Nabi Muhammad Tidak Menyuruh Pencadang Idea Sebagai Pelaksana Ideanya Sendiri

Nabi Muhammad adalah pengurus projek yang cekap dan kreatif. Beliau mengendalikan banyak projek dan pasukan kerja.

Orang-orang Nabi Muhammad suka bekerja di bawah kepimpinannya. Mereka juga suka mencadangkan idea-idea baru. Sebagai ketua Nabi Muhammad banyak menerima idea-idea daripada anak-anak buahnya.

Dalam amalan lazim, selalu berlaku di mana orang yang mencadangkan idea akhirnya diarahkan supaya dia yang melaksanakan idea itu. Akibatnya, banyak orang tidak mahu mengemukakan idea-idea baru. Perkara seperti itu tidak dilakukan oleh Nabi Muhammad.

Catatan sejarah di bawah ini menunjukkan bagaimana Nabi Muhammad menerima idea yang dilkemukakan oleh Umar bin Khatab, tetapi kemudian beliau mengarahkan Bilal bin Rabah supaya melaksanakan idea itu.

Seorang sahabat Nabi Muhammad yang bernama Abdullah bin Umar melaporkan, semasa orang-orang Islam dari Mekah baru tiba di Madinah, mereka semua berkumpul sementara menunggu masuknya waktu sembahyang. Pada masa itu belum ada apa-apa cara memanggil orang supaya bersembahyang. Disebabkan keadaan itu, pada suatu hari mereka berbincang berkenaan perkara itu. Ada antara mereka yang berkata, “Gunakan loceng macam orang-orang Kristian.” Ada pula yang berkata, “Gunakan trompet daripada tanduk, macam orang-orang Yahudi.” Lalu Umar berkata, “Bagaimana kalau saudara-saudara suruh seorang lelaki supaya melaungkan panggilan sembahyang?” Nabi Muhammad pun berkata, “Wahai Bilal, berdirilah, dan laungkan panggilan sembahyang.” --
Hadith No. 190 dalam kitab Ringkasan Sahih Muslim.

Dalam peristiwa di atas, beberapa prinsip yang Nabi Muhammad tunjukkan kepada kita adalah:

1. Sesi brainstorming dianggotai oleh campuran antara anak-anak buah yang sangat senior mahupun yang sangat junior.

2. Apabila anak-anak buah sedang mengadakan sesi brainstorming, ketua hendaklah diam dan mendengar sahaja.

3. Ketua jangan mengulas-ulas idea-idea yang dikemukakan.

4. Ketua menilai idea dalam diam. Kemudian ketua pilih idea yang terbaik.

5. Apabila memilih idea, ketua tidak memberitahu apa alasan idea itu dipilih, begitu juga ketua tidak memberitahu alasan mengapa idea-idea lain ditolak.

6. Bagi melaksanakan idea yang dipilih, lantik orang yang paling layak, bukan orang yang mencadangkan idea itu.

.

Menghiburkan Orang Bersedih Gaya Nabi Muhammad

Dalam suatu peristiwa, Nabi Muhammad menunjukkan teknik menghiburkan hati seorang yang bersedih kerana ditinggal mati oleh orang yang dikasihinya.

Jabir bin Abdullah melaporkan dia pernah terjumpa dengan Nabi Muhammad. Nabi Muhammad berkata kepadanya, “Wahai Jabir, mengapa saya lihat saudara dalam keadaan tidak bersemangat?” Jabir menjawab, “Wahai Rasul Allah, ayah saya telah mati syahid. Dia terbunuh semasa Perang Gunung Uhud dengan meninggalkan keluarga dan hutang.” Nabi Muhammad berkata, “Mahukah saudara saya beritahu khabar gembira tentang ayah saudara yang akan berjumpa dengan Allah?” Jabir menjawab, “Mahu, wahai Rasul Allah.” Nabi Muhammad berkata, “Allah tidak pernah bercakap dengan sesiapa pun, melainkan dari balik tabir. Allah akan menghidupkan semula ayah saudara, dan Allah akan bercakap kepadanya tanpa ada tabir." -
Hadith No. 3010 dalam kitab Shahih Sunan Tarmizi

Dalam peristiwa di atas Jabir bersedih disebabkan dia ditinggal mati oleh ayahnya. Nabi Muhammad tidak berkata:

* "Bersabar, ya, bersabar...."

* "Banyakkan bersabar...."

* "Jangan bersedih...."

* "Awak mesti redho...."

* "Tuhan lebih sayang dia...."

Pada peristiwa di atas Nabi Muhammad menghiburkan Jabir dengan memuji keistimewaan arwah ayahnya.


.