Lazimnya, kita cenderung cuba mentafsirkan mengapa seseorang itu bertanya soalan itu dan soalan ini. Kita percaya di sebalik pertanyaannya itu ada perkara lain yang mendorong dia bertanya soalan demikian. Tingkah laku kita itu disebut 'mind-reading'. Apabila kita mengucapkan kata-kata yang terhasil oleh mind-reading yang berdasarkan buruk sangka, maka hukumnya berdosa.
Dalam rekod sejarah, banyak catatan yang menunjukkan prinsip-prinsip komunikasi Nabi Muhammad berkenaan mind-reading:
1. Nabi Muhammad menjawab pertanyaan berdasarkan struktur permukaan, yakni betul-betul menjawab apa yang zahirnya dipertanyakan, yakni tidak cuba mentafsir apa di sebaliknya pertanyaan.
2. Beliau tidak mengucapkan kata-kata berdasarkan buruk sangka, yakni tidak melakukan kesalahan mind-reading.
Pada suatu hari, ada seorang remaja lelaki datang berjumpa dengan Nabi Muhammad. Dia berkata, “Saya telah bercumbu-cumbu dengan seorang perempuan dari pinggir kota. Saya sudah buat semuanya, kecuali bersetubuh dengannya. Sekarang saya datang ke hadapan tuan, maka hukumlah saya sebagaimana yang tuan mahu.” Saidina Umar memarahi lelaki itu, katanya, “Allah menutupi kesalahan kamu jikalau kamu menutupi diri kamu sendiri!” Mendengar kata-kata saidina Umar itu, Nabi Muhammad tidak bercakap apa-apa. Kemudian remaja itu pergi. Kemudian Nabi Muhammad menyuruh orang supaya memanggilnya supaya datang semula. Kemudian beliau membacakan kepada remaja itu ayat Quran ini: “Dan dirikanlah sembahyang itu pada pagi dan petang, dan pada bahagian permulaan daripada malam. Sesungguhnya perbuatan-perbuatan yang baik itu menghapuskan dosa daripada perbuatan-perbuatan yang buruk. Itulah peringatan bagi orang-orang yang ingat.” Kemudian, ada seorang lelaki lain yang kebetulan berada di situ bertanya, “Wahai Rasul Allah, adakah ayat itu ditujukan khusus untuk dia seorang, ataupun ayat itu ditujukan untuk semua orang?” Nabi Muhammad menjawab, “Untuk semua orang.” - Hadith ini direkodkan oleh Abu Daud
Dalam peristiwa itu ada seorang lelaki lain yang kebetulan berada di situ bertanya, “Wahai Rasul Allah, adakah ayat itu ditujukan khusus untuk dia seorang, ataupun ayat itu ditujukan untuk semua orang?” Nabi Muhammad menjawab, “Untuk semua orang.”
Dalam peristiwa di atas, Nabi Muhammad tidak berkata kepada lelaku itu:
* "Mengapa kamu bertanya begitu? Adakah kamu juga pernah bercumbu-cumbu dengan perempuan bukan isteri kamu?"
* "Kamu pun pernah melakukan dosa yang sama?"
* "Kamu bertanya begitu, kamu ada apa-apakah?...."
* "Mengapa? Kamu pun buat juga?"
* "Kenapa kamu mahu tahu? Jangan-jangan kamu ada apa-apa...."
Lazimnya, kita akan mengesyaki lelaki itu bertanya disebabkan kata-kata yang diucapkan oleh Nabi Muhammad ada kait mengait dengan dirinya sendiri, yakni kita akan mengesyaki bahawa dia mungkin pernah melakukan kesalahan yang serupa dengan pemuda yang bercumbu itu.
.