Apabila Nabi Muhammad memberi komen ke atas perbuatan yang salah, beliau menggunakan ayat penerangan. Beliau tidak menggunakan ayat teguran ataupun ayat larangan.
Ayat penerangan hanya menerangkan perbuatan yang betul ataupun yang salah. Kesalahan itu tidak dikaitkan dengan diri sesiapa. Manakala ayat teguran ditujukan kepada diri orang yang bersalah, oleh itu ia menggunakan perkataan 'kamu', dan ia menuduh diri orang yang ditegur itulah yang bersalah. Ayat larangan pula menggunakan perkataan 'jangan'.
Contoh ayat penerangan: Di dalam masjid tidak boleh berbual-bual hal dunia.
Contoh ayat teguran: Kenapa kamu berbual-bual hal dunia di dalam masjid?
Contoh ayat larangan: Jangan berbual-bual hal dunia di dalam masjid.
Dalam rekod-rekod sejarah, terdapat banyak catatan yang menunjukkan Nabi Muhammad tidak menegur orang-orang yang melakukan kesalahan.
Catatan sejarah di bawah ini menujukkan ayat penerangan yang digunakan oleh Nabi Muhammad apabila berlaku peristiwa orang kampung kencing dalam masjid.
Anas bin Malek melaporkan, pada suatu masa dia dan orang-orang lelaki lain sedang berada di dalam masjid bersama-sama Nabi Muhammad. Tiba-tiba masuklah seorang lelaki Arab dari kampung ke dalam masjid, lalu lelaki itu berdiri dan membuang air kecil. Melihat kejadian itu, sahabat-sahabat Nabi yang ada di situ terus mengherdik lelaki tersebut. Sebaliknya, Nabi Muhammad berkata, “Jangan buat dia terhenti kencingnya. Biarkan sahaja.” Lalu semua yang ada membiarkan sahaja orang kampung itu menghabiskan kencingnya. Selepas itu Nabi Muhammad memanggil lelaki itu dan berkata kepadanya, “Sesungguhnya, di dalam masjid ini tidak boleh kencing ataupun membuang sedikit pun kotoran, sebaliknya hanya boleh berzikir mengingati Allah Azza wajalla, bersembahyang, dan membaca Quran.” Kemudian, Nabi Muhammad menyuruh salah seorang yang ada pergi mengambil air setimba, lalu disirami kecing itu. - Hadith No. 186 dalam kitab Ringkasan Sahih Muslim
Dalam peristiwa itu, kata-kata yang Nabi Muhammad gunakan bagi memberitahu lelaki itu peraturan di dalam masjid adalah: “Sesungguhnya, di dalam masjid ini tidak boleh kencing ataupun membuang sedikit pun kotoran, sebaliknya hanya boleh berzikir mengingati Allah Azza wajalla, bersembahyang, dan membaca Quran.”
Ciri-ciri kata-kata Nabi Muhammad itu:
1. Nabi Muhammad tidak menyebut perkataan 'kamu' kepada pesalah kencing dengan berkata:
* "Kamu tidak boleh kencing di dalam masjid."
* "Kamu jangan kencing di dalam masjid."
* "Masjid bukan tempat kamu kencing."
Tanpa menyebut perkataan 'kamu', kata-kata Nabi Muhammad itu berbentuk umum, yakni boleh ditafsirkan ia ditujukan kepada semua orang yang ada di situ pada waktu itu.
Ayat yang menggunakan perkataan 'kamu' adalah ayat yang ditujukan kepada diri orang itu, ertinya teguran ditujukan kepada diri, bukan ditujukan kepada perbuatan. Ayat 'kamu' menjatuhkan maruah orang yang ditegur.
2. Nabi Muhammad tidak menasihati lelaki itu dengan berkata:
* "Lain kali kamu jangan kencing lagi di dalam masjid."
* "Ingat, ya. Masjid bukan tempat kencing."
3. Nabi tidak memberi amaran dengan berkata:
* "Kali ini saya maafkan, lain kali jangan diulang lagi."
* "Kalau kamu buat lagi, kamu basuh sendiri kencing kamu itu."
4. Nabi tidak memarahi dengan berkata:
* "Kamu pengotor!"
* "Takkanlah kamu tak tahu ini masjid, bukan tandas!"