Nabi Muhammad Sebagai Trainer

NOTA: Hadith ini adalah hadith yang paling jelas menunjukkan prosedur Nabi Muhammad melatih sekumpulan novis, yakni orang yang belum mempunyai skill sama sekali dalam pekerjaan yang hendak dilakukan.

Sahabat Nabi Muhammad yang bernama Jabir bin Samurah melaporkan bahawa Nabi Muhammad pernah datang kepadanya yang sedang bersembahyang bersama beberapa orang lain. Nabi Muhammad berkata kepada mereka, "Mengapakah saya lihat saudara-saudara mengangkat tangan saudara seperti ekor kuda yang tidak tentu arah? Bertenanglah semasa sedang sembahyang." Kemudian Nabi Muhammad datang lagi, kali ini beliau melihat mereka berdiri membuat bulatan. Nabi Muhammad berkata, “Mengapakah saya lihat saudara-saudara berkelompok-kelompok?” Selepas itu, Nabi Muhammad datang lagi kepada mereka, lalu berkata, "Tidakkah saudara berbaris seperti malaikat berbaris di sisi Tuhan mereka?" Mereka pun bertanya kepada Nabi Muhammad, “Wahai Rasul Allah, bagaimana cara malaikat berbaris di sisi Tuhan mereka?” Nabi Muhammad menjawab, "Mereka menyempurnakan barisan pertama, mereka meluruskan barisan." -- Dari hadith No. 331 dalam buku Ringkasan Sahih Muslim

1. Peristiwa di atas berlaku semasa sekumpulan lelaki sedang bersembahyang, tetapi mereka semua belum tahu cara sembahyang yang betul.

2. Cara mereka mengangkat tangan tidak betul. Nabi Muhammad menegur cara yang salah itu dengan bertanya: "Mengapakah saya lihat saudara-saudara mengangkat tangan saudara seperti ekor kuda yang tidak tentu arah? Bertenanglah semasa sedang sembahyang."

3. Cara mereka berdiri pun tidak betul. Mereka berdiri membuat bulatan. Nabi Muhammad menegur cara yang salah itu dengan bertanya: “Mengapakah saya lihat saudara-saudara berkelompok-kelompok?”

4. Cara mereka berbaris pun tidak betul. Kali ini Nabi Muhammad terus memberi arahan: "Tidakkah saudara berbaris seperti malaikat berbaris di sisi Tuhan mereka?" Mereka tidak faham arahan Nabi Muhammad. Mereka pun bertanya kepada Nabi Muhammad, “Wahai Rasul Allah, bagaimana cara malaikat berbaris di sisi Tuhan mereka?”

5. Nabi Muhammad menjawab, "Mereka menyempurnakan barisan pertama, mereka meluruskan barisan."

6. Hadith ini mengandungi banyak strategi dan teknik mendorong orang yang belum pandai melakukan sesuatu kerja supaya mahu belajar cara-cara yang betul:

i. Semasa mereka sedang cuba bersembahyang itu, kedudukan mereka tidak jauh daripada Nabi Muhammad, itulah sebabnya Nabi Muhammad dapat melihat kesalahan mereka. Setiap kali mereka melakukan kesilapan, setiap kali itu Nabi Muhammad datang membetulkan.

ii. Walaupun mereka belum pandai bersembahyang, Nabi Muhammad tidak mengajar mereka cara-cara sembahyang yang betul. Beliau membiarkan mereka berfikir sendiri, mencuba sendiri, kemudian apabila salah baru beliau betulkan.

iii. Mereka berkali-kali melakukan kesilapan tetapi Nabi Muhammad tidak memarahi mereka. Setiap kali mereka melakukan kesilapan, setiap kali itu pula Nabi Muhammad membetulkan.

iv. Nabi Muhammad menggunakan anologi atau kiasan apabila menegur cara mereka mengangkat tangan yang tidak betul:

a. "Mengapa saya lihat saudara-saudara mengangkat tangan saudara seperti ekor kuda yang tidak tentu arah? Bertenanglah semasa sedang sembahyang." (Dalam masyarakat Arab pada zaman itu, kuda adalah haiwan lambang status ekonomi macam kereta Rolls Royce pada masa ini.)

b. "Tidakkah saudara berbaris seperti malaikat berbaris di sisi Tuhan mereka?" (Malaikat adalah makhluk yang sangat mulia. Mereka semua tidak pernah melihat malaikat berbaris.)

v. Walaupun mereka berkali-kali melakukan kesalahan dan ditegur, mereka tidak takut bertanya kepada Nabi Muhammad apabila tidak tahu: “Wahai Rasul Allah, bagaimana cara malaikat berbaris di sisi Tuhan mereka?”

vi. Apabila ditanya, Nabi Muhammad hanya memberikan penerangan sahaja: "Mereka menyempurnakan barisan pertama, mereka meluruskan barisan."

vii. Secara spesifiknya dalam peristiwa itu Nabi Muhammad menjalankan peranannya sebagai jurulatih kepada sekumpulan yang sedang belajar sembahyang. Hadith ini adalah hadith yang paling jelas menunjukkan Nabi Muhammad melatih sekumpulan novis, yakni orang yang belum mempunyai skill sama sekali dalam pekerjaan yang hendak dilakukan.

ix. Dalam peristiwa di atas, Nabi Muhammad Nabi Muhammad menegur teknik kerja yang salah dengan menggunakan soalan retorik 'mengapakah'. Soalan retorik adalah soalan yang kita tanya dan kita jawab sendiri. "Mengapakah saya lihat saudara-saudara mengangkat tangan saudara seperti ekor kuda yang tidak tentu arah? Bertenanglah semasa sedang sembahyang."

x. Apabila Nabi Muhammad bertanya dengan tujuan mahu mendengar jawapan dari orang yang ditanya, beliau tidak menggunakan perkatakaan 'mengapakah', sebaliknya beliau menggunakan katanya 'tidakkah': "Tidakkah saudara berbaris seperti malaikat berbaris di sisi Tuhan mereka?" Mereka tidak faham arahan Nabi Muhammad. Mereka pun bertanya kepada Nabi Muhammad, “Wahai Rasul Allah, bagaimanakah cara malaikat berbaris di sisi Tuhan mereka?”


.