakukan kerja
dengan cara yang betul. Ganjaran yang diberikan oleh ketua boleh
menyebabkan timbulnya perasaan tidak puas hati kepada yang tidak
menerima ganjaran. Perkara ini berlaku disebabkan mereka tidak
mengetahui kriteria yang digunakan oleh ketua apabila memberikan
ganjaran kepada anak-anak buahnya. Hadith di atas menunjukkan cara
bagaimana Nabi Muhammad menangani perasaan tidak puas hati daripada anak
buahnya yang tidak menerima ganjaran
Hadis 'Bersin'
Anas bin Malik adalah salah seorang sahabat Nabi Muhammad. Dia
melaporkan suatu peristiwa yang dia pernah saksikan. Menurutnya, pernah
berlaku pada suatu masa ada dua orang lelaki bersin dekat dengan Nabi
Muhammad. Nabi Muhammad berdoa untuk salah seorang daripada mereka
berdua dengan ucapan, "Yaharmukallah." Manakala yang seorang lagi pula
bersin tetapi tidak didoakan oleh Nabi Muhammad. Lelaki itu tidak puas
hati lalu berkata, "Mengapakah apabila si polan bersin, tuan mendoakan
dia, tetapi apabila saya bersin, tuan tidak mendoakan saya?" Nabi
Muhammad menjawab, "Selepas dia bersin, dia membaca Alhamdulillah,
sedangkan saudara tidak membaca Alhamdulillah." Hadith No. 186 dalam Ringkasan Sahih Muslim
Apabila ada 2 orang yang melakukan pekerjaan yang sama, tetapi
ganjaran yang diterima dari ketua tidak sama, perasaan tidak puas hati
tentu timbul. Faktor yang menimbulkan perasaan tidak puas hati adalah:
1. Orang itu yakin dia dan pihak yang satu lagi telah melakukan pekerjaan yang sama.
2. Orang itu yakin dirinya berhak menerima layanan yang sama baik dengan layanan yang diterima oleh pihak yang satu lagi.
3. Orang itu tidak tahu rasional di sebalik perbezaan layanan yang diberikan oleh ketua.
Dalam kes hadith ini, ada 2 orang yang sama-sama bersin. Yang satu
didoakan oleh Nabi Muhammad, manakala yang seorang lagi tidak. Pihak
yang tidak menerima doa itu telah menyuarakan perasaan tidak puas
hatinya dengan bertanya kepada Nabi Muhammad mengapa yang seorang itu
didoakan tetapi dirinya tidak didoakan.
Cara memberikan respon yang betul kepada orang yang tidak puas hati
adalah dengan menerangkan peraturan yang ada di sebalik ganjaran yang
diberikan. Nabi Muhammad berkata: "Selepas dia bersin, dia membaca Alhamdulillah, sedangkan saudara tidak membaca Alhamdulillah."
.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan