Malah banyak orang yang masuk Islam adalah mereka yang masih terus melakukan pelbagai jenayah dan maksiat. Ini kerana beliau mengamalkan dasar pintu terbuka dan tanpa pilih kasih. Jadi, sesiapa sahaja yang mahu masuk Islam, semuanya beliau terima dengan tanpa ada apa-apa syarat.
Selepas mereka masuk Islam, sebagai ketua barulah Nabi Muhammad menjalankan tugas mendorong mereka yang masih melakukan maksiat itu supaya mengubah sikap dan tingkah laku mereka sehingga akhirnya mereka menjadi anggota yang cemerlang.
Salah satu strategi yang Nabi Muhammad gunakan bagi mendorong pelaku maksiat supaya menghentikan perbuatannya adalah dengan tidak mengkritik, tidak memarahi, malah tidak menasihati orang itu supaya insaf dan bertaubat.
Dalam rekod sejarah terdapat banyak catatan yang menunjukkan bagaimana Nabi Muhammad menyantuni orang-orang yang iman mereka masih lemah.
Pada suatu hari, ada seorang pemuda datang berjumpa dengan Nabi Muhammad. Dia berkata, “Saya telah bercumbu-cumbu dengan seorang perempuan dari pinggir kota. Saya sudah buat semuanya, kecuali bersetubuh dengannya. Sekarang saya datang ke hadapan tuan, maka hukumlah saya sebagaimana yang tuan mahukan.” Saidina Umar memarahi pemuda itu, katanya, “Allah menutupi kesalahan kamu jikalau kamu menutupi diri kamu sendiri!” Mendengar kata-kata Saidina Umar itu, Nabi Muhammad tidak bercakap apa-apa. Kemudian pemuda itu pergi. Nabi Muhammad segera menyuruh orang memanggil pemuda itu supaya datang semula. Kemudian beliau membacakan kepadanya ayat ini: “Dan dirikanlah sembahyang itu pada pagi dan petang, dan pada bahagian permulaan malam. Sesungguhnya perbuatan-perbuatan yang baik itu menghapuskan dosa perbuatan-perbuatan buruk. Itulah peringatan bagi orang-orang yang ingat.” Kemudian, ada seorang lelaki lain yang ada di situ bertanya, “Wahai Rasul Allah, apakah ayat itu ditujukan khusus untuk dia seorang sahaja, ataupun ayat itu ditujukan untuk semua orang?” Nabi Muhammad menjawab, “Untuk semua orang.” - Hadith ini dipetik dari koleksi hadith-hadith autentik yang direkodkan oleh Abu Daud.
Dalam peristiwa di atas, Saidina Umar al-Khattab memarahi lelaki itu. Sebaliknya Nabi Muhammad hanya memberitahu secara objektif bagaimana cara yang dapat dilakukan oleh lelaki itu bagi tujuan membasuh dosa-dosanya. Itu sahaja.