Teknik Nabi Muhammad Mendorong Semangat Kerja Anak Buahnya


Hadith 'Tolong Saya dengan Bersujud'

Seorang sahabat Nabi Muhammad yang bernama Rabi'ah bin Ka'ab melaporkan, katanya: "Saya pernah tidur malam bersama dengan Rasulullah. Maka saya sediakan air untuk berwuduk dan keperluan lain untuk beliau. Lalu Rasulullah berkata kepada saya, 'Mintalah apa yang saudara mahu.' Saya menjawab, 'Saya mahu mendampingi tuan di syurga nanti, wahai Rasul Allah!' Rasulullah berkata lagi, 'Apakah ada yang lain lagi yang saudara mahu?' Aku menjawab, 'Itu sahaja yang saya mahu.' Lalu Rasulullah berkata, 'Bantulah saya memperkenankan hajat saudara itu dengan cara saudara memperbanyakkan sujud.'" -- Hadith ini terdapat dalam koleksi hadith autentik oleh Imam Muslim

Nabi Muhammad mempunyai daya pengaruh yang sangat tinggi ke atas anak-anak buahnya sehingga mereka sanggup dengan sukarela melakukan kerja-kerja untuk beliau, dengan tidak perlu menunggu sehingga diminta ataupun disuruh. 


Hadith di atas menunjukkan anak buah Nabi Muhammad mempunyai semangat kerja yang sangat tinggi.


Dari hadith ini dapat digali strategi dan teknik yang Nabi Muhammad gunakan bagi meningkatkan semangat kerja anak buahnya:


1. Apabila anak buahnya melakukan sebarang kerja secara sukarela, Nabi Muhammad membalas dengan ganjaran atau 'upah'.

2. Nabi Muhammad memberi tawaran terbuka dengan berkata: 'Mintalah apa yang saudara mahu.' 


3. Apabila anak buahnya meminta sesuatu yang mudah diberikan, Nabi Muhammad membuka satu lagi tawaran terbuka dengan berkata: 'Apakah ada yang lain lagi yang saudara mahu?'


4. Nabi Muhammad mendorong anak buahnya supaya melakukan lebih banyak solat dengan berkata: 'Bantulah saya memperkenankan hajat saudara itu dengan cara saudara memperbanyakkan sujud.'


Nota: Percuma! Tuan boleh menerima kiriman dalam emel tuan semua posting dalam blog ini dengan mengisi jendela emel yang disediakan.




Nabi Muhammad Tidak Mengucapkan 'Terima kasih.'


Hadith 'Nabi Tidak Dapat Tidur'

Aisyah melaporkan, katanya, "Pada suatu malam Rasulullah tidak dapat tidur. Lalu beliau berkata, 'Mudah-mudahan ada lelaki soleh daripada kalangan sahabatku yang akan datang menjagaku pada malam ini.' Kemudian kami terdengar bunyi senjata. Rasulullah bertanya, 'Siapakah itu?' Orang itu berkata, 'Saad bin Abu Waqas, wahai Rasulullah.' Rasulullah bertanya, 'Apakah yang membuatkan saudara datang?' Saad menjawab, 'Terdetik dalam diri saya perasaan risau tentang Rasulullah. Lalu saya datang bagi menjaga tuan.' Rasullullah berdoa untuknya, kemudian tidur." - Hadith ini terdapat dalam rekod koleksi sahih Muslim

Nota: Dalam rekod lain dicatatkan bahawa Aisyah melaporkan Nabi Muhammad tidur sampai dia dapat mendengar dengkurannya.

Analisis hadith:

1. Hadith ini menunjukkan teknik bagaimana Nabi Muhammad menyatakan rasa penghargaan kepada seseorang yang telah melakukan kebaikan kepada beliau.

2. Dalam hadith ini Saad bin Abu Waqas secara sukarela menjadi pengawal peribadi dan dia menjaga keselamatan Nabi Muhammad semasa beliau tidur.

3. Nabi Muhammad tidak berkata "Terima kasih." kepada Saad.

4. Nabi Muhammad membalas perbuatan baik Saad itu dengan membacakan doa untuknya.

5. Prinsip yang penting dalam hadith ini adalah: Budi baik dibalas dengan budi baik, bukan dengan ucapan 'terima kasih'.

i. Saad bin Abu Waqas melakukan budi baik untuk Nabi Muhammad. Dia menjaga keselamatan Nabi Muhammad.

ii. Nabi Muhammad membalas budi baik Saad itu dengan melakukan budi baik juga untuk Saad. Beliau membaca doa untuk Saad.

Nota: Percuma! Tuan boleh menerima kiriman dalam emel tuan semua posting dalam blog ini dengan mengisi jendela emel yang disediakan.



Bagaimana Nabi Muhammad Berespon kepada Cakap Orang yang Tahap Ilmunya Rendah

Hadith 'Tuhan di Langit'
Muawiyah memberitahu, "Saya pernah mempunyai seorang hamba wanita yang bekerja menggembala kambing milik saya di kawasan Uhud dan Jawwaniyyah. Pada suatu hari, saya membuat pemeriksaan dan saya dapati seekor kambing telah dimakan serigala. Saya adalah manusia biasa yang boleh marah seperti mana orang lain marah, dan saya telah menamparnya satu kali. Kemudian saya pergi berjumpa Nabi Muhammad, dan beliau menganggap masalah saya itu masalah berat. Saya berkata, "Wahai Rasul Allah, apakah saya patut membebaskan dia?" Nabi Muhammad berkata, "Bawa dia ke sini." Lalu saya pun membawa hamba saya itu kepada Rasulullah. Beliau bertanya kepada hamba saya itu: "Di mana Allah?" Hamba saya menjawab: "Di langit." Nabi Muhammad bertanya lagi: "Siapa saya?" Dia menjawab: "Tuan adalah Rasul Allah." Nabi Muhammad berkata: "Bebaskan dia, kerana dia seorang wanita beriman." - Hadith ini terdapat dalam rekod hadith autentik koleksi Sahih Muslim

Hadith ini adalah hadith yang paling jelas menunjukkan bagaimana Nabi Muhammad berespon kepada jawapan seorang yang ilmu dan daya inteleknya lebih rendah.

Dalam persitiwa itu, Nabi Muhammad menjalankan ujian keimaman ke atas seorang hamba perempuan milik Muawiyah. Di sini kita membuat andaian bahawa hamba itu bukan seorang yang pintar dan mempunyai ilmu tauhid yang mendalam.

Soalan keimanan yang ditanya oleh Nabi Muhammad kepada hamba perempuan itu: "Di mana Allah?"

Hamba perempuan itu menjawab: "Di langit."

Mendengar jawapan hamba itu, Nabi Muhammad tidak berkata apa-apa. Beliau tidak mengatakan jawapan itu betul mahupun salah.

Beliau terus bertanyakan soalan kedua. "Siapa saya?" 

Hamba itu menjawab: "Tuan adalah Rasul Allah." 

Sesudah mendengar jawapan kedua itu barulah Nabi Muhammad memerintahkan Muawiyah supaya membebaskan hambanya.

------------
 
Nota: Percuma! Tuan boleh menerima kiriman dalam emel tuan semua posting dalam blog ini dengan mengisi jendela emel yang disediakan.


Nabi Muhammad Menjalankan Peranan Sebagai Orang Tengah dalam Konflik Antara Majikan dan Pekerjanya

Hadith 'Tuhan di Langit'
Muawiyah memberitahu, "Saya pernah mempunyai seorang hamba wanita yang bekerja menggembala kambing milik saya di kawasan Uhud dan Jawwaniyyah. Pada suatu hari, saya membuat pemeriksaan dan saya dapati seekor kambing telah dimakan serigala. Saya adalah manusia biasa yang boleh marah seperti mana orang lain marah, dan saya telah menamparnya satu kali. Kemudian saya pergi berjumpa Nabi Muhammad, dan beliau menganggap masalah saya itu masalah berat. Saya berkata, "Wahai Rasul Allah, apakah saya patut membebaskan dia?" Nabi Muhammad berkata, "Bawa dia ke sini." Lalu saya pun membawa hamba saya itu kepada Rasulullah. Beliau bertanya kepada hamba saya itu: "Di mana Allah?" Hamba saya menjawab: "Di langit." Nabi Muhammad bertanya lagi: "Siapa saya?" Dia menjawab: "Tuan adalah Rasul Allah." Nabi Muhammad berkata: "Bebaskan dia, kerana dia seorang wanita beriman." - Hadith ini terdapat dalam rekod hadith autentik koleksi Sahih Muslim

Hadith ini adalah hadith yang paling jelas menunjukkan prinsip-prinsip dan teknik yang digunakan oleh Nabi Muhammad apabila beliau meleraikan konflik (conflict resolution) antara pihak orang bijak dan kaya dengan pihak orang miskin dan bodoh yang berada di bawah kekuasaan pihak si kaya itu. 

Beberapa prinsip yang dapat digali daripada peristiwa dalam hadith ini adalah:

1. Mula-mula sekali Nabi Muhammad telah meyakinkan orang kaya itu dan berkuasa itu bahawa masalahnya adalah masalah yang berat.

2. Nabi Muhammad tidak menyebut sama sekali isu kambing dan isu si kaya menampar si miskin.

3. Sebelum mengemukakan penyelesaian kepada konflik itu kepada si kaya, beliau menyuruh si kaya supaya membawa si miskin ke hadapan beliau.

4. Kepada si miskin Nabi Muhammad tidak menyiasat mengapa dia telah ditampar oleh si kaya.

5. Nabi Muhammad juga tidak meminta si miskin membela dirinya.

6. Meskipun Nabi Muhammad bertanya kepada si miskin, tetapi pertanyaannya bukan berkenaan konflik itu, sebaliknya beliau bertanya bagi menguji iman si miskin.

7. Selepas beranya 2 soalan tentang iman, Nabi Muhammad menyuruh si kaya membebaskan si miskin. Itu juga yang telah ditanyakan oleh si kaya sebelumnya.

Ringkasnya, Nabi Muhammad memberikan penyelesaian sebagaimana yang sudah terlintas dalam fikiran si kaya.

Alasan yang digunakan oleh Nabi Muhammad sewaktu membebaskan si hamba itu tiada kaitan dengan konflik itu!

------------
 
Nota: Percuma! Tuan boleh menerima kiriman dalam emel tuan semua posting dalam blog ini dengan mengisi jendela emel yang disediakan.

Nabi Muhammad Menerangkan Bagaimana Orang Baik-Baik Boleh Menyebabkan Islam Dibenci Orang

Hadith 'Menolong Syaitan'
Abu Hurairah melaporkan, pada suatu hari ada seorang lelaki peminum arak dibawa ke hadapan Nabi Muhammad. Nabi Muhammad berkata, “Pukul dia.” Abu Hurairah melaporkan lagi, ada sebahagian orang yang ada di situ memukul lelaki itu dengan tangan, ada yang memukul dengan selipar, ada yang memukul dengan baju. Apabila hukuman seslesai dijalankan, ada seseorang berkata, “Moga-moga Allah merendahkan kamu!” Mendengar kata-kata itu Nabi Muhammad berkata, “Jangan kata begitu, saudara menolong syaitan menguasai dirinya.” -- Hadith No. 2159 dalam kitab Ringkasan Sahih al-Bukhari

Hadith ini adalah hadith yang paling jelas menunjukkan Nabi Muhammad menerangkan faktor-faktor yang menyebabkan golongan orang baik-baik boleh menyebabkan Islam dibenci.

Dalam hadith ini ada orang mengutuk seorang lelaki peminum arak yang sedang menjalani hukuman. Dia mengutuk dengan berkata: “Moga-moga Allah merendahkan kamu!” Nabi Muhammad menegur dengan berkata: “Jangan kata begitu, saudara menolong syaitan menguasai dirinya.”

Maksud "Saudara menolong syaitan menguasai dirinya." adalah lelaki yang dikuasai oleh syaitan  akan melakukan apa yang disuruh oleh syaitan. Aktiviti syaitan yang paling utama adalah supaya manusia menolak Allah, menolak agama Allah, dan menolak golongan yang menyeru ke jalan Allah, yakni para nabi dan ulamak.

Berdasarkan hadith itu, perkara-perkara menyebabkan syaitan dapat mengusai golongan kurang baik adalah:

1. Apabila ada golongan baik yang suka mengutuk mereka yang tidak sebaik dirinya sendiri.

2. Golongan baik itu mengutuk secara terbuka, yakni dapat didengar oleh orang-orang lain.

3. Golongan tidak baik yang dikutuk itu pula dapat mendengar diri mereka dikutuk.

4. Golongan tidak baik itu tahu siapa yang mengutuk dirinya.

Hadith ini juga menunjukkan bagaimana Nabi Muhammad secara terbuka dan serta-merta memarahi golongan baik yang suka mengutuk golongan kurang baik.

------------
Nota: Percuma! Tuan boleh menerima kiriman dalam emel tuan semua posting dalam blog ini dengan mengisi jendela emel yang disediakan.


Teknik Nabi Muhammad Menghiburkan Hati Orang yang Berasa Dirinya Kurang Bernasib Baik Berbanding Orang Lain

Abu Dzar melaporkan bahawa pada suatu masa beberapa sahabat Nabi Muhammad bertanya kepada beliau, "Wahai Pesuruh Allah, orang-orang kaya telah meninggal dunia dengan membawa banyak pahala. Mereka bersembahyang sama seperti kami, mereka juga berpuasa sama seperti kami, dan mereka dapat bersedekah dengan harta-harta mereka yang lebih banyak." 


Nabi Muhammad menjawab dengan berkata, "Bukankah Allah memberikan kepada saudara semua peluang bersedekah? Setiap bacaan tasbih adalah sedekah, setiap bacaan takbir adalah sedekah, setiap bacaan tahmid adalah sedekah, setiap bacaan tahlil adalah sedekah, membuat kebaikan adalah sedekah, menjauhi keburukan adalah sedekah, dan persetubuhan saudara dengan isteri adalah sedekah." -- Hadith no. 545 dalam kitab Hadith Sahih Muslim

Hadith ini adalah hadith yang paling jelas menunjukkan teknik Nabi Muhammad menghiburkan hati orang yang berasa diri mereka kurang bernasib baik apabila mereka membandingkan diri mereka dengan orang lain.

Dalam hadith ini orang-orang itu berasa kurang bernasib baik disebabkan mereka tidak dapat bersedekah sebanyak golongan yang kaya dan berharta.

Cara Nabi Muhammad menghiburkan mereka adalah dengan:

1. Tidak menasihati mereka supaya jangan berasa iri hati dan cemburu terhadap kekayaan orang lain.

2. Tidak menegur ataupun mengkritik sikap mereka yang 'tidak bersyukur dengan apa yang ada'.

3. Kepada orang miskin, Nabi Muhammad menerangkan berkenaan 'peluang bersedekah' yang banyak bagi orang yang miskin harta.

4. Menerangkan jenis-jenis peluang bersedekah yang tidak memerlukan seseorang itu menggunakan harta kekayaan.

5. Peluang bersedekah itu jenis yang terbuka 24 jam sehari semalam.

6. Jenis-jenis sedekah itu adalah sedekah yang sangat mudah dilakukan, yakni dengan membaca tasbih, takbir, tahmid, tahlil dan dengan melakukan persetubuhan dengan isteri.

------------

Nota: Percuma! Tuan boleh menerima kiriman dalam emel tuan semua posting dalam blog ini dengan mengisi jendela emel yang disediakan.
.

Nabi Muhammad Tidak Menyuruh Orang Buat Kerja Betul dengan Mengkritik Golongan yang Buat Kerja Salah

Imran bin Husain melaporkan pada suatu masa ada seorang lelaki datang mendekati Nabi Muhammad. Lelaki itu berkata, “Assalamualaikum.” Nabi Muhammad berkata, “Dia mendapat 10 pahala.” Kemudian datang pula seorang lain yang berkata, “Assalamualaikum wa rahmatullah.” Nabi Muhammad berkata, “Dia mendapat 20 pahala.” Kemudian datang lagi seorang lain yang berkata, “Assalamualaikum wa rahmatullah wa barakatuh.” Nabi Muhammad berkata, “Dia mendapat 30 pahala.” -- Hadith No. 2689 dalam kitab Shahih Sunan Tarmizi

Hadith ini adalah hadith yang paling jelas menunjukkan prinsip dan teknik yang digunakan oleh Nabi Muhammad apabila beliau mengajak orang melakukan kerja-kerja baik.

Dalam hadith ini Nabi Muhammad mendorong orang-orang yang ada bersama-sama dengan beliau pada waktu itu supaya mereka belajar memberi salam dengan cara yang betul.

Beberapa perkara yang beliau lakukan, dan tidak lakukan:

1. Beliau menunjukkan orang-orang yang melakukankerja yang betul sahaja, supaya ditiru.

2. Beliau tidak menunjukkan orang-orang yang melakukankerja-kerja tidak betul, supaya jangan ditiru.

3. Beliau menunjukkan 3 jenis contoh kerja yang dibuat dengan betul, yang betul, yang lebih betul, dan yang paling betul.

4. Beliau memberi ranking kepada 3 jenis teknik betul itu: 10 pahala, 20 pahala, 30 pahala.

Hadith ini bertentangan dengan amalan menegur, mengkritik dan mengutuk golongan yang melakukan kesalahan teknikal apabila melakukan sesuatu kerja.

------------

Nota: Tuan boleh menerima kiriman dalam emel tuan semua posting dalam blog ini dengan mengisi jendela emel yang disediakan.

.

Teknik Nabi Muhammad Menegur Lelaki Kaya yang Melakukan Kesalahan Mempamerkan Kekayaannya

Abu Sa'id al-Khudri melaporkan bahawa seorang lelaki dari negeri Najran pernah datang berjumpa Nabi Muhammad. Pada jarinya dia memakai cincin emas. Nabi Muhammad memalingkan muka dan berkata, "Saudara datang berjumpa saya, pada jari saudara itu ada bara api neraka." -- Rekod hadith ini terdapat dalam koleksi hadith al-Nasa'i.

Undang-undang Islam tidak mengizinkan lelaki memakai emas di bandannya. Hadith ini menunjukkan teknik Nabi Muhammad menegur seorang lelaki yang melakukan kesalahan memakai emas di badannya, iaitu cincin emas. 

Teknik yang Nabi gunakan adalah tidak menerangkan kepada lelaki itu hukum memakai emas. 

Konteks dalam hadith ini adalah:

1. Seorang lelaki menegur seorang lelaki atas kesalahan personal.

2. Berdasarkan jenis kesalahan yang dilakukannya, lelaki yang ditegur itu adalah seorang lelaki yang berharta, yakni dia memakai cincin emas.

3. Emas adalah simbol kekayaan.

4. Harta dan kekayaan mempunyai kaitan yang sangat rapat dengan maruah dan status sosial seseorang lelaki.

Dalam hadith-hadith lain, apabila Nabi Muhammad menegur orang yang melakukan kesalahan teknik yang beliau gunakan adalah dengan menerangkan peraturan di sebalik kesalahan itu, yakni Nabi Muhammad menerangkan apa yang salah dan apa yang betul. Dalam hadith ini, Nabi Muhammad tidak melakukan itu.

Teknik menegur yang digunakan oleh Nabi Muhammad adalah:

1. Lelaki kaya itu memakai cincin emas. Nabi Muhammad tidak menyebut perkataan 'cincin emas' dalam ayat teguran yang diucapkannya. Beliau menggunakan perkataan 'bara dari api neraka'.

2. Lelaki itu lelaki kaya. Nabi Muhammad tidak menyebut perkataan-perkataan yang membawa makna kaya, kekayaan, harta dan lain-lain perkataan seperti itu.

3. Kepada lelaki kaya itu Nabi Muhammad TIDAK berkata: 

a. "Haram! Haram!" (salah - ayat hukum)
b. "Orang lelaki haram memakai cincin emas."
(salah - ayat hukum)
c. "Tidakkan saudara tahu bahawa memakai cincin emas adalah haram hukumnya?" (salah - ayat hukum)

NOTA: Isu bagaimana hendak menegur perbuatan orang kaya yang mempamerkan simbol-simbol kekayaannya adalah isu yang sangat sensitif.


.

Prinsip-Prinsip Motivasi Nabi Muhammad untuk Majikan Gunakan bagi Mendorong Pekerja

Abu Hurairah melaporkan bahawa Nabi Muhammad pernah berkata: "Apabila seorang hamba menyediakan makanan untuk tuannya, kemudian dia datang dalam keadaan dia sudah merasai kepanasan dan asap bau makanan itu, suruhlah hamba itu duduk bersama tuannya dan makan. Seandainya makanan itu sedikit, maka letaklah makanan di tangannya satu ataupun dua suap. -- Hadith nombor 3150 dalam rekod hadith-hadith autentik koleksi Bukhari

Hadith di atas adalah dalam konteks hubungan antara majikan dan pekerja.

Hadith ini adalah hadith yang paling jelas menunjukkan Nabi Muhammad mengiktiraf peranan penting apa yang disebut 'ganjaran material' ke atas motivasi pekerja.

Beberapa prinsip penggunaan ganjaran material sebagai alat mendorong semangat bekerja yang dapat digali dari hadith ini adalah:

1. Objek yang dijadikan ganjaran itu adalah benda yang diingini oleh pekerja.

Sebagai contoh, duit adalah ganjaran yang diingini oleh pekerja. Contoh ganjaran yang mungkin tidak diingini oleh pekerja adalah ganjaran pergi melancong. Si majikan mungkin suka pergi melancong, tetapi pekerja lebih mahukan duit tunai sebab dia mahu membeli kereta.

2. Objek itu adalah objek yang juga disukai oleh majikan.

Duit adalah benda yang diingini oleh pekerja dan juga oleh majikan. Contoh ganjaran yang mungkin tidak disukai oleh majikan adalah memberi kain batik kepada pekerja, sedangkan si majikan sendiri tidak suka memakai kain batik.

3. Ganjaran diberikan serta-merta, tidak ditangguh-tangguhkan.

Sebagai contoh, majikan memberi komisen mingguan ataupun bulanan kepada pekerja, selain gaji.

4. Majikan sendiri yang memberikan ganjaran itu.

Sebagai contoh, majikan yang membuat keputusan mahu menaikkan bonus untuk pekerjanya, bukan kerana terpaksa atas tuntutan dan ugutan pekerja.

5. Ganjaran tetap diberikan kepada pekerja meskipun sedikit.

Ertinya bonus tetap diberikan asalkan sahaja pekerja sudah menjalankan kerjanya dengan baik, tidak dikenakan kriteria-kriteria yang dibuat oleh majikan bagi menyusah-nyusahkan pekerja menerima ganjarannya.

6. Pekerja yang diberikan ganjaran adalah pekerja yang bekerja.

.

Teknik Nabi Muhammad Menegur Orang Alim yang Melakukan Kesalahan di Hadapan Khalayak Ramai

Hadith 'Orang Baik Menolong Syaitan'
Abu Hurairah melaporkan, pada suatu hari ada seorang lelaki peminum arak dibawa ke hadapan Nabi Muhammad. Nabi Muhammad berkata, “Pukul dia.” Abu Hurairah melaporkan lagi, ada sebahagian orang yang ada di situ memukul lelaki itu dengan tangan, ada yang memukul dengan selipar, ada yang memukul dengan baju. Apabila hukuman seslesai dijalankan, ada seseorang berkata, “Moga-moga Allah merendahkan kamu!” Mendengar kata-kata itu Nabi Muhammad berkata, “Jangan kata begitu, saudara menolong syaitan menguasai dirinya.” -- Hadith No. 2159 dalam kitab Ringkasan Sahih al-Bukhari

Hadith ini adalah hadith yang jelas menunjukkan teknik yang digunakan oleh Nabi Muhammad apabila beliau menegur seorang alim yang melakukan kesalahan di khalayak ramai.

Lelaki yang ditegur oleh Nabi Muhammad itu adalah lelaki yang baik agamanya berdasarkan:

a. Lelaki itu mengetahui hukum agama, dalam kes ini dia tahu hukum minum arak.

b. Dia sendiri tidak minum arak.

c. Dia membenci peminum arak.

d. Dia tidak menyembunyikan kebenciannya terhadap perbuatan meminum arak.

Kesalahan yang dilakukan oleh lelaki alim itu adalah:

a. Lelaki itu mengutuk seorang yang buruk akhlaknya dan melakukan dosa besar, iaitu minum arak.

b. Kesalahan lelaki alim itu adalah dia mengucapkan kata-kata yang tidak disetujui oleh Nabi Muhammad.

c. Dalam kata-katanya itu dia mendoakan perkara buruk untuk seorang yang telah menjalani hukuman atas kesalahan meminum arak.

d. Dia menyebut doa buruknya itu dengan kuat dan secara terbuka sehingga dapat didengar oleh orang lain: (i) Abu Hurairah, yang melaporkan peristiwa itu, (ii) Nabi Muhammad.

e. Berdasarkan fakta bahawa doa buruknya itu dapat didengar oleh Nabi Muhammad dan Abu Hurairah, maka kita yakin doanya itu juga dapat didengar oleh orang-orang lain yang ada di tempat kejadian itu.

f. Doanya itu juga dapat didengar oleh penimum arak yang menjalani hukuman itu.

Teknik yang digunakan oleh Nabi Muhammad apabila menegur orang alim itu:

a. Nabi Muhammad menegur lelaki alim itu serta-merta.

b. Nabi Muhammad menegur secara terus terang, tanpa berlapik-lapik ataupun menyindir sipi-sipi.

c. Lelaki alim itu melakukan kesalahannya terbuka, lalu Nabi Muhammad menegurnya secara terbuka. (Abu Hurairah yang mendengar kata-kata buruk yang diucapkan oleh lelaki itu juga dapat mendengar kata-kata teguran Nabi Muhammad.)

d. Ayat teguran Nabi Muhammad: “Jangan kata begitu, saudara menolong syaitan menguasai dirinya.” Ayat ini terdiri daripada 2 ayat:

i. Ayat larangan: “Jangan kata begitu."  Ayat ini menerangkan dengan spesifik perbuatan yang dilarang, yakni tidak boleh mengucapkan kata-kata: “Moga-moga Allah merendahkan kamu!”

ii. Ayat penerangan: “Saudara menolong syaitan menguasai dirinya.”  Ayat ini menerangkan akibat buruk kesalahan yang akan berlaku akibat kata-kata yang diucapkan oleh lelaki itu.

Nota: Hadis ini menerangkan mengapa perbuatan mengutuk orang yang akhlaknya buruk adalah kesalahan yang serius dan ia ditegah oleh Nabi Muhammad.

.

Teknik Nabi Muhammad Mendorong Orang Supaya Suka Melakukan Kerja Baik yang Sangat Mudah dan Ringan

Sa'ad bin Abi Waqas melaporkan bahawa Nabi Muhammad berkata, "Apakah ada seseorang dalam kalangan kalian yang penat melakukan 1000 kebaikan tiap-tiap hari?" Ada orang bertanya dari tempat duduknya, "Bagaimanakah kami dapat melakukan 1000 kebaikan?" Nabi Muhammad berkata, "Bertasbih seratus kali, dicatatkan seribu kebaikan." -- Hadith ini direkodkan dalam Sahih Muslim

Nota: Tasbih = subhanallah

Dalam hadith itu Nabi Muhammad mendorong hadirin supaya suka bertasbih setiap hari.

Kepada hadirin beliau bertanya: "Apakah ada seseorang dalam kalangan kalian yang penat melakukan 1000 kebaikan tiap-tiap hari?"

Pertanyaan itu menyebabkan seorang bertanya bagi pihak semua hadirin: "Bagaimanakah kami dapat melakukan 1000 kebaikan?"  Kata-kata ini menunjukkan hadirin yang mendengar terdorong mahu melakukan 1000 kebaikan setiap hari.

Barulah kemudian Nabi Muhammad menerangkan perkara baik yang membolehkan mereka melakukan 1000 kebaikan setiap hari. Kata beliau: "Bertasbih seratus kali, dicatatkan seribu kebaikan."

Teknik yang beliau gunakan adalah:

1. Sebut dahulu ganjaran perbuatan baik itu.

2. Gunakan ayat tanya.

3. Kemudian baru terangkan apa pekerjaan yang digalakkan.


.

Strategi Kempen Persuasif: Nabi Muhammad Menggunakan Strategi 'Model Betul' Sahaja



Apabila Nabi Muhammad menjalankan kempen mendorong orang supaya melakukan sesuatu dengan teknik yang betul, beliau menunjukkan kepada mereka contoh-contoh teknik yang betul sahaja.

Nabi Muhammad menggunakan MB (model betul). Beliau tidak menggunakan MS (model salah)

Poster ini adalah contoh kempen yang menggunakan kedua-dua model - Model Betul (MB) dan Model Salah (MS). Cara ini bukan strategi Nabi Muhammad.

Hadith rujukan: 'Markah untuk Salam'
Imran bin Husain melaporkan pada suatu masa ada seorang lelaki datang mendekati Nabi Muhammad. Lelaki itu berkata, “Assalamualaikum.” Nabi Muhammad berkata, “Dia mendapat 10 pahala.” Kemudian datang pula seorang lain yang berkata, “Assalamualaikum wa rahmatullah.” Nabi Muhammad berkata, “Dia mendapat 20 pahala.” Kemudian datang lagi seorang lain yang berkata, “Assalamualaikum wa rahmatullah wa barakatuh.” Nabi Muhammad berkata, “Dia mendapat 30 pahala.” -- Hadith No. 2689 dalam kitab Shahih Sunan Tarmizi


Teknik Nabi Muhammad Membetulkan Kesilapan Teknikal dalam Menjalankan Ibadat

Mu'awiyah bin al-Hakam al-Sulami melaporkan, katanya: "Sewaktu saya sedang bersembahyang bersama-sama Nabi Muhammad, tiba-tiba salah seorang daripada jemaah bersin. Saya pun mengucapkan 'Yarhamuka Allah'. Lalu semua orang memandang saya. Saya pun berkata, "Saya sungguh kesal, apakah yang menyebabkan kalian memandang saya?" Itu menyebabkan mereka menepuk paha dengan tangan mereka. Apabila saya pandang mereka, saya pun faham mereka mahu supaya saya diam, lalu saya pun diam. 

Apabila Rasulullah selesai solat, demi ayah dan ibu, saya tidak pernah melihat seorang guru, sama ada sebelum ataupun selepas Rasulullah, yang lebih baik mengajar daripada beliau. Demi Allah, beliau tidak memarahi, memukul ataupun mengkritik saya. Beliau hanya berkata: "Sesungguhnya semasa sembahyang solat, tidak boleh mengucapkan apa-apa komunikasi dengan manusia. Sesungguhnya, ucapan yang sesuai itu adalah tasbih, takbir dan membaca al-Quran." -- Hadith ini terdapat dalam koleksi hadith autentik Bukhari dan koleksi Abu Daud. 

Semasa peristiwa ini berlaku, Muawiyah bin Hakam baru sahaja memeluk Islam.

Dalam peristiwa itu, Muawiyah melakukan kesilapan teknikal. Dia bercakap semasa sedang bersembahyang. 

1. Nabi Muhammad dapat mendengar kata-kata yang diucapkan oleh Muawiyah, yakni beliau tahu ada orang melakukan kesilapan teknikal.  

2. Sebaik-baik selesai sembahyang Nabi Muhammad terus membetulkan kesilapan teknikal itu.

3. Beliau tidak menyiasat siapa yang melakukan kesilapan itu dengan bertanya: "Siapa tadi yang saya dengar bercakap-cakap semasa kita sedang solat?"

4. Nabi Muhammad hanya menerangkan peraturan sembahyang di mana beliau memberitahu jenis kata-kata yang boleh disebut, dan yang tidak boleh disebut, semasa sedang bersembahyang.

5. Nabi Muhammad tidak menujukan secara spesifik tegurannya kepada Muawiyah. Kata-katanya ditujukan kepada semua orang yang hadir pada masa itu.

6. Strategi pendidikan Nabi Muhammad dalam peristiwa ini:

i. Kepada orang yang melakukan kesilapan disebabkan dia tidak tahu peraturan, cara membetulkan kesilapannya adalah dengan menerangkan peraturan itu.

ii. Kesilapan dilakukan oleh SATU individu, tetapi penerangannya ditujukan kepada SEMUA individu.

Nota: Yarhamuka Allah = Semoga Allah merahmati kamu.


Teknik Nabi Muhammad Memberikan Respon kepada Orang yang Mengkritik Kaumnya Sendiri

Mu'awiyah bin al-Hakam al-Sulami pernah berkata kepada Nabi Muhammad, "Wahai Rasul Allah, sesungguhnya saya baru sahaja meninggalkan zaman kejahilan. Sesungguhnya Allah menunjukkan saya kepada Islam. Sesungguhnya ada dalam kalangan kami orang-orang yang pergi berjumpa dengan tukang tilik nasib." Nabi Muhammad menjawab, "Jangan pergi berjumpa mereka (tukang tilik)." Mu'awiyah bin al-Hakam berkata, "Dalam kalangan kami, ada yang mempercayai nasib sial." Nabi Muhammad menjawab, "Perkara sebegitu melekat di dada-dada mereka, bukan mudah bagi mereka menghilangkannya." Hadith ini terdapat dalam rekod Sahih Muslim dan Sunan Abu Daud.

Dalam hadith ini Mu'awiyah bin al-Hakam al-Sulami mengkritik kelemahan dan kebodohan kaumnya sendiri.

Jawapan Nabi Muhammad menunjukkan teknik yang betul memberikan respon kepada seseorang yang mengkritik golongannya sendiri.

Ayat kritikan Mu'awiyah bin al-Hakam: "Sesungguhnya ada dalam kalangan kami orang-orang yang pergi berjumpa dengan tukang tilik nasib."

Respon Nabi Muhammad: "Jangan pergi berjumpa mereka (tukang tilik)."

Ayat kritikan Mu'awiyah bin al-Hakam: "Dalam kalangan kami, ada yang mempercayai nasib sial."

Respon Nabi Muhammad: "Perkara sebegitu melekat di dada-dada mereka, bukan mudah bagi mereka menghilangkannya."

NOTA: Nabi Muhammad tidak pernah mengutuk ataupun memburuk-burukkan bangsanya sendiri.

.

Teknik Komunikasi Persuasif Nabi Muhammad: Mendahulukan Pujian Sebelum Menyuruh Kerja Berat

Muaz bin Jabal memberitahu bahawa beliau pernah bertanya kepada Nabi Muhammad: "Wahai Rasul Allah, terangkan kepada saya amalan yang dapat memasukkan saya ke dalam syurga." Nabi Muhammad berkata, "Bakh! Bakh! Sesungguhnya saudara telah bertanyakan suatu soalan yang agung. Ia menjadi mudah bagi sesiapa yang diberi kemudahan oleh Allah. Lakukanlah sembahyang yang ditetapkan, dan bayarlah zakat yang diwajibkan." - Hadith ini direkodkan dalam Musnad Abu Daud. 

Salah satu tugas ketua-ketua adalah mendorong anak-anak buahnya supaya mahu menjalankan pekerjaan yang berat.   

Dalam hadith di atas Nabi Muhammad menunjukkan strategi yang beliau gunakan apabila mendorong Muaz bin Jabal supaya melakukan 2 pekerjaan berat itu.

Contoh 2 pekerjaan yang berat adalah:

1. Melakukan sembahyang 5 kali sehari semalam tiap-tiap hari seumur hidup baik dalam keadaan sihat ataupun sakit.

2. Membayar cukai pendapatan dan harta kekayaan yang disebut 'zakat'. 

Strategi yang beliau gunakan adalah memulakan ucapan dengan menggunakan ayat-ayat pujian: "Bakh! Bakh! Sesungguhnya saudara telah bertanyakan suatu soalan yang agung. Ia menjadi mudah bagi sesiapa yang diberi kemudahan oleh Allah." 

Kemudian baru disebutkan 2 pekerjaan berat itu: "Lakukanlah sembahyang yang ditetapkan, dan bayarlah zakat yang diwajibkan." 

Formulanya: 2 ayat pujian + 1 ayat suruhan

NOTA: Apabila Nabi Muhammad memuji, yang beliau puji adalah perbuatan baik yang dilakukan, bukan diri si fulan itu.



Bahasa Persuasif Nabi Muhammad: Tidak Menggunakan Perkataan 'kerana' & 'sebab'

Abdullah bin Abi Aufa melaporkan bahawa Abdul Rahman bin Auf pernah mengadu kepada Nabi Muhammad tentang Khalid al-Walid. Lalu Nabi Muhammad berkata kepada Khalid, "Wahai Khalid, janganlah saudara menyakiti lelaki yang menjadi anggota tentera Perang Badar. Andai kata saudara bersedekah dengan emas sebesar Gunung Uhud, tentu saudara masih tidak dapat menyaingi amalannya." Khalid al-Walid pun berkata, "Wahai Rasul Allah, mereka menuduh saya, sedangkan yang dimaksudkan adalah mereka." Nabi Muhammad berkata, "Janganlah menyakiti Khalid, sesungguhnya dia adalah pedang daripada pedang-pedang Allah 'azza wa jalla. Allah menghantarkan dia bagi memerangi orang-orang kafir." - Hadith ini direkodkan dalam koleksi hadith-hadith autentik Ibn Hibban

Nabi Muhammad adalah seorang yang sangat mahir mempengaruhi orang-orang lain. Apabila beliau bercakap, respon orang-orang yang mendengar kata-katanya adalah:

1. Faham maksud kata-kata Nabi.

2. Bersetuju dengan apa yang dikemukakan oleh Nabi.

3. Tidak berasa mereka ditekan ataupun dipaksa supaya mematuhi cakap Nabi.

4. Berasa suka dan gembira apabila berpeluang melakukan apa yang Nabi suruh.

5. Bertambah kasih kepada Nabi.

Salah satu faktor yang menyebabkan daya pengaruh Nabi Muhammad sangat tinggi ada pada gaya bahasanya.

Dalam hadith di atas, Nabi Muhammad menyuruh Abdul Rahman bin Auf dan Khalid al-Walid supaya berdamai.

Sewaktu Nabi Muhammad bercakap kepada dua orang tokoh itu, beliau tidak menggunakan perkataan 'oleh kerana' ataupun 'oleh sebab', dalam bahasa Arabnya beliau tidak menggunakan perkataan 'li'anna'.

I. Kepada Khalid al-Walid, Nabi Muhammad berkata: "Wahai Khalid, janganlah saudara menyakiti lelaki yang menjadi anggota tentera Perang Badar. Andai kata saudara bersedekah dengan emas sebesar Gunung Uhud, tentu saudara masih tidak dapat menyaingi amalannya." 

BUKAN: "Wahai Khalid, janganlah saudara menyakiti lelaki yang menjadi anggota tentera Perang Badar, KERANA / SEBAB andai kata saudara bersedekah dengan emas sebesar Gunung Uhud, tentu saudara masih tidak dapat menyaingi amalannya." 


II. Kepada Abdul Rahman bin Auf, Nabi Muhammad berkata: "Janganlah menyakiti Khalid, sesungguhnya dia adalah pedang daripada pedang-pedang Allah 'azza wa jalla. Allah menghantarkan dia bagi memerangi orang-orang kafir." 

BUKAN:  "Janganlah menyakiti Khalid, KERANA / SEBAB sesungguhnya dia adalah pedang daripada pedang-pedang Allah 'azza wa jalla. Allah menghantarkan dia bagi memerangi orang-orang kafir."  



Teknik Komunikasi Persuasif Nabi Muhammad Apabila Bercakap Tentang Informasi Lama

Hadith 'Sehelai Bulu Seladang'
Abdullah bin Mas'ud melaporkan pada suatu masa beliau dengan sekitar 40 orang lelaki lain bersama-sama Nabi Muhammad berada di bawah khemah yang diperbuat daripada kulit. Nabi Muhammad berkata, “Sukakah saudara-saudara menjadi seperempat daripada semua penduduk syurga?” Mereka semua menjawab, “Ya.” Nabi Muhammad berkata lagi, “Sukakah saudara-saudara menjadi sepertiga daripada semua penduduk syurga?” Mereka semua menjawab, “Ya.” Lalu Nabi Muhammad berkata, “Demi Zat yang jiwa Muhammad berada di dalam genggamannya, sesungguhnya saya mahukan saudara-saudara menjadi separuh daripada semua penduduk syurga. Sedangkan syurga itu hanya dapat dimasuki oleh jiwa yang muslim. Dan, perbandingan antara saudara-saudara dengan mereka yang menyembah berhala adalah umpama sehelai bulu putih pada kulit seekor seladang hitam, ataupun umpama sehelai bulu hitam pada kulit seekor seladang putih.” -- Hadith No. 102 dalam buku Ringkasan Sahih Muslim

Dalam aktiviti berdakwah, salah satu fungsi komunikasi adalah mengulang-ulang perkara yang sangat penting, yang sudah diketahui oleh target, dengan tujuan supaya perkara penting itu tidak dilupai oleh target.

Isu masuk syurga adalah isu penting yang semua orang sudah tahu. Informasi yang sudah diketahui disebut sebagai 'informasi lama'. Informasi lama tidak mempunyai daya pengaruh, oleh itu tidak disukai oleh pendengar.

Informasi berkenaan syurga dan syarat-syarat kelayakan memasuki syurga juga sudah diketahui oleh umum, oleh itu ia adalah informasi lama.

Nabi Muhammad banyak mengulang-ulang perkara penting yang sudah diketahui oleh para sahabat karib beliau, yakni bercakap tentang informasi lama.

Apabila Nabi Muhammad bercakap tentang perkara yang sudah diketahui umum, yakni informasi lama, kata-kata beliau tidak mencipta kesan seperti:

1. Pendengar berasa diri mereka diajar-ajar dan diperbodoh.

2. Pendengar berasa diri mereka dileteri.

3. Pendengar berasa maruah mereka dijatuhkan.

4. Pendengar berasa diri mereka dituduh tidak melakukan apa yang disebut.

Hadith di atas adalah contoh komunikasi persuasif Nabi Muhammad apabila bercakap kepada sahabat-sahabat karib beliau.

Dalam hadith ini Nabi Muhammad mendorong para sahabat supaya mahu menjadi penduduk syurga, sedangkan para sahabat adalah individu-individu yang sudah tahu berkenaan syurga dan mereka mempunyai komitmen yang tinggi mahu menjadi penduduk syurga.

Dalam hadith ini, Nabi Muhammad menerangkan kehendak beliau supaya semua sahabat dapat masuk syurga. Dalam hadith ini beliau bercakap kepada mereka tentang syurga dengan menggunakan ayat-ayat yang sahabat tidak pernah dengar sebelumnya.

Jadi, hadith ini menunjukkan cara yang betul apabila mengulang isu lama adalah dengan menggunakan ayat-ayat baru, iaitu ayat-ayat yang belum pernah didengar oleh target, oleh itu belum terakam dalam memori target.

TEKNIK: Bercakap tentang ISU LAMA menggunakan AYAT BARU.



 

Apabila Memaklumkan Pilihan dan Keputusan, Nabi Muhammad Tidak Menerangkan Alasan

Seorang sahabat Nabi Muhammad yang bernama Abdullah bin Umar melaporkan, semasa orang-orang Islam dari Mekah baru tiba di Madinah, mereka semua berkumpul sementara menunggu masuknya waktu sembahyang. Pada masa itu belum ada apa-apa cara memanggil orang supaya bersembahyang. Disebabkan keadaan itu, pada suatu hari mereka berbincang berkenaan perkara itu. Ada antara mereka yang berkata, “Gunakan loceng macam orang-orang Kristian.” Ada pula yang berkata, “Gunakan trompet daripada tanduk, macam orang-orang Yahudi.” Lalu Umar berkata, “Bagaimana kalau saudara-saudara suruh seorang lelaki supaya melaungkan panggilan sembahyang?” Nabi Muhammad pun berkata, “Wahai Bilal, berdirilah, dan laungkan panggilan sembahyang.” -- Hadith No. 190 dalam kitab Ringkasan Sahih Muslim

Dalam hadith di atas, Nabi Muhammad 2 kali membuat pilihan dan keputusan:

1. Memilih idea panggilan azan.

2. Memilih Bilal sebagai pelaung panggilan azan.

Sewaktu membuat pilihan dan keputusan itu beliau bertindak sebagai ketua.  

Beberapa perkara yang tidak dilakukan oleh Nabi Muhammad:

1. Tidak memberitahu kriteria yang digunakan bagi memilih idea.

2. Tidak memberitahu dan memuji kelebihan yang ada pada idea laungan azan.

3. Tidak mengkritik kelemahan yang ada pada idea loceng dan trompet.

4. Tidak memberitahu kriteria yang beliau gunakan sewaktu memilih Bilal sebagai pelaung azan.

5. Tidak menggunakan sistem undian bagi memilih idea.

6. Tidak menawarkan kepada sesiapa yang ingin ke hadapan bagi menjalankan tugas melaungkan azan.

Nota: Dalam budaya kepimpinan zaman sekarang, ketua-ketua dikehendaki supaya menerangkan semua kriteria dan alasan yang digunakan di sebalik semua pilihan dana kepuusan yang diambil. Gaya Nabi Muhammad membuat keputusan dalam hadith di atas dilabelkan sebagai gaya autokratik atau kuku besi.


Contoh Aplikasi Hadith 'Abu Bakar Masuk Syurga' dalam Sesi P & P oleh Puan Khairulaniza

Hadith rujukan: 'Abu Bakar Masuk Syurga'

Abu Hurairah melaporkan bahawa pada suatu masa Nabi Muhammad pernah bertanya: “Siapakah antara saudara-saudara sekalian yang berpuasa pada hari ini?” Abu Bakar menjawab, “Saya.” Beliau bertanya lagi: “Siapakah antara saudara-saudara sekalian yang hari ini menghantar jenazah?” Abu Bakar menjawab, “Saya.” Beliau bertanya lagi: “Siapakah antara saudara-saudara sekalian yang hari ini memberi orang miskin makan?” Abu Bakar menjawab, “Saya.” Beliau bertanya lagi: “Siapakah antara saudara-saudara sekalian yang hari ini melawat orang sakit?” Abu Bakar menjawab, “Saya.” Lalu Nabi Muhammad berkata: “Seseorang yang melakukan perkara-perkara tersebut sudah tentu masuk syurga.” -- Hadith No. 543 dalam kitab Ringkasan Sahih Muslim

Laporan eksperimen oleh Puan Khairulaniza:

Saya sentiasa cuba membina soalan-soalan akhlak bagi menaikkan self-esteem pelajar-pelajar saya. Saya juga mahu semua pelajar angkat tangan ketika disoal. Namun ada kalanya tiada ramai pelajar yang angkat tangan ketika disoal dengan soalan akhlak yang saya tanyakan.

Misalnya, soalan: “Siapa yang keluar rumah dengan niat hendak belajar?”

Rupa-rupanya, tidak ramai pelajar dalam kelas 5 Pandai yang mempunyai niat mahu belajar. Walau bagaimanapun, saya tanya juga soalan akhlak yang sama pada keesokan harinya. Saya yakin, akan lebih ramai pelajar yang angkat tangan apabila ditanya soalan akhlak yang sama. Saya pasti apabila di penghujung soalan saya nyatakan kebaikan berniat untuk belajar, pelajar-pelajar saya terdorong mahu memasang niat tersebut.

Kata saya: “Seseorang yang berniat mahu belajar ketika menuju ke sekolah, pahala yang kamu dapat adalah sama seperti seseorang itu mati syahid kerana memperjuangkan Islam.” Pelajar yang suka dirinya dipanggil dengan nama 'Abang Long' nampak terlopong dan kelihatan seolah-olah dia berasa kagum dengan impak berniat mahu belajar.

Jadi, seperti yang dirancang, saya mulakan kelas dengan menggunakan teknik soalan semua pelajar dapat angkat tangan juga.

Berdasarkan hadith 'Abu Bakar Masuk Syurga', salah satu jenis soalan yang Nabi Muhammad tanyakan kepada mereka yang ada bersama-sama beliau adalah soalan akhlak. Contoh soalan akhlak yang beliau pernah tanyakan adalah:

1. “Siapakah antara saudara-saudara sekalian yang berpuasa pada hari ini?”

2. “Siapakah antara saudara-saudara sekalian yang hari ini menghantar jenazah?”

3. “Siapakah antara saudara-saudara sekalian yang hari ini memberi orang miskin makan?”

4. “Siapakah antara saudara-saudara sekalian yang hari ini melawat orang sakit?”

Pada hujung sesi soal-jawab itu Nabi Muhammad berkata: "Seseorang yang  melakukan perkara-perkara tersebut sudah tentu masuk syurga."

Pagi itu, ketika saya masuk ke dalam kelas 5 Pandai, saya bertanya: “Siapakah yang pagi tadi keluar rumah dengan niat hendak belajar?”

Saya lihat sudah ramai pelajar yang mengangkat tangan berbanding hari sebelumnya. Abang Long juga angkat tangan. Barangkali dia teringat tentang hal mati syahid yang saya terangkan semalam.

Dengan nada bangga, Abang Long berkata, “Saya, cikgu!” Dia tersengih-sengih. Saya pula tersenyum.

Selepas itu, saya tanya pula soalan akhlak yang lain. Tanya saya: “Siapa yang bersalam dengan ibu ataupun bapa, ataupun kedua-duanya sebelum keluar rumah?”

Pelajar yang mengangkat tangan tidak ramai. Saya rasa memang bukan budaya budak India dan Cina berbuat demikian. Biarpun tidak ramai mengangkat tangan saya tidak terkilan. Saya mahu memuji pelajar yang berbuat kebaikan dengan harapan mereka terdorong untuk melakukan perbuatan tersebut, manakala pelajar-pelajar lain turut terdorong melakukan amalan yang sama pada masa akan datang.

Kata saya, “Kamu telah melakukan kebaikan ketika berniat mahu belajar apabila keluar dari rumah dan ketika bersalam dengan ibu bapa. Kamu menggembirakan hati ibu bapa kamu. Tentunya kamu mendapat pahala dari Allah.”

Bayangkanlah betapa gembiranya saya kerana pelajar-pelajar yang mengangkat tangan begitu gembira mendengar kata-kata saya. Malah pelajar yang tidak mengangkat tangan turut terdorong mahu melakukan tindakan yang sama.

Kata Vanesh, “Cikgu, esok saya akan niat mahu belajar masa datang ke sekolah!”

Saya ketawa mendengar kata-kata Vanesh itu. Pelajaran hari itu berjalan lancar. Pelajar-pelajar saya gembira mahu belajar.

Laporan Eksperimen Puan Siti Khadijah Apabila Guru Tidak Menyiasat Punca Pelajar Melakukan Kesalahan


Laporan Eksperimen Puan Siti Khadijah:

23 Mac 2012:  Pada petang itu, sebaik selesai mengajar subjek terakhir di dalam kelas 5 Ali, saya melalui kaki lima sekolah untuk kembali ke pejabat. Dalam perjalanan, ada seorang pelajar lelaki yang tidak saya kenali namanya memanggil. “Ustazah!”

Saya menoleh dan menjawab panggilan pelajar itu. Ketika memandang wajah pelajar yang memanggil, saya dapati seorang pelajar lelaki sedang berdiri di bawah panas matahari kaki lima sekolah. Dia ditemani oleh dua orang lagi rakannya.

“Ada apa?”

Kerana tidak pasti siapa yang memanggil, saya bertanya kepada mereka secara rawak.

“Cakaplah,” salah seorang daripada mereka menyuruh pelajar yang sedang berdiri di bawah bayang matahari petang itu bercakap.

“Cepatlah cakap. Ustazah tunggu itu,” seorang lagi rakannya turut menyuruh pelajar yang sama menyatakan tujuan mereka memanggil saya.

Pelajar yang dimaksudkan rakan-rakannya tadi kelihatan takut-takut. Matanya merah berair memandang wajah saya. Dia tidak bercakap sepatah pun ketika memandang wajah saya. Barangkali ada sesuatu yang menyebabkan dia bersikap sedemikian, duga saya dalam hati. Lama kami berpandangan. Akhirnya pelajar itu mengalah dengan melarikan diri dari tempat dia sedang berdiri entah ke mana destinasinya tidak pula saya pasti.

“Ustazah, dia kena denda. Ustazah Siti Aminah suruh dia ambil tandatangan semua guru sebab dia tidak hafal surah Al-Fajr.” Seorang rakannya menjelaskan tujuan mereka memanggil saya sebentar tadi.

Saya hanya mendiamkan diri mendengar patah-patah perkataan yang keluar daripada rakan pelajar tersebut. Jujur, saya simpati. Saya amat yakin, bahawa self-esteem pelajar yang didenda sebentar tadi jatuh teruk berdasarkan tindakannya yang sukar untuk menjelaskan tujuan mereka memanggil saya dan perbuatan pelajar itu yang melarikan diri daripada terus berhadapan dengan saya.

Selepas itu, saya meneruskan langkah menuju ke pejabat tanpa bertanya atau menyiasat mengapa atau kenapa pelajar itu didenda sebegitu. 

Ketika menyelesaikan urusan di pejabat, rakan-rakan pelajar yang didenda tadi datang ke pejabat dengan menyerahkan sehelai kertas bertulis ayat yang berbunyi, “Saya tidak hafal surah Al-Fajr” kepada saya supaya saya tandatangani. Pelajar yang didenda itu tidak kelihatan.

Saya meminta supaya pelajar tadi dipanggil berjumpa dengan saya. Tujuan saya hanya satu, saya mahu mengembalikan self-esteemnya yang telah jatuh, bukan mahu menyiasat dengan bertanya soalan-soalan seperti ini:

“Kenapa kamu tidak menghafal surah Al-Fajr?”

“Mengapa kamu didenda sebegini?”

“Kenapa kamu perlu mengambil tandangan saya di atas kertas ini?”

Ketika pelajar itu datang kepada saya, belum pun sempat saya membuka mulut, dia menyatakan alasan mengapa dia didenda sambil dia menangis. “Saya tidak hafal surah Al-Fajr, ustazah, sebab itu saya perlu dapatkan tandangan semua guru sekolah ini,” katanya.

Sungguh, hati saya terusik melihat dan mendengar esak tangisnya. Saya tahan sebak yang mula mengepung jiwa sambil berkata, “Apakah boleh ustazah tahu, berapa ayat yang telah kamu hafal daripada keseluruhan ayat surah Al-Fajr?”

“Saya hafal 11 ayat, ustazah. Ustazah Siti Aminah mahu saya hafal 30 ayat.”

Mendengar jawapannya, saya lalu menyambung lagi, “Bagus. Saya suka dan senang mendengar kamu sudah menghafal sehingga 11 ayat. Saya sangat yakin, sekiranya 11 ayat itu sudah mampu kamu hafal, tentu kamu juga akan mampu menghafal sehingga 30 ayat. Saya akan bantu mendoakan kamu.”

Sebaik mendengar kata-kata saya, wajah pelajar itu berubah seratus peratus. 

Alhamdulillah, saya amat bersyukur dan sangat yakin self-steemnya telah kembali naik. 

Bayangkanlah sekiranya saya terus bertanya mengapa dan kenapa dia didenda dan tidak menghafal atau berleter menasihatinya kerana tidak menghafal, sudah tentu pelajar itu tidak akan menyalami tangan saya dan mengucapkan terima kasih sambil tersenyum dalam linangan air mata.

Hadith rujukan dalam eksperimen itu adalah hadith '12 Malaikat'
Anas melaporkan, pada suatu hari ada seorang lelaki datang dan dia terus masuk barisan orang-orang yang sedang sembahyang, dengan nafasnya termengah-mengah kerana terkocoh-kocoh mengejar waktu sembahyang, sambil membaca 'Alhamdulillahi hamdan kasiran thoyiban mubarakan fih.' Selepas selesai sembahyang, Nabi Muhammad bertanya, “Siapakah tadi yang mengucapkan kata-kata itu?” Semua orang yang ada diam sahaja, tidak seorang pun menjawab. Nabi Muhammad bertanya lagi, “Siapakah tadi yang mengucapkan kata-kata itu? Sebenarnya dia tidak mengucapkan sesuatu yang berdosa.” Lalu seorang lelaki berkata, “Tadi saya datang dengan termengah-mengah, lalu saya ucapkan kata-kata itu.” Kemudian, Nabi Muhammad berkata, “Sungguh, saya nampak 12 orang malaikat berebut-rebut mengangkat kata-kata itu.” -- Hadith No. 271 dalam kitab Ringkasan Sahih Muslim

Nota: 'Alhamdulillahi hamdan kasiran thoyiban mubarakan fih.' bermakna 'Segala puji bagi Allah, pujian yang banyak, bagus, lagi penuh kebaikan.'
.

Laporan Eksperimen Puan Khairulaniza Mengajar Pelajar Cina dan India yang 'Buta 2M' di dalam Kelas Corot

Inilah laporan Puan Khairulaniza....

Saya pasti tersenyum apabila mengenangkan anak-anak didik di kelas KP (kelas peralihan). Pada hari itu saya menguji mereka. Setiap seorang daripada mereka secara bergilir-gilir diminta supaya mengeja perkataan yang saya sebut. 

Ada perkataan yang susah dieja namun ada perkataan yang mudah. Semuanya saya ambil daripada buku teks Bahasa Melayu mereka.

Semua pilihan perkataan yang diuji adalah bergantung kepada tahap kebolehan mereka. Untuk Zhi Kang dan Chi Heng tentunya saya berikan perkataan yang lebih mudah kerana mereka ini pelajar buta 2M. Tujuannya supaya self-esteem mereka naik apabila saya puji kerana dapat meneja dengan tepat.

Apabila ada pelajar yang tidak betul mengeja pula, saya tidak tegur kesalahan mereka. Saya ingin mencontohi Nabi Muhammad yang tidak menegur kesalahan seorang lelaki yang secara terbuka melakukan beberapa kesalahan secara terbuka di dalam masjid semasa orang lain sedang sembahyang.

Saya akan hanya menjatuhkan self-esteem pelajar saya andai saya kritik kesalahan mereka, apatah lagi jika ditegur secara terbuka. Sebab itu, saya tidak kritik mereka apabila mereka salah mengeja.

Saya tidak berkata, “Eja perkataan mudah pun kamu tidak tahu.”

Saya juga tidak berkata, “Kalau mengeja pun kamu tidak tahu, saya tidak tahulah bagaimana kamu hendak lulus peperiksaaan nanti.”

Kar Hau pelajar yang dalam kategori pandai jika dibandingkan dengan pelajar-pelajar KP yang lain.

Jadi, saya sebutkan perkataan yang sedikit mencabar iaitu ‘masyarakat’.

Kata saya, “Kar Hau, kamu eja perkataaan ‘masyarakat’.”

Respon spontan Kar Hau, “Ayo.. susahlah cikgu.”

Kalau dulu mungkin saya akan berkata, “ Bukan susahlah. Kenapa kamu kata susah? Kenapa kamu tidak mahu mencuba?” Tetapi sejak cuba mengaplikasikan teknik Nabi Muhammad, saya cuba elakkan diri saya daripada mengkritik pelajar.

Respon saya atas kata-kata Kar Hau hanyalah, “Eja ikut bunyi sebutan. Ma-sya-ra-kat!”

Saya pandang Kar Hau. Dia mula mengeja, “M-A.”

Saya sambung, “Sya!”

Kau Hau berkata, “S-A !”

Sebenarnya Kar Hau sudah salah eja tetapi saya tidak berkata, “Eh! Kar Hau, kamu sudah salah eja.” Dalam erti kata lain, saya tidak tegur kesalahannya.

Sebaliknya, segera saya sebut suku kata itu sekali lagi. Kata saya, “ Sya! Bukan sa. Sya!”

Kar Hau mengangguk-angguk kepala.Dia sebut, “ S-Y-A!”

Saya tersenyum. Saya kata, “Bagus! Teruskan.”

Kar Hau membalas, “K-A-T!”

Saya jawab, “Ok. Ulang balik ejaan tadi!”

Kar Hau pun mengeja semula, Katanya, “M-A-S-Y-A-R-A-K-A-T. Masyarakat.”

Saya senyum. Saya puji Kar Hau. Kata saya, “Bagus Kar Hau. Kamu boleh mengeja perkataan tersebut.”

Parimila memang tergolong juga dalam kumpulan pelajar Buta 2M. Mulanya saya sebut perkataan 'lima'. Alhamdulillah! Dia boleh mengejanya. Kemudian, saya sebut pula perkataan doktor. Mulalah tergagap-gagap murid saya ini.

Saya pula yang ingin membantu menyebut semula dengan jelas suku kata perkataan tersebut.

Kata saya, "Dok!" Mulut saya punyalah muncung sampai nampak seperti muncung itik.

Pari pula cuba juga mengeja, "D-O-...D-O..." Masih juga tidak dapat dieja oleh Pari.

Jadi, saya bantu lagi. "D-O-K - dok!"

Pari tersenyum dan mengulang mengeja suku kata 'dok'. Kemudian, saya mengangguk-angguk kepala. Saya tunggu lagi suku kata akhir dieja pula oleh Pari.

Kata Pari, "D-O-K-T-O...T-O..."

Melihatkan Pari susah sangat mengeja suku kata 'tor', saya sebut lagi suku kata tersebut.

Kata saya, " Tor! Tor! Tor!" Saya sebut satu persatu. Terasa seperti belajar 'vokal'-lah pula.

Kalau orang lain yang lalu di luar kelas KP, tentunya kehairanan melihat dan mendengar kata-kata saya. Nasib baik juga tiada yang mengambil gambar saya sedang muncungkan mulut ketika menyebut suku kata tersebut.

Alhamdulillah, akhirnya Pari dapat juga mengeja perkataan doktor. Saya tersenyum. Pari pula nampak lega dan tersengih.

Saya berkata, "Bagus! Kamu dapat mengeja perkataan 'doktor'."

Dalam kes Pari, saya tidak menegur kesalahan mahupun mengkritik dirinya yang tidak tahu mengeja.

Saya tidak berkata, "Apalah kamu ini, eja doktor pun tidak tahu”

Saya juga tidak berkata, "Pari, kamu tidak boleh mengeja perkataan yang mudah."

Saya hanya menggunakan Teknik Nabi Muhammad yang tidak menegur kesalahan tetapi menerangkan. Apabila Pari tidak dapat juga mengeja suku kata 'dok' dan 'tor', saya hanya sebut huruf yang betul (terangkan) iaitu huruf akhir setiap suku kata ialah 'R'.

Nabi Muhammad Melarang Perbuatan Mengutuk Orang yang Melakukan Kesalahan Jenis Peribadi

Umar bin al-Khattab melaporkan, pada suatu masa ada seorang lelaki bernama Abdullah yang nama jolokannya adalah 'himar' yang bermakna 'si keldai'. Dia seorang yang selalu menyebabkan Nabi Muhammad senyum. Nabi Muhammad pernah mengenakan hukuman sebat kepada Abdullah atas kesalahan meminum arak. Pada suatu hari sekali lagi Abdullah dibawa ke hadapan Nabi Muhammad atas kesalahan minum arak, Nabi pun menyebat dia. Melihat peristiwa itu seorang lelaki berkata, “Ya Allah! Kutuklah dia. Selalu benar dia dibawa ke hadapan Nabi.” Nabi Muhammad berkata, “Jangan kutuk dia, demi Allah, saya tahu dia mencintai Allah dan Rasulnya.” -- Hadith No. 2161 dalam kitab Ringkasan Sahih al-Bukhari.

Kesalahan peribadi adalah kesalahan yang dilakukan ke atas diri sendiri, seperti minum arak, tidak menutup aurat, tidak solat, tidak berpuasa dan lain-lain. Cara membersihkan dosa kesalahan peribadi adalah dengan bertaubat kepada Allah sahaja, tidak perlu meminta maaf kepada manusia lain.

Dalam hadith di atas, seorang penagih arak yang bernama Abdullah sedang menjalani hukuman dipukul di depan khalayak ramai. Sebelumnya, dia sudah beberapa kali dihukum. Semasa dia sedang menjalani hukuman itu ada seorang lelaki yang dengan rasa kesal mengutuk dia sebab selalu benar Abdullah dibawa ke hadapan Nabi Muhammad atas kesalahan yang sama.

Hanya orang baik-baik sahaja yang berani mengutuk orang berdosa di khalayak ramai. Ertinya hanya orang yang tidak minum arak berani secara terbuka mengutuk orang yang minum arak. Niat si pengutuk itu tentulah baik. Dia juga sudah tentulah ikhlas dengan kata-katanya itu.

Meskipun si pengutuk itu orang baik-baik, perbuatannya mengutuk si penagih itu telah ditegur oleh Nabi Muhammad. Dalam peristiwa itu Nabi Muhammad dengan keras menegah perbuatan mengutuk orang yang beriman, meskipun orang itu melakukan dosa berat seperti minum arak.

Si pengutuk itu mengutuk si pemabuk dengan suara kuat, sehingga Nabi Muhammad dapat mendengar kata-katanya. Lalu Nabi Muhammad serta-merta menegur si pengutuk dengan memberi arahan: "Jangan kutuk dia."

Dalam peristiwa itu Nabi Muhammad menunjukkan bahawa teguran kepada si pengutuk itu perlu dilakukan serta-merta supaya dia serta-merta berhenti mengutuk.

Si pengutuk itu mengutuk Abdullah secara terbuka di hadapan orang ramai, lalu Nabi Muhammad pun serta-merta menegur dia secara terbuka di hadapan ramai juga. 

Dalam peristiwa ini Nabi Muhammad dengan terang dan jelas menunjukkan bahawa:

i. Apabila ada orang mengutuk orang lain, maka serta-merta arahkan si pengutuk supaya berhenti mengutuk.

ii. Apabila kutukan itu dibuat secara terbuka, maka tegur kesalahan si pengutuk itu secara terbuka juga.

Meskipun si Abdullah adalah pesalah tegar, namun Nabi Muhammad tidak menasihati beliau supaya insaf, bertaubat dan memberhentikan kesalahannya. Beliau tidak berkata kepada Abdullah:

* "Wahai Abdullah, insaflah, bertaubatlah, sebelum kamu terlambat." (SALAH)
* "Tidakkah kamu malu disebat di khalayak ramai?" (SALAH)
* "Sia-sia kamu sembahyang tonggang-tonggek kalau kamu masih minum arak!" (SALAH)

Abdullah sudah beberapa kali menjalani hukuman sebat kerana meminum arak, ini adalah bukti bahawa hukuman sebat tidak dapat membantu Abdullah memberhentikan ketagihannya kepada arak.

Namun selepas peristiwa di atas, yakni selepas Nabi Muhammad memujinya sebagai seorang yang mencintai Allah dan Rasulnya, tidak ada laporan daripada mana-mana pelapor hadith yang menunjukkan Abdullah masih lagi dibawa ke hadapan Nabi Muhammad dan dihukum sebat kerana meminum arak.


Laporan Eksperimen Puan Nurhidayah Jaafar Menggunakan Teknik Nabi Muhammad kepada Pelajar Kelas Corot

Inilah laporan  Pn. Nurhidayah....

Beberapa orang murid dalam kelas saya mempunyai tabiat yang sukar diubah. Tabiat tersebut bukan sahaja menyentuh soal akhlak, malah melanggar peraturan sekolah.  

Setiap hari, ada 3 hingga 5 orang murid akan makan di dalam kelas meskipun bunyi loceng menandakan waktu rehat tamat sudah 10 minit berlalu.

Waktu rehat tamat jam 4.20 petang. Sesi P&P selepas rehat dimulakan dengan bacaan doa selepas makan dan doa belajar. 

Ketika murid-murid lain sedang membaca doa, saya memerhatikan 3 orang murid sedang curi-curi makan. Tangan kanan menyuap makanan ke dalam mulut, manakala tangan kiri menadah tangan untuk membaca doa. Mereka turut membaca doa selepas makan tetapi masih mengunyah makanan, hingga ada antara sisa makanan yang tersembul keluar dari mulut. Gelagat tersebut membuatkan perasaan saya bercampur-baur antara marah dan geli hati.

Dalam hal ini, mereka melakukan 3 kesalahan:

1. Makan di dalam kelas selepas tamat waktu rehat dan P&P sudah bermula.

2. Membaca doa adalah peraturan dalam kelas. Namun begitu, mereka tidak bersungguh-sungguh melaksanakan peraturan tersebut.

3. Makan dengan gelojoh dan sambil berdiri. Mereka tidak memenuhi adab-adab makan dan berdoa.

Kesalahan tersebut  juga menyebabkan kelas menjadi kotor dan dipenuhi sisa makanan yang jatuh ke lantai. 

Pada mulanya, saya merenung mereka dengan pandangan yang tajam, namun hampa, panahan mata saya hanya menembusi dinding, tidak menusuk ke dalam hati murid-murid itu. 

Mereka bertindak balas seperti orang yang tidak bersalah, tersengih-sengih menampakkan gigi kapak yang tersusun rapi sambil menunjukkan muka bernilai ’20 sen’.

Akhirnya, saya cuba mengaplikasikan teknik tidak menegur kesalahan, hanya menerangkan peraturan. Berdasarkan hadith ‘Baju Nipis Asma’, Rasulullah terus menerangkan peraturan berpakaian  yang wajib diikuti wanita yang sudah baligh. Rasulullah tidak menegur, memarahi ataupun mengkritik Asma’.

“Untuk makluman semua murid, waktu rehat tamat jam 4.20 petang. Ketika loceng sudah berbunyi, kamu wajib berada di dalam kelas dan bersedia untuk belajar. Kamu dibenarkan makan di dalam kelas pada waktu rehat, bukan waktu belajar.” Saya menerangkan peraturan tersebut dengan jelas.

“Ustazah, kami rehat lambat tadi, tidak sempat menghabiskan makanan,” rungut salah seorang daripada  mereka. Saya turut bersimpati. Cara mereka makan seperti peserta pertandingan ‘Siapa Makan Paling Cepat’ dalam acara sukaneka.

“Kalau begitu, ustazah izinkan kamu makan di luar kelas. Habiskan makanan kamu dan segera masuk ke dalam kelas. Makan di dalam kelas akan menyebabkan kelas kita menjadi kotor. Apakah kamu suka, sekiranya kamu yang membersihkan kelas hari ini, tetapi murid lain pula yang mengotorkannya?” jawab saya sebelum menyoal kembali.

“Tidak! Tak suka, tak suka, tak suka,” jawab beberapa orang murid sambil meniru aksi Upin dan Ipin bercakap.

Setelah mendengar penerangan itu, murid-murid yang makan tadi segera keluar, menyelesaikan makan dan kemudian masuk ke dalam kelas semula. Riak muka mereka kelihatan tenang dan gembira. 

Selepas itu, mereka secara aktif terlibat dalam aktiviti kelas. Sekiranya saya marah, mungkin ia akan menggangu mood pelajaran hari itu. Apa yang saya perhatikan, mereka mematuhi peraturan tersebut pada hari-hari berikutnya.

Mereka boleh belajar dengan aktif kerana tidak lapar dan saya juga tidak bertindak seperti ‘guru lapar’ sehingga ‘memakan’ anak didik saya.

.

Contoh Aplikasi Hadith dalam Kelas Corot

Contoh bab dalam buku yang sedang ditulis....

BAB 1 Soalan Akhlak Supaya Semua Pelajar Corot Dapat Angkat Tangan

Hadith 'Abu Bakar Masuk Syurga'
Abu Hurairah melaporkan bahawa pada suatu masa Nabi Muhammad pernah bertanya: “Siapakah antara saudara-saudara sekalian yang berpuasa pada hari ini?” Abu Bakar menjawab, “Saya.” Beliau bertanya lagi: “Siapakah antara saudara-saudara sekalian yang hari ini menghantar jenazah?” Abu Bakar menjawab, “Saya.” Beliau bertanya lagi: “Siapakah antara saudara-saudara sekalian yang hari ini memberi orang miskin makan?” Abu Bakar menjawab, “Saya.” Beliau bertanya lagi: “Siapakah antara saudara-saudara sekalian yang hari ini melawat orang sakit?” Abu Bakar menjawab, “Saya.” Lalu Nabi Muhammad berkata: “Seseorang yang melakukan perkara-perkara tersebut sudah tentu masuk syurga.” -- Hadith No. 543 dalam kitab Ringkasan Sahih Muslim

Pengenalan
Pelajar-pelajar di dalam kelas corot percaya mereka bukan pelajar pintar disebabkan faktor-faktor berikut:

1. Mereka ditempatkan di dalam kelas yang dikhususkan untuk pelajar corot.  

2. Mereka dilayan oleh guru-guru sebagai pelajar tidak pintar, ini kerana tingkah laku guru berbeza apabila mereka melayan di dalam kelas pelajar pintar. 

3. Mereka mendapat markah rendah di dalam buku-buku latihan.

4. Mereka gagal dalam ujian dan peperiksaan.

5. Apabila guru menyoal, mereka tidak berani angkat tangan.

Disebabkan mereka yakin mereka bukan pelajar pintar, akibatnya self-esteem mereka sangat rendah. Guru dapat menaikkan self-esteem pelajar dengan memberi peluang mereka semua angkat tangan dan seronok hendak menjawab pertanyaan guru. Cara menaikkan self-esteem pelajar adalah dengan bertanyakan soalan-soalan yang sudah tentu mereka dapat jawab dengan rasa bangga.

Teknik Nabi Muhammad
Salah satu jenis soalan yang Nabi Muhammad tanyakan kepada mereka yang ada bersama-sama beliau adalah soalan akhlak. Contoh soalan akhlak yang beliau pernah tanyakan adalah:

1. “Siapakah antara saudara-saudara sekalian yang berpuasa pada hari ini?”
2. “Siapakah antara saudara-saudara sekalian yang hari ini menghantar jenazah?”
3. “Siapakah antara saudara-saudara sekalian yang hari ini memberi orang miskin makan?”
4. “Siapakah antara saudara-saudara sekalian yang hari ini melawat orang sakit?”

Pada hujung sesi soal-jawab itu Nabi Muhammad berkata: "Seseorang yang melakukan perkara-perkara tersebut sudah tentu masuk syurga."

Soalan-soalan akhlak adalah contoh soalan yang mereka semua dapat angkat tangan dan suka menjawabnya kerana ia membuktikan mereka adalah 'budak baik' meskipun bukan 'budak pintar'. Gunakan soalan akhlak dalam sesi awal sebelum memulakan sesi pengajaran dan pembelajaran (P & P). 

Dengan menggunakan soalan akhlak pelajar berasa seronok dan suka mahu belajar. Apabila mereka suka belajar, nanti secara perlahan-lahan mereka akan menjadi 'budak pintar'.

.

Contoh Bab Dalam Buku "Mendorong Pelajar Kelas Corot Menggunakan Teknik Nabi Muhammad"

Ini contoh bab dalam buku "Mendorong Pelajar kelas Corot Menggunakan Teknik Nabi Muhammad" yang kini sedang ditulis....

BAB 6: Memberi Markah Dorongan, Bukan Markah Akademik

Hadith rujukan: 'Markah untuk Salam'
Imran bin Husain melaporkan pada suatu masa ada seorang lelaki datang mendekati Nabi Muhammad. Lelaki itu berkata, “Assalamualaikum.” Nabi Muhammad berkata, “Dia mendapat 10 pahala.” Kemudian datang pula seorang lain yang berkata, “Assalamualaikum wa rahmatullah.” Nabi Muhammad berkata, “Dia mendapat 20 pahala.” Kemudian datang lagi seorang lain yang berkata, “Assalamualaikum wa rahmatullah wa barakatuh.” Nabi Muhammad berkata, “Dia mendapat 30 pahala.” -- Hadith No. 2689 dalam kitab Shahih Sunan Tarmizi

Pengenalan:
Pada masa ini sekolah hanya menggunakan satu sistem pemarkahan. Dalam amalan sekarang markah diberikan ke atas kerja-kerja pelajar sebagai cara menilai prestasi akademik, di mana markah itu diberikan apabila pelajar berjaya menjawab soalan akademik dengan betul. Apabila jawapannya salah, markah ditolak.

Sistem pemarkahan akademik sekarang:

a. Antara 0 hingga 100
b. Antara F hingga A++

Teknik Nabi Muhammad:
Dalam teknik motivasi Nabi Muhammad, beliau menggunakan sistem pemarkahan yang fungsinya adalah sebagai alat mendorong orang supaya meningkatkan prestasi kualiti kerja yang mereka lakukan.

Dalam teknik motivasi Nabi Muhammad, markah diberikan bukan kerana sesuatu jawapan itu betul ataupun salah. Sebaliknya markah diberikan supaya orang terdorong mahu melakukan kerjanya dengan lebih baik lagi.

Dalam hadith 'Markah untuk Salam', Nabi Muhammad menunjukkan kepada sekumpulan orang 3 contoh teknik memberi salam yang betul. Satu diberi markah 10 pahala. Satu diberi markah 20 pahala. Satu diberi markah 30 pahala.

Jadi, orang-orang itu dapat melihat teknik memberi salam yang mana yang paling tinggi markahnya. Dengan itu mereka terdorong memberi salam dengan cara yang paling mendapat paling banyak pahala.

Dalam bilik darjah guru boleh umumkan kepada semua pelajar contoh-contoh hasil kerja yang layak diberi markah motivasi, bukan markah akademik. Sebagai contoh, jawapan itu salah, tetapi tulisannya kemas, lalu guru memberi markah 30 untuk tulisan itu.

Faedah memberi markah motivasi:

1. Pelajar yang diberi markah motivasi akan naik semangat mahu meningkatkan kualiti kerjanya.

2. Pelajar-pelajar lain yang mendengar rakannya diberi markah motivasi akan naik semangat mahu menghasilkan kerja seperti yang dipuji itu.

NOTA: Bab ini akan diikuti oleh bab-bab yang ditulis oleh Pn. Khairulaniza Khairuddin, Pn. Siti Khadijah dan Pn. Nurhidayah Jaafar di mana mereka menerangkan bagaimana mereka menjalankan eksperimen berdasarkan hadith itu, dan apa hasilnya.

.