Aplikasi Hadith '12 Orang Malaikat'

Anas melaporkan, pada suatu hari ada seorang lelaki datang dan dia terus masuk barisan orang-orang yang sedang sembahyang, dengan nafasnya termengah-mengah kerana terkocoh-kocoh mengejar waktu sembahyang, sambil membaca 'Alhamdulillahi hamdan kasiran thoyiban mubarakan fih.' Selepas selesai sembahyang, Nabi Muhammad bertanya, “Siapakah tadi yang mengucapkan kata-kata itu?” Semua orang yang ada diam sahaja, tidak seorang pun menjawab. Nabi Muhammad bertanya lagi, “Siapakah tadi yang mengucapkan kata-kata itu? Sebenarnya dia tidak mengucapkan sesuatu yang berdosa.” Lalu seorang lelaki berkata, “Tadi saya datang dengan termengah-mengah, lalu saya ucapkan kata-kata itu.” Kemudian, Nabi Muhammad berkata, “Sungguh, saya nampak 12 orang malaikat berebut-rebut mengangkat kata-kata itu.” -- Hadith No. 271 dalam kitab Ringkasan Sahih Muslim

Nota: 'Alhamdulillahi hamdan kasiran thoyiban mubarakan fih.' bermakna 'Segala puji bagi Allah, pujian yang banyak, bagus, lagi penuh kebaikan.'

Intipati hadith:

1. Apabila mahu mendorong perubahan tingkah laku, diamkan kesalahan.

2. Puji sahaja kebaikan yang dilakukan.

Aplikasi hadith:

1. Hadith ini adalah hadith mendorong perubahan tingkah laku daripada yang kurang elok kepada yang lebih elok.

2. Teknik dalam hadith ini sesuai digunakan bagi mendorong orang yang berniat baik tetapi pada waktu yang sama dia masih melakukan kesilapan-kesilapan.

3. Hadith ini juga sesuai bagi mendorong orang yang kreatif dan menggunakan daya kreativiti bagi mencipta idea-idea yang bagus.

4. Hadith ini juga sesuai digunakan bagi mendorong orang yang suka melakukan kerja-kerja tambahan secara sukarela, dan mempunyai daya usaha sendiri tanpa perlu disuruh-suruh.

5. Kelompok yang sebaiknya didorong menggunakan teknik ini adalah mereka yang bukan dari golongan pelajar cemerlang ataupun pekerja cemerlang.

6. Prinsip yang Nabi Muhammad tunjukkan adalah: Apabila ada orang yang melakukan kesalahan, tetapi pada masa yang sama dia melakukan satu kebaikan, maka diamkan sahaja kesalahannya manakala perbuatannya yang elok itu diberi pujian.


.

Aplikasi Hadith 'Ekor Kuda'

Sahabat Nabi Muhammad yang bernama Jabir bin Samurah melaporkan bahawa Nabi Muhammad pernah datang kepadanya yang sedang bersembahyang bersama beberapa orang lain. Nabi Muhammad berkata kepada mereka, "Apakah yang menyebabkan saya lihat saudara-saudara mengangkat tangan saudara seperti ekor kuda yang tidak tentu arah? Bertenanglah semasa sedang sembahyang." Kemudian Nabi Muhammad datang lagi, kali ini beliau melihat mereka berdiri membuat bulatan. Nabi Muhammad berkata, “Apakah yang menyebabkan saya lihat saudara-saudara berkelompok-kelompok?” Selepas itu, Nabi Muhammad datang lagi kepada mereka, lalu berkata, "Tidakkah saudara berbaris seperti malaikat berbaris di sisi Tuhan mereka?" Mereka pun bertanya kepada Nabi Muhammad, “Wahai Rasul Allah, bagaimana cara malaikat berbaris di sisi Tuhan mereka?” Nabi Muhammad menjawab, "Mereka menyempurnakan barisan pertama, mereka meluruskan barisan." -- Hadith No. 331 dalam buku Ringkasan Sahih Muslim

Intipati hadith:

1. Tidak menegur diri orang yang melakukan kesalahan dalam proses belajar perkara baru.

2. Teguran ditujukan kepada teknik dan perbuatannya yang silap, bukan kepada diri orang yang melakukan kesilapan itu.

3. Terangkan teknik kerja yang betul.

Aplikasi hadith:

1. Ini adalah hadith yang paling jelas menunjukkan bagaimana Nabi Muhammad melatih sekumpulan orang yang belum pandai melakukan pekerjaan.

2. Orang-orang itu melakukan kesilapan demi kesilapan, tetapi Nabi Muhammad tidak mendenda kesilapan-kesilapan itu, sebaliknya beliau menerangkan sahaja cara yang betul.

3. Setiap kali orang-orang itu melakukan kesilapan Nabi Muhammad segera menerangkan cara yang betul.

4. Gaya bahasa yang Nabi Muhammad gunakan semasa menjalankan kerja melatih orang adalah bahasa anologi atau kiasan: "...seperti ekor kuda..." dan " ...seperti malaikat berbaris..."

5. Apabila menegur kesilapan, Nabi Muhammad tidak memarahi mereka yang melakukan kesilapan, apatah lagi mendenda mereka.

6. Kesilapan teknikal dibetulkan dengan memberikan maklumat teknikal.


.