Teknik Bagaimana Nabi Muhammad Memberi Pujian Panjang kepada Orang Kecil

Dalam rekod sejarah terdapat banyak catatan yang menunjukkan Nabi Muhammad banyak kali memuji-muji orang kecil secara terbuka di depan orang-orang lain, termasuk di hadapan mereka yang terdiri daripada orang-orang besar.

Apabila Nabi Muhammad memberi pujian, kata-kata pujiannya itu ditujukan kepada perbuatan baik yang dilakukan oleh orang yang dipuji. Beliau tidak memuji diri ataupun sikap orang itu.

Dalam catatan di bawah ini, Nabi Muhammad memuji tingkah laku yang baik yang dilakukan oleh seorang orang kecil dengan menerangkan pahala besar yang diberikan ke atas perbuatan baik itu.

Sahabat Nabi Muhammad yang bernama Jarir bin Abdullah melaporkan, pada suatu hari beberapa orang Arab kampung datang berjumpa Nabi Muhammad dengan memakai pakaian yang diperbuat daripada kulit binatang yang masih ada bulunya. Apabila Nabi Muhammad melihat kemiskinan orang kampung itu beliau mengesyorkan supaya orang-orang yang ada mengeluarkan sedekah kepada mereka, tetapi anjuran Nabi Muhammad tidak diberikan perhatian serius sehingga menyebabkan tergambar emosi marah pada wajah beliau. Kemudian, ada seorang lelaki datang membawa uncang berisi duit. Selepas itu datang lagi orang-orang lain, sehingga beliau kelihatan gembira. Kemudian Nabi Muhammad berkata, “Sesiapa yang melakukan perbuatan baik dalam Islam, kemudian perbuatannya itu menjadi teladan dan diikuti oleh orang-orang lain selepas itu, maka dia mendapat paha sebanyak pahala-pahala yang diterima oleh mereka yang mencontohinya, sedangkan pahala mereka sedikit pun tidak dikurangi. Sesiapa yang melakukan keburukan dalam Islam, kemudian diikuti oleh orang-orang lain selepas itu, maka dia mendapat dosa sebanyak dosa-dosa yang diterima oleh mereka yang mencontohinya, sedangkan dosa mereka sedikit pun tidak dikurangi.” --
Hadith No. 1859 dalam kitab Ringkasan Sahih Muslim

Hadith di atas mempunyai ciri-ciri yang menarik:

1. Nabi Muhammad memberi pujian yang panjang:
“Sesiapa yang melakukan perbuatan baik dalam Islam, kemudian perbuatannya itu menjadi teladan dan diikuti oleh orang-orang lain selepas itu, maka dia mendapat paha sebanyak pahala-pahala yang diterima oleh mereka yang mencontohinya, sedangkan pahala mereka sedikit pun tidak dikurangi. Sesiapa yang melakukan keburukan dalam Islam, kemudian diikuti oleh orang-orang lain selepas itu, maka dia mendapat dosa sebanyak dosa-dosa yang diterima oleh mereka yang mencontohinya, sedangkan dosa mereka sedikit pun tidak dikurangi.”

2. Nama lelaki yang datang membawa uncang duit itu tidak dicatatkan oleh pelapor hadith ini. Besar kemungkinan Jabir bin Abdullah tidak tahu nama lelaki itu, yakni lelaki itu bukan dalam kalangan orang-orang besar. Demikian juga Jabir tidak mencatatkan nama-nama mereka yang kemudian ikut sama bersedekah.

3. Kata-kata pujian Nabi Muhammad mengandungi 2 bahagian. Bahagian pertama memberitahu pahala besar berbuat kebaikan. Bahagian kedua menerangkan risiko berbuat keburukan.

4. Pujian dan peringatan itu diucapkan kepada audiens di mana semua orang yang hadir dan mendengar kata-kata Nabi Muhammad adalah orang-orang yang melakukan perbuatan baik. Tidak ada sesiapa melakukan perbuatan buruk.

5. Nabi Muhammad tidak memuji secara spesifik lelaki yang membawa uncang duit itu. Nama lelaki itu tidak disebut dalam pujian beliau.

6. Nabi menujukan kata-kata pujiannya secara umum kepada semua orang yang ada di situ.

7. Nabi Muhammad memuji dahulu perbuatan baik dengan menerangkan besarnya pahala yang diterima oleh orang yang melakukannya.

8. Kemudian baru Nabi Muhammad menyebut risiko melakukan perbuatan buruk.

Nabi Muhammad tidak mendorong orangsupaya berbuat baik dengan cara mengkritik sikap kedekut dengan berkata:

* "Orang kedekut adalah calon penduduk neraka."
* "Malanglah nasib orang yang tidak mahu berbuat baik."
* "Orang kaya yang tidak suka bersedekah kepada jalan Allah akan diseksa di akhirat nanti."
* "Harta adalah ujian Allah kepada pemiliknya."
* "Orang yang kedekut akan dicampakkan ke dalam neraka bersama-sama harta mereka."
* "Sesiapa yang tidak mahu berbuat baik adalah orang yang rugi."
* "Sikap tidak mahu berbuat baik adalah sikap orang yang bodoh, tidak bijak."


.