Umar bin al-Khattab melaporkan, pada suatu masa ada seorang
lelaki bernama Abdullah yang nama jolokannya adalah 'himar' yang
bermakna 'si keldai'. Dia seorang yang selalu menyebabkan Nabi Muhammad
senyum. Nabi Muhammad pernah mengenakan hukuman sebat kepada Abdullah
atas kesalahan meminum arak. Pada suatu hari sekali lagi Abdullah
dibawa ke hadapan Nabi Muhammad atas kesalahan minum arak, Nabi pun
menyebat dia. Melihat peristiwa itu seorang lelaki berkata, “Ya Allah!
Kutuklah dia. Selalu benar dia dibawa ke hadapan Nabi.” Nabi Muhammad
berkata, “Jangan kutuk dia, demi Allah, saya tahu dia mencintai
Allah dan Rasulnya.” -- Hadith No. 2161 dalam kitab Ringkasan Sahih al-Bukhari.
Kesalahan peribadi adalah kesalahan yang dilakukan ke atas diri sendiri, seperti minum arak, tidak menutup aurat, tidak solat, tidak berpuasa dan lain-lain. Cara membersihkan dosa kesalahan peribadi adalah dengan bertaubat kepada Allah sahaja, tidak perlu meminta maaf kepada manusia lain.
Dalam hadith di atas, seorang penagih arak yang bernama Abdullah
sedang menjalani hukuman dipukul di depan khalayak ramai. Sebelumnya, dia
sudah beberapa kali dihukum. Semasa dia sedang menjalani hukuman itu
ada seorang lelaki yang dengan rasa kesal mengutuk dia sebab selalu
benar Abdullah dibawa ke hadapan Nabi Muhammad atas kesalahan yang sama.
Hanya orang baik-baik sahaja yang berani mengutuk orang berdosa di
khalayak ramai. Ertinya hanya orang yang tidak minum arak berani secara
terbuka mengutuk orang yang minum arak. Niat si pengutuk itu tentulah
baik. Dia juga sudah tentulah ikhlas dengan kata-katanya itu.
Meskipun si pengutuk itu orang baik-baik, perbuatannya mengutuk si penagih itu telah ditegur oleh Nabi Muhammad. Dalam peristiwa itu Nabi Muhammad dengan keras menegah perbuatan mengutuk orang yang beriman, meskipun orang itu melakukan dosa berat seperti minum arak.
Meskipun si pengutuk itu orang baik-baik, perbuatannya mengutuk si penagih itu telah ditegur oleh Nabi Muhammad. Dalam peristiwa itu Nabi Muhammad dengan keras menegah perbuatan mengutuk orang yang beriman, meskipun orang itu melakukan dosa berat seperti minum arak.
Si pengutuk itu mengutuk si pemabuk dengan suara kuat, sehingga
Nabi Muhammad dapat mendengar kata-katanya. Lalu Nabi Muhammad
serta-merta menegur si pengutuk dengan memberi arahan: "Jangan kutuk dia."
Dalam peristiwa itu Nabi Muhammad menunjukkan bahawa teguran
kepada si pengutuk itu perlu dilakukan serta-merta supaya dia serta-merta berhenti
mengutuk.
Si pengutuk itu mengutuk Abdullah secara terbuka di hadapan orang
ramai, lalu Nabi Muhammad pun serta-merta menegur dia secara terbuka di
hadapan ramai juga.
Dalam peristiwa ini Nabi Muhammad dengan terang
dan jelas menunjukkan bahawa:
i. Apabila ada orang mengutuk orang lain, maka serta-merta arahkan si pengutuk supaya berhenti mengutuk.
ii. Apabila kutukan itu dibuat secara terbuka, maka tegur kesalahan si pengutuk itu secara terbuka juga.
Meskipun si Abdullah adalah pesalah tegar, namun Nabi Muhammad
tidak menasihati beliau supaya insaf, bertaubat dan memberhentikan
kesalahannya. Beliau tidak berkata kepada Abdullah:
* "Wahai Abdullah, insaflah, bertaubatlah, sebelum kamu terlambat." (SALAH)
* "Tidakkah kamu malu disebat di khalayak ramai?" (SALAH)
* "Sia-sia kamu sembahyang tonggang-tonggek kalau kamu masih minum arak!" (SALAH)
Abdullah sudah beberapa kali menjalani hukuman sebat kerana
meminum arak, ini adalah bukti bahawa hukuman sebat tidak dapat membantu
Abdullah memberhentikan ketagihannya kepada arak.
Namun selepas peristiwa di atas, yakni selepas Nabi Muhammad memujinya
sebagai seorang yang mencintai Allah dan Rasulnya, tidak ada laporan
daripada mana-mana pelapor hadith yang menunjukkan Abdullah masih
lagi dibawa ke hadapan Nabi Muhammad dan dihukum sebat kerana meminum
arak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan