Testimoni Ustazah Nurhidayah Jaafar

Saya ada seorang murid, Zikry namanya. Keluarga Zikry kurang mampu, maka dia tidak memakai songkok sepanjang tahun lepas, sebab songkok lamanya sudah lusuh dan bersaiz kecil. Bajunya lusuh sekali.

Macam-macam cara saya gunakan untuk pastikan dia memakai songkok supaya dia tidak didenda. Saya cubit, marah, bawa ke guru disiplin, denda berdiri tengah panas kerana kesalahan tidak memakai songkok.

Sehinggalah pada minggu lalu saya menggunakan teknik memuji gaya Nabi Muhammad: "Ustazah kagum Zikry sudah rajin belajar, tulisan Zikry cantik, Zikry beri tumpuan dan bersungguh-sungguh. Ustazah akan bertambah kagum kalau Zikry memakai songkok. Zikry bukan sahaja nampak pandai tapi semakin kemas dan hensem."


Keesokan harinya Zikry memakai songkok baru, dan dia pun terselamat daripada dirotan oleh guru besar.

Selama setahun saya mencuba macam-macam cara, akhirnya minggu lalu baru berbaloi apabila saya gunakan teknik Nabi memuji.

Sehingga hari ini saya memberi masa untuk Zikry memotong rambutnya. Dia perlu tunggu cuti sekolah sebab pengasuhnya yang akan memotong rambutnya secara percuma. Syukur saya bertemu dengan teknik Nabi ini. Apabila terkenang
, saya amat kesal sekali.

Ya, niat dan usaha itu buah keberkatan. Rasulullah kekasih Allah, apa yang lahir daripada beliau dipimpin wahyu.


.

Aplikasi Hadith 'Mat Romeo'

Pada suatu hari, ada seorang pemuda datang berjumpa dengan Nabi Muhammad. Dia berkata, “Saya telah bercumbu-cumbu dengan seorang perempuan dari pinggir kota. Saya sudah lakukan semuanya, kecuali bersetubuh dengannya. Sekarang saya datang ke hadapan tuan, maka hukumlah saya sebagaimana yang tuan mahukan.” Saidina Umar memarahi pemuda itu, katanya, “Allah menutupi kesalahan kamu jikalau kamu menutupi diri kamu sendiri!” Mendengar kata-kata Saidina Umar itu, Nabi Muhammad tidak bercakap apa-apa. Kemudian pemuda itu pergi. Nabi Muhammad segera menyuruh orang memanggil pemuda itu supaya datang semula. Kemudian beliau membacakan kepadanya ayat ini: “Dan dirikanlah sembahyang itu pada pagi dan petang, dan pada bahagian permulaan malam. Sesungguhnya perbuatan-perbuatan yang baik itu menghapuskan dosa perbuatan-perbuatan buruk. Itulah peringatan bagi orang-orang yang ingat.” Kemudian, ada seorang lelaki lain yang ada di situ bertanya, “Wahai Rasul Allah, apakah ayat itu ditujukan khusus untuk dia seorang sahaja, ataupun ayat itu ditujukan untuk semua orang?” Nabi Muhammad menjawab, “Untuk semua orang.” - Hadith ini dipetik dari koleksi hadith-hadith autentik yang direkodkan oleh Abu Daud.

Intipati hadith:

1. Apabila ada kesalahan dilakukan, punca-punca kesalahan itu tidak disiasat.

2. Tidak bertanya "mengapa" kepada pesalah kerana jawapannya boleh menjatuhkan maruah pesalah.

3. Tumpukan kepada memberikan jalan penyelesaaian masalah.

Aplikasi hadith:

1. Hadith ini adalah hadith motivasi akhlak.

2. Teknik-teknik dalam hadith ini sesuai digunakan kepada orang yang pernah melakukan kesalahan akhlak, seperti pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan.

3. Penggunaan teknik-teknik dalam hadith ini mempunyai kuasa mendorong orang yang pernah melakukan dosa supaya memberhentikan perbuatannya tanpa dia dihukum.

4. Prinsip yang paling penting dalam hadith ini adalah tidak menyiasat mengapa orang itu melakukan dosa-dosa yang pernah dilakukannya.


.

Nabi Muhammad Menunjukkan Cara Menolak Permintaan

Ali bin Abu Talib adalah menantu kepada Nabi Muhammad. Beliau melaporkan bahawa isterinya, Fatimah binti Muhammad, pernah meminta kepada ayahnya supaya dia diberi seorang pembantu rumah. Nabi Muhammad menjawab dengan berkata, "Mahukah ayahanda beritahu sesuatu yang lebih baik untuk anakanda berdua dibandingkan dengan seorang pembantu rumah? Apabila anakanda berdua pergi ke katil kamu, ataupun anakanda pergi ke tempat tidur kamu berdua, bacalah takbir 33 kali, dan baca tasbih 33 kali, dan baca tahmid 33 kali. Itul adalah lebih baik bagi anakanda berdua daripada seorang pembantu rumah." -- Hadith ini dipetik dari rekod hadith-hadith autentik dalam koleksi Bukhari.

1. Dalam peristiwa di atas, Fatimah adalah anak perempuan kesayangan Nabi Muhammad.

2. Fatimah pernah meminta seorang pembantu rumah dari ayahnya, Nabi Muhammad. Ali tidak pula menyebutkan kata-kata yang diucapkan oleh Fatimah sewaktu mengemukakan permintaannya.

3. Nabi Muhammad tidak memberikan kepada Fatimah pembantu yang dimintanya. .

4. Nabi Muhammad tidak memberikan sebarang alasan mengapa beliau menolak permintaan Fatimah.

5. Nabi Muhammad menawarkan alternatif yang lebih baik dibandingkan pembantu rumah yang diminta oleh Fatimah tetapi ditolak dengan berkata: "Mahukah ayahanda beritahu sesuatu yang lebih baik untuk anakanda berdua dibandingkan dengan seorang pembantu rumah?"

6. Walaupun yang meminta pembantu adalah Fatimah, tetapi tawaran Nabi Muhammad itu bukan dikemukakan kepada Fatimah seorang tetapi kepada Fatimah dan suaminya Ali: "Mahukah ayahanda beritahu sesuatu yang lebih baik untuk anakanda berdua...."

7. Nabi Muhammad mengemukakan tawaran itu dengan menggunakan kata tanya "Mahukah ayahanda beritahu....."

8. Walaupun beliau bertanya, tetapi beliau tidak menunggu Fatimah ataupun Ali menjawab. Beliau terus mengemukakan tawarannya itu: "Mahukah ayahanda beritahu sesuatu yang lebih baik untuk anakanda berdua dibandingkan dengan seorang pembantu rumah? Apabila anakanda berdua pergi ke katil kamu berdua, ataupun anakanda pergi ke tempat tidur kamu berdua, bacalah takbir 33 kali, dan baca tasbih 33 kali, dan baca tahmid 33 kali. Itul adalah lebih baik bagi anakanda berdua daripada seorang pembantu rumah."

9. Tawaran itu dikemukakan dengan menngunakan ayat positif: "Mahukah ayahanda beritahu sesuatu yang lebih baik...."

10. Tanpa memberitahu mengapa beliau menolak permintaan Fatimah, Nabi Muhammad terus memberikan gantian yang lebih murah tetapi nilainya lebih tinggi daripada seorang pembantu rumah.

11. Alternatif yang ditawarkan oleh Nabi Muhammad mempunyai banyak kelebihan dibandingkan dengan pembantu rumah yang diminta oleh Fatimah.

12. Apabila Nabi Muhammad menolak permintaan Fatimah, beliau tidak melakukan perkara-perkara berikut:

i. Cara Nabi Muhammad menolak permintaan Fatimah adalah dengan mendiamkan perkara itu.

ii. Nabi Muhammad tidak mengatakan dengan terus terang bahawa beliau menolak permintaan Fatimah itu.

iii. Beliau tidak mengkritik sikap Fatimah.

iv. Nabi Muhammad tidak membuat Fatimah berasa bersalah kerana meminta pembantu.

v. Nabi Muhammad tidak merendah-rendahkan perkara yang diminta oleh Fatimah.

vi. Nabi Muhammad tidak meminta maaf kerana tidak dapat memberikan apa yang diminta.

Bercakap bagi tujuan menolak permintaan adalah sesuatu yang sangat sukar dilakukan oleh kebanyakan orang. Memang sukar hendak memberitahu bahawa kita tidak dapat memenuhi permintaan orang. Pertama-tama kita berasa bersalah apabila terpaksa menolak. Kedua, kita tidak tahu kata-kata yang bagaimana yang patut diucapkan bagi menolak permintaan itu. Namun, apabila Nabi Muhammad menolak permintaan, orang yang permintaannya ditolak itu tidak berkecil hati, malah berasa beruntung.


Nabi Muhammad Menunjukkan Bagaimana Menggunakan Emosi Secara Persuasif

Sahabat Nabi Muhammad yang bernama Jarir bin Abdullah melaporkan, pada suatu hari beberapa orang Arab kampung datang berjumpa Nabi Muhammad dengan memakai pakaian yang diperbuat daripada kulit binatang yang masih ada bulunya. Apabila Nabi Muhammad melihat kemiskinan orang kampung itu beliau mengesyorkan supaya orang-orang yang ada mengeluarkan sedekah kepada mereka, tetapi anjuran Nabi Muhammad tidak diberikan perhatian serius sehingga menyebabkan tergambar emosi marah pada wajah beliau. Kemudian, ada seorang lelaki datang membawa uncang berisi duit. Selepas itu datang lagi orang-orang lain, sehingga beliau kelihatan gembira. Kemudian Nabi Muhammad berkata, “Sesiapa yang melakukan perbuatan baik dalam Islam, kemudian perbuatannya itu menjadi teladan dan diikuti oleh orang-orang lain selepas itu, maka dia mendapat paha sebanyak pahala-pahala yang diterima oleh mereka yang mencontohinya, sedangkan pahala mereka sedikit pun tidak dikurangi. Sesiapa yang melakukan keburukan dalam Islam, kemudian diikuti oleh orang-orang lain selepas itu, maka dia mendapat dosa sebanyak dosa-dosa yang diterima oleh mereka yang mencontohinya, sedangkan dosa mereka sedikit pun tidak dikurangi.” -- Hadith No. 1859 dalam kitab Ringkasan Sahih Muslim.

1. Hadith ini menunjukkan dengan jelas bagaimana kata-kata Nabi Muhammad tidak semestinya akan terus dilaksanakan oleh mereka yang mendengarnya. Dari satu sudut, ini bermakna kata-kata Nabi Muhammad itu tidak cukup tinggi nilai pengaruhnya ke atas sesetengah individu.

2. Peristiwa ini berlaku di hadapan ramai orang. Pada masa itu ada beberapa orang yang amat miskin datang berjumpa Nabi Muhammad. Mereka sangat miskin kerana mereka memakai kulit haiwan yang masih ada bulunya.

3. Dalam data hadith ini tidak dicatatkan sama ada orang-orang miskin itu berkata apa-apa kepada Nabi Muhammad. Nabi Muhammad terus mencadangkan supaya hadirin yang ada di situ pada waktu itu supaya bersedekah kepada mereka. Di sini Nabi Muhammad menunjukkan beliau tidak menunggu orang miskin bercakap meminta bantuan barulah bantuan diberikan.

4. Data hadith ini tidak mencatatkan kata-kata yang diucapkan oleh Nabi Muhammad semasa mencadangkan hadirin bersedekah.

5. Apabila tidak ada sesiapa menyahut kata-kata Nabi Muhammad itu dengan memberi sedekah kepada orang-orang miskin itu, wajah beliau menunjukkan beliau marah. Tetapi beliau tidak bercakap apa-apa. Beliau diam sahaja. Dalam erti kata yang lain Nabi Muhammad tidak berkata apa-apa bagi meluahkan emosi marahnya.

6. Selepas wajah Nabi Muhammad menunjukkan tanda-tanda beliau marah, barulah ada seorang datang ke hadapan menyahut cakap beliau. Orang itu menyerahkan seuncang duit. Pelapor hadith ini, Jarir bin Abdullah, tidak mencatat nama lelaki itu. Kita dapat andaikan bahawa Jarir tidak kenal lelaki itu. Ini bermakna lelaki itu bukan seorang yang rapat dengan Nabi Muhammad.

7. Dari satu sudut dapat kita andaikan bahawa wajah marah Nabi Muhammad itu adalah fakor menyebabkan orang itu menyahut cadangan beliau itu dan menyerahkan uncang duitnya sebagai sedekah, yakni bukan kata-kata yang diucapkan oleh Nabi Muhammad. Dari satu sudut lain, dapat juga diandaikan bahawa emosi adalah salah satu elemen daya persuasi, oleh itu emosi dapat digunakan bagi mendorong perubahan tingkah laku orang lain.

8. Dalam peristiwa itu Nabi Muhammad menunjukkan bahawa emosi marah beliau itu mempunyai daya pengaruh yang tinggi. Namun emosi marah yang persuasif adalah emosi yang tidak diiringi oleh sebarang kata-kata.

9. Selepas lelaki itu membawa uncang duitnya kepada Nabi Muhammad, beberapa orang lagi ikut bersedakah. Kemudian wajah Nabi Muhammad menunjukkan emosi gembira. Namun Nabi Muhammad tidak mengucapkan kata-kata bagi meluahkan emosi gembiranya. Beliau tidak memuji mereka yang bersedekah itu dengan mengucapkan kata-kata pujian secara terus terang dan secara langsung.

10. Hadith di atas menunjukkan Nabi Muhammad tidak mendorong orang supaya bersedekah dengan cara mengkritik sikap kedekut orang-orang yang tidak mahu menyahut arahannya supaya bersedekah itu dengan berkata kepada mereka:

* "Sesiapa yang kedekut adalah calon penduduk neraka."

* "Malanglah nasib orang yang tidak mahu berbuat baik."

* "Orang kaya yang tidak suka bersedekah kepada jalan Allah akan diseksa di akhirat nanti."

* "Harta adalah ujian Allah kepada pemiliknya."

* "Golongan yang kedekut akan dicampakkan ke dalam neraka bersama-sama harta mereka."

* "Sesiapa yang tidak mahu berbuat baik adalah orang yang rugi."

* "Sikap tidak mahu berbuat baik adalah sikap orang yang bodoh, tidak bijak."

Beliau hanya membisu, manakala pada wajahnya dia menunjukkan emosi marah. Itu sahaja. Lalu orang pun mula bersedekah.


.

Nabi Muhammad Memuji Perempuan di Dalam Masjid

Anas melaporkan bahawa Nabi Muhammad pernah ternampak kesan ludah melekat di dinding masjid. Beliau berasa marah sehingga wajah beliau merah. Kemudian datang seorang wanita penduduk asal Madinah lalu dia membuang kesan ludah itu, kemudian meletakkan wangian pada tempat itu. Nabi Muhammad berkata, "Alangkah bagusnya perbuatan itu!" – Hadith ini terdapat dalam koleksi Al-Nasa'i dan koleksi Ibnu Majah.

Initipati hadith:

1. Memuji perbuatannya, bukan orang yang melakukannya.

2. Puji dengan menggunakan perkataan 'alangkah bagusnya.'

Analisis hadith:

1. Peristiwa ini berlaku di dalam masjid. Nabi Muhammad memuji seorang perempuan di dalam masjid kerana perempuan itu telah melakukan suatu perbuatan baik yang kecil sahaja.

2. Ada orang telah berludah dan ludahnya melekat di dinding masjid. Apabila ternampak ludah itu wajah Nabi Muhammad menunjukkan beliau berasa marah. Ertinya, perbuatan berludah di dalam masjid adalah salah.

3. Walaupun marah, Nabi Muhammad tidak menyiasat siapa yang berludah. Beliau tidak bertanya kepada orang-orang yang ada di situ: "Siapa yang berludah?" Ini adalah prinsip yang secara konsisten dilakukan oleh Nabi Muhammad, yakni beliau tidak menyiasat kesalahan yang telah dilakukan.

4. Beliau tidak berkata bahawa meludah ke dinding masjid adalah suatu kesalahan. Beliau tidak berkata kepada orang-orang yang ada di itu: "Jangan buat kotor dalam masjid. Ludah itu kotoran."

5. Beliau tidak mengucapkan kata-kata yang menunjukkan beliau marah. Orang tahu beliau marah disebabkan wajah beliau kelihatan merah.

6. Pada ketika itu ada perempuan di situ. Perempuan itu membuang kesan ludah tersebut dan meletakkan wangian.

7. Nabi Muhammad serta-merta memberi pujian, yakni beliau tiidak menagguhkan pujian.

8. Pujian itu diucapkan secara terbuka. Semua orang yang ada di situ dapat mendengar pujian itu dilafazkan dengan jelas dan terang.

9. Ayat pujian Nabi Muhammad adalah "Alangkah bagusnya perbuatan itu!" Nabi Muhammad memuji perbuatan wanita itu. Beliau tidak memuji diri wanita itu. Prinsip ini sangat penting.


Teknik Nabi Muhammad Membuat Demo Cara Kerja yang Betul

Sahabat Nabi Muhammad yang bernama Ammar bin Yasir melaporkam bahawa Nabi Muhammad pernah menghantar dia supaya menjalankan suatu urusan. Kemudian Ammar melakukan hadas besar, tetapi dia tidak mempunyai air bagi melakukan mandi wajib. Lalu dia pun mengguling-gulingkan badannya di atas pasir seperti haiwan ternak berguling-guling. Kemudian dia pergi berjumpa dengan Nabi Muhammad lalu dia menceritakan apa yang dilakukannya kepada beliau. Nabi Muhammad berkata, "Sebenarnya, cukuplah saudara melakukannya dengan tangan saudara sahaja, begini caranya." Kemudian beliau menepuk kedua-dua tapak tangannya ke pasir dengan sekali tepuk, lalu mengibaskannya. Kemudian beliau mengusapkan tangan kirinya ke tangan kanannya, selepas itu mengusap bahagian atas kedua tapak tangannya, dan kemudian mengusapi mukanya." - Catatan ini terdapat dalam koleksi hadith-hadith autentik Bukhari dan koleksi Muslim.

1. Hadith ini menunjukkan Nabi Muhammad membetulkan cara kerja yang tidak berapa betul.

2. Dalam peristiwa itu, Ammar bin Yasir terpaksa mandi wajib, tetapi tidak ada air. Jadi dia melakukan alternatif iaitu mandi dengan debu tanah.

3. Amar tidak tahu teknik melakukan mandi debu. Maka dia pun mencipta tekniknya sendiri.

4. Dalam peristiwa di atas Nabi Muhammad menjalankan tugas sebagai trainer yang mengajarkan teknik melakukan mandi debu.

5. Cara Ammar mandi debu itu adalah dengan berguling-guling di atas tanah berdebu. Kemudian dia pergi berjumpa Nabi Muhammad dan melaporkan teknik dia mandi debu itu.

6. Apabila Nabi Muhammad mendengar laporan Ammar, beliau tidak melakukan perkara-perkara berikut:

i. Tidak mengkritik teknik Ammar mandi debu itu.

ii. Tidak mengatakan teknik Ammar itu salah.

iii. Tidak mengatakan mandi debu Yassir itu tidak sah. Beliau cuma memberitahu Ammar bahawa ada teknik mandi debu yang lebih mudah.

iv. Tidak menuduh Yassir bodoh.

8. Nabi Muhammad kita berkata:

* "Apa hal kamu berguling-guling macam kambing mandi debu? Kah kah kah...."

* "Kenapalah engkau bodoh sangat!"

* "Ammar!... Ammar!.... Apalah nak jadi dengan kamu ini...."

* "Dari mana kamu belajar mandi junub macam itu?"

* "Orang macam kamu pun ada!...."

9. Nabi Muhammad hanya menerangkan teknik mandi debu yang lebih mudah dengan berkata: "Sebenarnya, cukuplah saudara melakukannya dengan tangan saudara sahaja, begini caranya."

10. Kemudian Nabi Muhammad melakukan demo teknik mandi debu supaya Ammar nampak bagaimana ia dilakukan.

11. Semasa melakukan demo itu Nabi Muhammd tidak berkata apa-apa. Dalam peristiwa di atas Nabi Muhammad menunjukkan cara melakukan demo yang betul, yakni semasa menjalankan demo tidak bercakap-cakap. Ini berbeza dengan amalan lazim di mana pendemo banyak bercakap semasa sedang melakukan demo.


.

Testimoni Pn. Muna 'Izzah Fadzil

DARI MAHKAMAH SYARIAH

Perkongsian dari adinda saya, Peguam Salwa Fadzil, yang pernah menghadiri "Kursus Mendorong Pelajar Corot Menggunakan Teknik Nabi Muhammad" pada 17 Disember 2011 lalu.

Ketika Peguam Salwa mengendalikan kes perlakuan tidak sopan dua remaja di Mahkamah Syariah, beliau telah membawa kes kendalian seorang rakannya, oleh sebab itu beliau tidak sempat membelek fail kes. Apa yang beliau tahu, hukuman yang akan diberikan kepada remaja itu ialah penjara (remaja berumur 22 tahun)

Ketika Salwa menyampaikan hujahnya agar kedua orang remaja itu tidak dipenjarakan, beliau hanya sempat mengingati teknik Nabi dalam hadith "Mat Romeo" yang dipelajari semasa menghadiri kursus, di mana dalam hadith itu ada seorang pemuda datang mengaku kepada Rasulullah bahawa dia pernah bercumbu-cumbu.

Salwa menyampaikan hujah dengan menerangkan teknik yang digunakan oleh Nabi dalam menangani orang bersalah yang sudah insaf.

Ketika beliau menyampaikan hujah, hakim kelihatan menganggukkan kepala. Selesai Salwa berhujah, Hakim memberikan keputusannya, iaitu mahkamah mempunyai bidangkuasa memberi denda penjara, tetapi beliau melepaskan mereka atas fakta mereka mengaku salah dan insaf atas perbuatan. Hakim mengulangi apa yang dikatakan Nabi dalam hadith tersebut. Apabila hakim menekankan bahawa taubat dan insaf itu yang penting, dua remaja itu bersyukur dan terdorong meneruskan kehidupan lebih baik dengan berkahwin.

Adinda saya bersyukur kerana telah dapat menggunakan apa yang dipelajari dalam Kursus Mendorong Pelajar Corot tempoh hari dalam keadaan di mana beliau tidak sempat meneliti kes dengan baik.

Kelihatan adinda saya itu semakin gembira mengendalikan kes-kesnya.

Teknik Ucapan Motivasi Gaya Nabi Muhammad

Abdullah bin Mas'ud melaporkan pada suatu masa beliau dengan sekitar 40 orang lelaki lain bersama-sama Nabi Muhammad berada di bawah khemah yang diperbuat daripada kulit. Nabi Muhammad berkata, “Sukakah saudara-saudara menjadi seperempat daripada semua penduduk syurga?” Mereka semua menjawab, “Ya.” Nabi Muhammad berkata lagi, “Sukakah saudara-saudara menjadi sepertiga daripada semua penduduk syurga?” Mereka semua menjawab, “Ya.” Lalu Nabi Muhammad berkata, “Demi Zat yang jiwa Muhammad berada di dalam genggamannya, sesungguhnya saya mahukan saudara-saudara menjadi separuh daripada semua penduduk syurga. Sedangkan syurga itu hanya dapat dimasuki oleh jiwa yang muslim. Dan, perbandingan antara saudara-saudara dengan mereka yang menyembah berhala adalah umpama sehelai bulu putih pada kulit seekor seladang hitam, ataupun umpama sehelai bulu hitam pada kulit seekor seladang putih.” -- Hadith No. 102 dalam buku Ringkasan Sahih Muslim

1. Dalam peristiwa di atas, Nabi Muhammad bercakap kepada sekitar 40 orang, ertinya prinsip dan teknik-teknik yang terkandung dalam hadith ini sesuai digunakan apabila berucap di hadapan audiens.

2. Nabi Muhammad berucap di bawah khemah kepada sekumpulan orang yang sudah sedia mempunyai sikap dan prestasi cemerlang.

3. Dalam ucapannya, Nabi Muhammad menggunakan teknik tanya-jawab. Beliau memulakan ucapan dengan bertanya: "Sukakah saudara-saudara....."

4. Dua kali Nabi Muhammad bertanya: "Sukakah saudara-saudara....."

i. “Sukakah saudara-saudara menjadi seperempat daripada semua penduduk syurga?”

ii. “Sukakah saudara-saudara menjadi sepertiga daripada semua penduduk syurga?”

5. Kata tanya yang digunakan oleh Nabi Muhammad adalah "Sukakah...."

6. Nabi Muhammad menunggu sehingga audiens menjawab barulah beliau bercakap lagi.

7. Selepas bertanya 2 kali, dan selepas menerima 2 kali jawapan "Ya." barulah Nabi Muhammad menyambung kata-katanya: “Demi Zat yang jiwa Muhammad berada di dalam genggamannya, sesungguhnya saya mahukan saudara-saudara menjadi separuh daripada semua penduduk syurga. Sedangkan syurga itu hanya dapat dimasuki oleh jiwa yang muslim. Dan, perbandingan antara saudara-saudara dengan mereka yang menyembah berhala adalah umpama sehelai bulu putih pada kulit seekor seladang hitam, ataupun umpama sehelai bulu hitam pada kulit seekor seladang putih.”

8. Pertanyaan yang dikemukakan oleh Nabi Muhammad itu adalah pertanyaan yang bersifat positif. Beliau bertanya sama ada audiens manu menjadi penduduk syurga, sudah tentu audiensnya mahu.

9. Nabi Muhammad memulakan intipati ucapannya dengan bersumpah dahulu: “Demi Zat yang jiwa Muhammad berada di dalam genggamannya....

10. Nabi Muhammad menyebut porsi penduduk syurga dengan urutan dari jumlah kecil kepada jumlah yang lebih banyak.

Mula-mula: “...saudara menjadi seperempat ...."

Kemudian: “...saudara menjadi sepertiga...."

Akhinya: ...saudara menjadi separuh...."

11. Kemudian Nabi Muhammad memberitahu kriteria menjadi penduduk syurga: "...Sedangkan syurga itu hanya dapat dimasuki oleh jiwa yang muslim...."

12. Nabi Muhammad menutup ucapannya dengan memuji audiens: "... perbandingan antara saudara-saudara dengan mereka yang menyembah berhala adalah umpama sehelai bulu putih pada kulit seekor seladang hitam, ataupun umpama sehelai bulu hitam pada kulit seekor seladang putih.”

13. Nabi Muhammad menggunakan anologi bagi menyampaikan maksud pujiannya: "....umpama sehelai bulu putih pada kulit seekor seladang hitam, ataupun umpama sehelai bulu hitam pada kulit seekor seladang putih.”

14. Jenis anologi yang digunakan oleh Nabi Muhammad itu sangat ekstrem. Anologi ekstrem seperti ini dapat menciptakan perasaan sangat istimewa kepada yang menerima pujian.

15. Dalam hadith ini, setiap ayat yang diucapkan oleh Nabi Muhammad adalah ayat yang memuji-muji audiens. Jumlah penduduk syurga sangat banyak, sedangkan jumlah audiensnya sekitar 40 orang sahaja. Namun Nabi Muhammad bertanya:

i. “Sukakah saudara-saudara menjadi seperempat daripada semua penduduk syurga?”

ii. “Sukakah saudara-saudara menjadi sepertiga daripada semua penduduk syurga?”

iii. "...sesungguhnya saya mahukan saudara-saudara menjadi separuh daripada semua penduduk syurga.

Tiga ayat di atas menunjukkan nilai relatif setiap orang audiens itu sangat tinggi berbanding nilai penduduk syurga yang lain. Nilai realtif itu diperkuat lagi apabila Nabi Muhammad berkata: "... perbandingan antara saudara-saudara dengan mereka yang menyembah berhala adalah umpama sehelai bulu putih pada kulit seekor seladang hitam, ataupun umpama sehelai bulu hitam pada kulit seekor seladang putih.”


.

Nabi Muhammad Sebagai Trainer

NOTA: Hadith ini adalah hadith yang paling jelas menunjukkan prosedur Nabi Muhammad melatih sekumpulan novis, yakni orang yang belum mempunyai skill sama sekali dalam pekerjaan yang hendak dilakukan.

Sahabat Nabi Muhammad yang bernama Jabir bin Samurah melaporkan bahawa Nabi Muhammad pernah datang kepadanya yang sedang bersembahyang bersama beberapa orang lain. Nabi Muhammad berkata kepada mereka, "Mengapakah saya lihat saudara-saudara mengangkat tangan saudara seperti ekor kuda yang tidak tentu arah? Bertenanglah semasa sedang sembahyang." Kemudian Nabi Muhammad datang lagi, kali ini beliau melihat mereka berdiri membuat bulatan. Nabi Muhammad berkata, “Mengapakah saya lihat saudara-saudara berkelompok-kelompok?” Selepas itu, Nabi Muhammad datang lagi kepada mereka, lalu berkata, "Tidakkah saudara berbaris seperti malaikat berbaris di sisi Tuhan mereka?" Mereka pun bertanya kepada Nabi Muhammad, “Wahai Rasul Allah, bagaimana cara malaikat berbaris di sisi Tuhan mereka?” Nabi Muhammad menjawab, "Mereka menyempurnakan barisan pertama, mereka meluruskan barisan." -- Dari hadith No. 331 dalam buku Ringkasan Sahih Muslim

1. Peristiwa di atas berlaku semasa sekumpulan lelaki sedang bersembahyang, tetapi mereka semua belum tahu cara sembahyang yang betul.

2. Cara mereka mengangkat tangan tidak betul. Nabi Muhammad menegur cara yang salah itu dengan bertanya: "Mengapakah saya lihat saudara-saudara mengangkat tangan saudara seperti ekor kuda yang tidak tentu arah? Bertenanglah semasa sedang sembahyang."

3. Cara mereka berdiri pun tidak betul. Mereka berdiri membuat bulatan. Nabi Muhammad menegur cara yang salah itu dengan bertanya: “Mengapakah saya lihat saudara-saudara berkelompok-kelompok?”

4. Cara mereka berbaris pun tidak betul. Kali ini Nabi Muhammad terus memberi arahan: "Tidakkah saudara berbaris seperti malaikat berbaris di sisi Tuhan mereka?" Mereka tidak faham arahan Nabi Muhammad. Mereka pun bertanya kepada Nabi Muhammad, “Wahai Rasul Allah, bagaimana cara malaikat berbaris di sisi Tuhan mereka?”

5. Nabi Muhammad menjawab, "Mereka menyempurnakan barisan pertama, mereka meluruskan barisan."

6. Hadith ini mengandungi banyak strategi dan teknik mendorong orang yang belum pandai melakukan sesuatu kerja supaya mahu belajar cara-cara yang betul:

i. Semasa mereka sedang cuba bersembahyang itu, kedudukan mereka tidak jauh daripada Nabi Muhammad, itulah sebabnya Nabi Muhammad dapat melihat kesalahan mereka. Setiap kali mereka melakukan kesilapan, setiap kali itu Nabi Muhammad datang membetulkan.

ii. Walaupun mereka belum pandai bersembahyang, Nabi Muhammad tidak mengajar mereka cara-cara sembahyang yang betul. Beliau membiarkan mereka berfikir sendiri, mencuba sendiri, kemudian apabila salah baru beliau betulkan.

iii. Mereka berkali-kali melakukan kesilapan tetapi Nabi Muhammad tidak memarahi mereka. Setiap kali mereka melakukan kesilapan, setiap kali itu pula Nabi Muhammad membetulkan.

iv. Nabi Muhammad menggunakan anologi atau kiasan apabila menegur cara mereka mengangkat tangan yang tidak betul:

a. "Mengapa saya lihat saudara-saudara mengangkat tangan saudara seperti ekor kuda yang tidak tentu arah? Bertenanglah semasa sedang sembahyang." (Dalam masyarakat Arab pada zaman itu, kuda adalah haiwan lambang status ekonomi macam kereta Rolls Royce pada masa ini.)

b. "Tidakkah saudara berbaris seperti malaikat berbaris di sisi Tuhan mereka?" (Malaikat adalah makhluk yang sangat mulia. Mereka semua tidak pernah melihat malaikat berbaris.)

v. Walaupun mereka berkali-kali melakukan kesalahan dan ditegur, mereka tidak takut bertanya kepada Nabi Muhammad apabila tidak tahu: “Wahai Rasul Allah, bagaimana cara malaikat berbaris di sisi Tuhan mereka?”

vi. Apabila ditanya, Nabi Muhammad hanya memberikan penerangan sahaja: "Mereka menyempurnakan barisan pertama, mereka meluruskan barisan."

vii. Secara spesifiknya dalam peristiwa itu Nabi Muhammad menjalankan peranannya sebagai jurulatih kepada sekumpulan yang sedang belajar sembahyang. Hadith ini adalah hadith yang paling jelas menunjukkan Nabi Muhammad melatih sekumpulan novis, yakni orang yang belum mempunyai skill sama sekali dalam pekerjaan yang hendak dilakukan.

ix. Dalam peristiwa di atas, Nabi Muhammad Nabi Muhammad menegur teknik kerja yang salah dengan menggunakan soalan retorik 'mengapakah'. Soalan retorik adalah soalan yang kita tanya dan kita jawab sendiri. "Mengapakah saya lihat saudara-saudara mengangkat tangan saudara seperti ekor kuda yang tidak tentu arah? Bertenanglah semasa sedang sembahyang."

x. Apabila Nabi Muhammad bertanya dengan tujuan mahu mendengar jawapan dari orang yang ditanya, beliau tidak menggunakan perkatakaan 'mengapakah', sebaliknya beliau menggunakan katanya 'tidakkah': "Tidakkah saudara berbaris seperti malaikat berbaris di sisi Tuhan mereka?" Mereka tidak faham arahan Nabi Muhammad. Mereka pun bertanya kepada Nabi Muhammad, “Wahai Rasul Allah, bagaimanakah cara malaikat berbaris di sisi Tuhan mereka?”


.

Mengapa Hukuman Sebat Tidak Berkesan

Umar bin al-Khattab melaporkan, pada suatu masa ada seorang lelaki bernama Abdullah yang nama jolokannya adalah 'Himar' yang bermakna 'si keldai'. Dia seorang yang selalu menyebabkan Nabi Muhammad ketawa. Nabi Muhammad pernah mengenakan hukuman sebat kepada Abdullah atas kesalahan meminum arak. Pada suatu hari sekali lagi Abdullah dibawa ke hadapan Nabi Muhammad atas kesalahan minum arak, Nabi pun menyebat dia. Melihat peristiwa itu seorang lelaki berkata, “Ya Allah! Kutuklah dia. Selalu benar dia dibawa ke hadapan Nabi.” Nabi Muhammad berkata, “Jangan kutuk dia, kerana demi Allah, saya tahu dia mencintai Allah dan Rasulnya.” -- Hadith No. 2161 dalam kitab Ringkasan Sahih al-Bukhari.

1. Abdullah sudah beberapa kali dibawa ke hadapan Nabi Muhammad atas kesalahan meminum arak, lalu dia dihukum. Meskipun sudah pernah dihukum, dia masih terus minum.

2. Hukuman di khalayak ramai adalah sangat memalukan, namun malu sahaja tidak menjamin pesalah memberhentikan kesalahannya.

3. Pada peristiwa itu, semasa Abdullah sedang menjalani hukuman, ada orang mengutuk dia. Kata si pengutuk: “Ya Allah! Kutuklah dia. Selalu benar dia dibawa ke hadapan Nabi.” Nabi Muhammad serta-merta menegur si pengutuk dengan memberi arahan: "Jangan kutuk dia." Dengan itu Nabi Muhammad mempertahankan maruah Abdullah. Dalam peristiwa ini Nabi Muhammad dengan terang dan jelas menegah perbuatan mengkritik satu sama lain secara terbuka, yakni di khalayak ramai.

4. Rasional yang digunakan oleh Nabi Muhammad bagi mempertahankan maruah Abdullah adalah: "....saya tahu dia mencintai Allah dan Rasulnya." Kata-kata itu adalah pujian Nabi Muhammad kepada Abdullah. Jadi, pujian itu adalah sangat personal sifatnya. Apatah lagi apabila pujian itu didahului dengan sumpah "demi Allah".

5. Selepas peristiwa di atas, tidak ada laporan daripada mana-mana pelapor hadith yang menunjukkan Abdullah masih lagi dibawa ke hadapan Nabi Muhammad dan dihukum sebat kerana meminum arak.

6. Kenyataan bahawa Abdullah sudah beberapa kali menjalani hukuman sebat kerana meminum arak, ini bermakna, hukuman sebat tidak dapat membantu Abdullah memberhentikan ketagihannya kepada arak. Jadi, kita dapat mengandaikan bahawa dalam peristiwa itu, faktor yang mendorong Abdullah berjaya mengatasi ketagihannya bukanlah hukuman sebatan, melainkan kata-kata yang diucapkan oleh Nabi Muhammad.


.

Testimoni Tn. Zakir Husin: Teknik Nabi Muhammad bagi Mengubah Tingkah Laku Staf Corot

Nota: Tuan Zakir Husin adalah Pengarah Pentadiran dan Sumber Manusia di sebuah agensi kerajaan yang pernah mengiktui latihan modul mendorong pekerja corot.

Semasa mengendalikan satu kursus dalaman untuk kakitangan di tempat saya, ada 4 orang kakitangan yang sentiasa corot disiplin dan kedatangannya semasa bekerja.

Pada suatu kelas malam, mereka lambat datang dan terlepas untuk makan malam. Mereka tidak mahu masuk ke kelas sebab belum makan malam.

Kemudian saya minta pemandu membawa mereka keluar ke pekan berhampiran untuk makan di kedai. Saya keluarkan duit sendiri membelanja mereka. Selepas makan mereka masuk ke kelas dan saya lihat mereka memberi tumpuan yang lebih berbanding sebelumnya. Lebih melibatkan diri dalam aktiviti kelas.

Hingga hari ini saya belum mendengar lagi rungutan berkaitan sikap corot mereka dari sesiapa.
(Tuan Zakir menggunakan teknik Nabi Muhammad dalam hadis 'orang dusun kencing dalam masjid')

Saya baru menerima satu kes seorang kakitangan yang disahkan mengambil ganja. Peraturan jelas memperuntukan dia mesti dibuang kerja. Ketua jabatan sudah meminta kakitangan ini diberhentikan dengan menamatkan khidmat sambilannya.

Saya mohon supaya beri peluang kepada saya untuk membetulkan kakitangan ini. Kakitangan tersebut saya panggil dan minta cadangan penyelesaian dari dia sendiri. Beliau berjanji tidak akan mengambil ganja lagi. Saya juga meminta beliau supaya bekerja bersungguh-sungguh.

Sekarang beliau dalam pemerhatian saya dan berharap teknik ini akan berjaya merubah diri beliau. (Tuan Zakir menggunakan teknik Nabi Muhammad dalam hadith 'sebakul kurma'.)

Teknik Nabi Muhammad Mengajak Orang Tanpa Mengajak-ajak

Lazimnya, apabila kita mahu mengajak orang supaya melakukan sesuatu, kita gunakan ayat-ayat ajakan seperti:

"Jom kita...."

"Marilah kita..."

"Ayuh saudara-saudara, mari kita...."

Dalam hadith di bawah ini, Nabi Muhammad mengajak para pengikutnya supaya mahu ikut beliau masuk ke syurga:

Adi bin Hatim memberitahu bahawa Nabi Muhammad berkata, "Jagalah diri kamu semua dari neraka." Kemudian beliau berpaling, lalu berkata, "Jagalah diri kamu semua dari neraka." Kemudian beliau berpaling. Ia berlaku tiga kali, sehingga kami menyangka bahawa beliau benar-benar melihat neraka. Kemudian Nabi Muhammad berkata, "Jagalah diri kamu dari neraka walaupun dengan separuh daripada sebiji kurma. Sesiapa yang tidak ada kurma, maka dengan kalimah yang baik." -- Catatan ini terdapat dalam koleksi hadith autentik Sahih al-Bukhari.

1. Dalam peristiwa di atas Nabi Muhammad mendorong sekumpulan orang, yakni beliau bercakap kepada audiens yang ada di hadapan beliau. Beliau menyampaikan ucapan ringkas dengan tujuan supaya audiens yang mendengar akan mempunyai keinginan masuk syurga.

2. Ada 3 perkara penting dalam hadith itu:

a. Ada target final, yakni masuk syurga. Dalam hadith di atas, Nabi Muhammad menggunakan strategi bagaimana audiens dapat 'mengelak' dengan mudah daripada tidak mencapai target.

b. Ada perbuatan. Dua perbuatan yang perlu dilakukan bagi mencapai target final: (i) Bersedekah, dan (ii) Bercakap perkara yang baik.

c. Ada fungsi perbuatan. Dalam hadith ini, fungsi bersedekah dan bercakap perkara yang baik adalah sebagai penghalang si pelakunya daripada neraka. Dalam erti kata lain, dapat masuk syurga adalah hasil fungsi 2 tindakan itu.

2. Daripada hadith ini, kita dapat menggali prinsip dan teknik-teknik menyusun konten suatu ucapan motivasi yang efektif apabila hendak mendorong orang supaya mahu berusaha mencapai kejayaan.

4. Meskipun tujuan kata-kata Nabi Muhammad itu adalah supaya audiens mempunyai keinginan dapat mahu masuk syurga, namun Nabi Muhammad tidak menyebut perkataan 'syurga' dalam ucapannya.

5. Nabi Muhammad menyebut perkataan 'neraka' sebanyak 3 kali. Neraka adalah lawan syurga.

6. Nabi Muhammad menggunakan ayat amaran: "Jagalah diri kamu semua dari neraka." Beliau tidak menggunakan ayat ajakan: "Marilah masuk syurga."

7. Selepas mengulang-ulang ayat amaran "Jagalah diri kamu semua dari neraka." sebanyak 3 kali, beliau menerangkan cara mengelak daripada neraka dengan berkata: ".....walaupun dengan separuh daripada sebiji kurma. Sesiapa yang tidak ada kurma, maka dengan kalimah yang baik."

8. Meskipun Nabi Muhammad mendorong audiens supaya bercita-cita masuk syurga, beliau tidak memberitahu cara-cara dapat masuk syurga. Sebaliknya beliau memberitahu syarat tidak masuk neraka.

Struktur konten dalam hadith di atas sangat menarik dan mudah diaplikasikan apabila mengarang isi kandungan ucapan yang tujuannya adalah mendorong audiens supaya mahu melakukan tindakan mencapai target.

NOTA: Barangkali, dalam peristiwa ini Nabi Muhammad bercakap dalam situasi di mana antara mereka yang ada dalam audiens itu kebanyakannya adalah golongan miskin, sehingga beliau memberitahu kriteria paling mudah bagi memasuki syurga, yakni dengan bersedekah separuh biji kurma ataupun dengan mengucapkan kata-kata yang baik.


.

Teknik Nabi Muhammad Meng-kaunsel Suami Corot

Abu Said Al Khudri melaporkan bahawa pada suatu masa isteri kepada Safwan Bin Al Mu'aththal datang dan menceritakan kepada Nabi Muhammad bahawa suaminya itu tidak melakukan sembahyang subuh melainkan selepas matahari terbit. Safwan memberitahu kepada Nabi Muhammad, katanya, "Berkenaan aduan isteri saya bahawa saya tidak melakukan sembahyang subuh sehingga sesudah matahari terbit, hal itu kerana kami datang dari keluarga yang memiliki tradisi demikian. Hampir setiap hari kami bangun selepas matahari terbit." Mendengar penerangan Safwan itu Nabi Muhammad berkata, "Apabila bangun tidur, sembahyanglah ketika itu juga, wahai Safwan." - hadith ini terdapat dalam koleksi yang direkodkan oleh Abu Daud dan koleksi Ibn Hibban.

1. Dalam hadith di atas Safwan mempunyai habit bangun pagi lewat, yakni matahari sudah terbit barulah dia bangun. Akibatnya dia lewat sembahyang subuh. Habit Safwan itu datang daripada amalan dalam keluarganya yang juga bangun pagi lewat.

3. Barangkali isteri Safwan tidak suka dengan habit buruk suaminya, lalu dia mengadu kepada Nabi Muhammad.

4. Isteri Safwan mengadukan habit buruk suaminya kepada Nabi Muhammad, barangkali sebab dia tidak puas hati kerana dia mahu sembahyang di belakang suaminya, tetapi suaminya lambat bangun.

5. Kenyataan bahawa Safwan ada bersama semasa isterinya membuat pengaduan kepada Nabi Muhammad menunjukkan dia seorang suami yang baik.

6. Selepas mendengar kata-kata isteri Safwan, dan kemudian mendengar penjelasan dari Safwan, Nabi Muhammad berkata: "Apabila bangun tidur, sembahyanglah ketika itu juga, wahai Safwan."

7. Dalam hadith di atas, Nabi Muhammad tidak menyiasat mengapa Safwan suka bangun lewat. Safwan sendiri yang memberitahu punca dia susah hendak bangun awal. Nabi Muhammad tidak bertanya, "Cuba cakap, apa sebab kamu bangun lewat, wahai Safwan?"

8. Nabi Muhammad juga tidak menyiasat mengapa isteri Safwan datang mengadukan perihal suaminya yang suka bangun lewat. Nabi Muhammad tidak berkata kepada isteri Safwan, "Mengapa kamu datang mengadu? Apa yang kamu tidak puas hati dengan suami kamu?"

9. Nabi Muhammad tidak menasihati Safwan supaya mengubah habit buruknya dengan berkata: "Wahai Safwan, ikutlah habit isteri kamu itu. Bangunlah awal, supaya kamu boleh jadi sembahyang bersama dengan isteri kamu, dan kamu boleh jadi imam. Takkan kamu tidak tahu, apabila kamu buat sembahyang berjamaah kamu berdua dapat 25 pahala...."

NOTA: Apabila seseorang perempuan itu 'menarik' suaminya berjumpa kaunselor, maknanya perempuan itu sudah berkali-kali cuba mengubah perangai suaminya tetapi gagal, akibatnya dia sangat tidak puas hati dan kesabarannya sedang teruji. Bagi meneruskan usahanya yang mahu suaminya berubah, kali ini dia mahu kaunselor pula menasihati suaminya supaya mengubah perangai buruknya. Dalam keadaan begitu sekalipun, dalam hadith di atas Nabi Muhammad tidak melayan kerenah isteri Safwan.

.

Teknik Nabi Muhammad Mengubah Tingkah Laku 2 Orang 'Mat Romeo'

Pada suatu hari, ada seorang pemuda datang berjumpa dengan Nabi Muhammad. Dia berkata, “Saya telah bercumbu-cumbu dengan seorang perempuan dari pinggir kota. Saya sudah lakukan semuanya, kecuali bersetubuh dengannya. Sekarang saya datang ke hadapan tuan, maka hukumlah saya sebagaimana yang tuan mahukan.” Saidina Umar memarahi pemuda itu, katanya, “Allah menutupi kesalahan kamu jikalau kamu menutupi diri kamu sendiri!” Mendengar kata-kata Saidina Umar itu, Nabi Muhammad tidak bercakap apa-apa. Kemudian pemuda itu pergi. Nabi Muhammad segera menyuruh orang memanggil pemuda itu supaya datang semula. Kemudian beliau membacakan kepadanya ayat ini: “Dan dirikanlah sembahyang itu pada pagi dan petang, dan pada bahagian permulaan malam. Sesungguhnya perbuatan-perbuatan yang baik itu menghapuskan dosa perbuatan-perbuatan buruk. Itulah peringatan bagi orang-orang yang ingat.” Kemudian, ada seorang lelaki lain yang ada di situ bertanya, “Wahai Rasul Allah, apakah ayat itu ditujukan khusus untuk dia seorang sahaja, ataupun ayat itu ditujukan untuk semua orang?” Nabi Muhammad menjawab, “Untuk semua orang.” - Hadith ini dipetik dari koleksi hadith-hadith autentik yang direkodkan oleh Abu Daud.

1. Peristiwa dalam hadith ini melibatkan seorang pemuda yang melakukan kesalahan berat. Akhlak pemuda itu buruk, dan dia sendiri mengaku. Katanya,
“Saya telah bercumbu-cumbu dengan seorang perempuan dari pinggir kota. Saya sudah lakukan semuanya, kecuali bersetubuh dengannya."

2. Peristiwa dalam hadith ini berlaku di hadapan banyak orang, bukan hanya di hadapan Nabi Muhammad seorang sahaja. Ini bermakna pemuda itu mendedahkan rahsianya di hadapan banyak orang. Dalam kes ini pemuda itu melakukan 2 kesalahan. Kesalahan pertama, dia bercumbu-cumbu dengan perempuan yang bukan isterinya. Kesalahan kedua dia mendedahkan rahsianya itu kepada orang lain.

3. Apabila mendengar pengakuan pemuda itu, Umar al-Khattab menegur dan memarahi pemuda itu. Katanya:
“Allah menutupi kesalahan kamu jikalau kamu menutupi diri kamu sendiri!” Ini kerana dalam Islam seseorang itu tidak diizinkan mendedahkan rahsia buruk dirinya kepada orang lain. Ertinya pemuda itu melakukan kesalahan apabila dia mendedahkan rahsianya itu.

4. Apa yang dilakukan oleh Umar itu adalah amalan lazim. Kita cenderung menegur dan memarahi orang yang melakukan kesalahan.

5. Apabila Umar memarahinya, si pemuda itu bangun lalu pergi dari situ. Ini adalah reaksi lazim orang yang ditegur, di mana dia akan pergi dan menjauhkan diri dari si penegur.

6. Nabi Muhammad tahu Umar tidak boleh menegur dan memarahi pemuda itu, tetapi beliau tidak menegur kesalahan Umar itu. Nabi Muhammad diam sahaja. Di sini kita lihat perbezaan antara Umar dan Nabi Muhammad. Umar menegur pemuda itu kerana melakukan kesalahan. Perbuatan Umar itu sendiri salah, tetapi Nabi Muhammad tidak menegur Umar.

7. Kata-kata yang ucapkan oleh Umar itu betul:
“Allah menutupi kesalahan kamu jikalau kamu menutupi diri kamu sendiri!” Tetapi kata-kata itu diucapkan pada masa dan tempat yang salah. Akibatnya pemuda itu pergi.

8. Nabi Muhammad tidak menegur kesalahan pemuda itu. Nabi Muhammad juga tidak menegur kesalahan Umar.

9. Nabi Muhammad juga tidak bertanya sebarang soalan kepada pemuda itu bagi mengetahui punca-punca mengapa dia melakukan kesalahannya.

10. Dalam kes pemuda itu, ada dua orang yang bersalah, yakni pemuda itu dan perempuan yang menjadi pasangannya, kedua-duanya bersalah kerana bercumbu-cumbu di luar nikah. Namun Nabi Muhammad tidak menyiasat siapa identiti perempuan yang dicumbui oleh pemuda itu.

11. Nabi Muhammad tidak menyuruh supaya perempuan itu juga dibawa ke hadapannya.

12. Nabi Muhammad juga tidak mengkritik sikap pemuda itu
kerana telah mencemarkan kesucian perempuan yang dicumbuinya. Beliau juga tidak menasihati pemuda itu supaya meningkatkan imannya. Malah beliau tidak memuji pemuda itu kerana sudah insaf akan kesalahannya.

13. Meskipun pemuda itu meminta supaya dirinya dihukum, Nabi Muhammad tidak menghukum pemuda itu. Ini kerana kesalahan bercumbu-cumbu memang tiada hukumannya di dunia ini. Hukumannya adalah di akhirat sahaja.

14. Bagi membantu pemuda itu menyelesaikan masalahnya, Nabi Muhammad membacakan ayat dari al-Quran:
“Dan dirikanlah sembahyang itu pada pagi dan petang, dan pada bahagian permulaan malam. Sesungguhnya perbuatan-perbuatan yang baik itu menghapuskan dosa perbuatan-perbuatan buruk. Itulah peringatan bagi orang-orang yang ingat.”

15. Kemudian ada seorang lelaki lain yang ada di situ bertanya:
“Wahai Rasul Allah, apakah ayat itu ditujukan khusus untuk dia seorang sahaja, ataupun ayat itu ditujukan untuk semua orang?” Lelaki kedua itu mungkin bertanya begitu disebabkan dia juga telah melakukan kesalahan yang sama seperti pemuda tersebut.

16. Nabi Muhammad menjawab pertanyaan lelaki kedua itu:
“Untuk semua orang.”
Beliau tidak menyiasat mengapa lelaki itu bertanya begitu. Beliau tidak berkata, "Mengapa kamu bertanya begitu. Adakah kamu juga melakukan kesalahan yang sama?"

NOTA:
Daripada analisis hadith ini kita dapat tarik prinsip penting yang digunakan oleh Nabi Muhammad apabila mendorong perubahan tingkah laku akhlak yang buruk di kalangan golongan muda, iaitu tidak boleh mengutuk orang muda yang melakukan kesalahan. Sebaliknya, cara yang betul adalah dengan terangkan sahaja kepada mereka cara-cara membersihkan diri daripada kesan-kesan perbuatan yang salah. Cara itu pula adalah cara yang diterangkan dalam al-Quran.


.

Teknik Nabi Muhammad Mendorong Peniaga Jahat Menjadi Baik

Salah seorang sahabat Nabi Muhammad bernama Abu Hurairah. Dia melaporkan bahawa Nabi Muhammad pernah lalu di hadapan orang yang menjual selonggok makanan. Beliau memasukkan tangannya ke dalam longgokan makanan itu, lalu tangan beliau terkena pada makanan basah di dalamnya. Nabi Muhammad bertanya kepada orang itu, "Apakah ini, wahai penjual makanan?" Orang itu menjawab, "Ia ditimpa hujan dari langit, wahai Rasulullah." Beliau berkata, "Tidakkah saudara letakkannya di atas, supaya diketahui oleh orang yang akan membelinya? Sesiapa yang menipu, dia bukan daripada golonganku." -- Hadith nombor 947 dalam kitab Ringkasan Sahih Muslim

1. Pada peristiwa di atas, Nabi Muhammad melakukan 'spot check' di pasar. Beliau telah berjumpa dengan kes di mana seorang penjual makanan yang meletakkan makanan yang basah oleh air hujan di bahagian bawah sehingga tidak dapat dilihat oleh pembeli. Perbuatan itu adalah suatu kesalahan dalam perniagaan.

2. Salah satu ciri bahasa Nabi Muhammad adalah, beliau tidak menggunakan perkataan 'mengapa' ataupuan 'kenapa' apabila berkomunikasi dengan individu-individu yang melakukan kesalahan. Pada peristiwa di atas, Nabi Muhammad bertanya tetapi beliau tidak menggunakan perkataan 'mengapakah'. Sebaliknya beliau menggunakan perkataan 'apakah'. ("Apakah ini, wahai penjual makanan?")

3. Apabila sudah jelas peniaga itu melakukan kesalahan, Nabi Muhammad memarahi penjual makanan itu tetapi beliau tidak menggunakan perkataan 'mengapakah'. Sebaliknya beliau menggunakan perkataan 'tidakkah'. ("Tidakkah saudara letakkan di atas, supaya diketahui oleh orang yang akan membelinya? Sesiapa yang menipu, dia bukan daripada golonganku.")

4. Meskipun Nabi Muhammad bercakap kepada orang yang sudah terbukti melakukan kesalahan, beliau tidak menyiasat punca-punca yang mendorong si pesalah melakukan kasalahannya. Beliau tidak bertanya: "Mengapa itu, mengapa ini....."

5. Nabi Muhammad mendorong peniaga itu supaya mengubah tingkah lakunya yang buruk itu, beliau menggunakan ayat ancaman: "
Sesiapa yang menipu, dia bukan daripada golonganku." Ayat ancaman yang digunakan oleh Nabi Muhammad itu mempunyai ciri-ciri:

a. Ayat ancaman itu tidak ditujukan khusus kepada peniaga yang melakukan kesalahan itu, sebaliknya ayat itu ditujukan kepada semua orang. (
"Sesiapa yang menipu, dia bukan daripada golonganku.")

b. Ayat ancaman yang digunakan oleh Nabi Muhammad itu bukan ayat tuduhan.
Nabi Muhammad hanya menerangkan sahaja status orang yang menipu. Ayat "Sesiapa yang menipu, dia bukan daripada golonganku." adalah ayat keterangan suatu hukum.

c. Ayat tuduhan adalah seperti:

* "Kamu penipu."
* "Kamu tahu, bukan, apa hukumnya apabila kamu menipu?"
* "Kenapa kamu menipu?"

6. Nabi Muhammad tidak memarahi peniaga itu menggunakan ayat-ayat marah-marah seperti:

* "Cis! Penipu!"
* "Takkan kamu tidak tahu duit dari penipuan itu hukumnya haram."
* "Apa punya peniaga. Tak bolehkah kamu berniaga secara Islamik?"
* "Kamu ini sudah masuk Islam, tapi masih menipu!"


.

Teknik Nabi Muhammad Memuji Orang yang Buat Bising di Dalam Masjid

Ibnu Umar menceritakan, pada suatu masa beliau dan orang-orang lain sedang hendak melakukan sembahyang di masjid. Pada waktu itu kedengaran seorang lelaki berkata, "Allahu akbar kabiran, alhamdulillahi kathiran, wasubhanallahi bukratan wa'asila." Selepas selesai sembahyang, Nabi Muhammad bertanya kepada orang-orang yang ada, "Siapakah tadi yang membaca ucapan itu?" Lelaki itu menjawab, "Saya, ya Rasul Allah." Lalu Nabi Muhammad berkata, "Saya kagum dengan kata-kata itu. Pintu-pintu langit dibuka kerana kata-kata itu." Dalam laporannya itu, Ibnu Umar berkata, "Semenjak saya terdengar Nabi Muhammad berkata begitu, saya tidak pernah lupa mengucapkan kata-kata itu." - Catatan peristiwa ini ada dalam rekod koleksi hadith-hadith autentik Muslim.

Analisis hadith:

1. Dalam hadith ini Nabi Muhammad menunjukkan prinsip yang penting apabila mendorong perubahan tingkah laku 'orang corot'. Prinsip itu adalah, perbuatan baik hendaklah dipuji serta-merta, manakala perbuatan yang tidak baik didiamkan sahaja.

2. Peristiwa ini berlaku di dalam masjid semasa waktu solat sudah sangat hampir masuk. Lelaki itu melanggar peraturan bahawa di dalam masjid tidak boleh buat bising. Dia membaca zikir dengan kuat sehingga Ibnu Umar dan Nabi Muhammad dapat mendengar dengan jelas. Ayat zikir itu adalah
"Allahu akbar kabiran, alhamdulillahi kathiran, wasubhanallahi bukratan wa'asila."

3. Lelaki itu melakukan secara terbuka 1 kesalahan dan 1 perkara baik di mana orang-orang dalam masjid dapat mendengarnya.

4. Nabi Muhammad diam sahaja, tidak menegur kesalahan lelaki itu, padahal semua orang tahu dia melakukan kesalahan.

5. Lelaki itu melakukan 1 perbuatan baik iaitu berzikir dengan membaca:
"Allahu akbar kabiran, alhamdulillahi kathiran, wasubhanallahi bukratan wa'asila."

6. Nabi Muhammad memuji kualiti zikir yang dibacanya itu dengan berkata:
"Saya kagum dengan kata-kata itu. Pintu-pintu langit dibuka kerana kata-kata itu."

7. Pujian Nabi Muhammad itu dibuat secara terbuka, semua orang mendengarnya.

8. Nabi Muhammad tidak menangguhkan masa pujian itu diberikan.

9. Kesan mendengar pujian Nabi Muhammad, Ibnu Umar jadi termotivasi mahu berzikir dengan kata-kata itu. Kata Ibnu Umar
, "Semenjak saya terdengar Nabi Muhammad berkata begitu, saya tidak pernah lupa mengucapkan kata-kata itu."


.

Teknik Nabi Muhammad Memuji Orang yang Tidak Berpuasa

Anas bin Malik melaporkan, katanya, "Kami pernah ikut Rasulullah dalam suatu perjalanan. Ada antara kami yang berpuasa, dan ada yang tidak berpuasa. Lalu kami singgah di satu tempat persinggahan dalam cuaca yang panas. Mereka yang dapat berlindung daripada panas terik matahari adalah orang-orang yang mempunyai pakaian luar, manakala ada antara kami hanya menutup kepala dengan tangan sahaja. Mereka yang berpuasa duduk, manakala mereka yang tidak berpuasa pula bekerja mendirikan khemah dan memberi minum haiwan tunggangan. Lalu Rasulullah berkata, "Orang-orang yang tidak berpuasa pada hari ini berjalan sambil membawa pahala." -- Hadith ini ada dalam koleksi sahih al-Bukhari dan sahih Muslim.

Analisis hadith di atas:

1. Dalam peristiwa di atas, ada 2 golongan.

(a) Golongan cemerlang: Golongan pertama adalah orang-orang yang berpuasa sunat, ertinya mereka ini sangat alim. Kalau di sekolah, mereka adalah golongan pelajar cemerlang. Mereka suka belajar subjek akademik dan membaca buku teks.

(b) Golongan biasa-biasa: Golongan kedua adalah mereka yang tidak berpuasa, ertinya mereka ini kurang alim.
Kalau di sekolah, mereka ini pelajar kelas corot. Mereka tidak suka belajar subjek akademik tetapi suka buat kerja aktiviti ko-kurikulum.

2. Nabi Muhammad memuji golongan yang kurang alim. Kata-kata pujian beliau kepada mereka berbunyi: "Orang-orang yang tidak berpuasa pada hari ini berjalan sambil membawa pahala." (Maksudnya, berjalan sambil membawa pahala itu sama statusnya dengan orang yang berpuasa.) Kalau di sekolah, golongan pelajar corot yang rajin buat aktiviti ko-kurikulum itu sama baiknya dengan golongan pelajar cemerlang.

3. Nabi Muhammad tidak menangguhkan pujian, di mana beliau mengucapkan pujian itu serta-merta, yakni semasa orang-orang yang kurang alim itu masih sedang bekerja. Prinsip memberi pujian serta-merta adalah prinsip yang penting.

4. Nabi Muhammad memuji secara terbuka, yakni kata-kata pujiannya itu dapat didengar oleh semua orang. Jadi golongan orang-orang yang berpuasa pun dapat mendengar Nabi Muhammad memuji mereka yang tidak berpuasa. Prinsip ini sangat penting. Bagi kerja-kerja baik yang dilakukan secara terbuka, Nabi Muhammad memberikan pujiannya secara terbuka.

5. Nabi Muhammad menyebut dengan jelas perkataan 'orang-orang yang tidak berpuasa' di mana fokus beliau adalah pada perbuatan 'tidak berpuasa'.

6. Dalam kata-kata pujiannya itu, Nabi Muhammad menyebut impak kerja-kerja mendirikan khemah dan memberi minum haiwan tunggangan dengan menyebut
'berjalan sambil membawa pahala'.

7. Nabi Muhammad memberikan pujian itu semasa mereka masih menjalankan kerja-kerja menaikkan khemah dan memberi minum unta tunggangan, yakni sebelum kerja-kerja itu siap dilakukan.



Teknik Nabi Muhammad Memuji Lelaki yang Datang Lambat

Salah seorang sahabat Nabi Muhammad bernama Anas bin Malik.

Anas melaporkan, pada suatu hari ada seorang lelaki datang dan dia terus masuk barisan orang-orang yang sedang sembahyang, dengan nafasnya termengah-mengah kerana terkocoh-kocoh mengejar waktu sembahyang, sambil membaca 'Alhamdulillahi hamdan kasiran thoyiban mubarakan fih.' Selepas selesai sembahyang, Nabi Muhammad bertanya, “Siapakah tadi yang mengucapkan kata-kata itu?” Semua orang yang ada diam sahaja, tidak seorang pun menjawab. Nabi Muhammad bertanya lagi, “Siapakah tadi yang mengucapkan kata-kata itu? Sebenarnya dia tidak mengucap sesuatu yang berdosa.” Lalu seorang lelaki berkata, “Tadi saya datang dengan termengah-mengah, lalu saya ucapkan kata-kata itu.” Kemudian, Nabi Muhammad berkata, “Sungguh, saya nampak 12 orang malaikat berebut-rebut mengangkat kata-kata itu.” – Hadith No. 271 dalam kitab Ringkasan Sahih Muslim


Nota: 'Alhamdulillahi hamdan kasiran thoyiban mubarakan fih.' bermakna 'Segala puji bagi Allah, pujian yang banyak, bagus, lagi penuh berkat.'


Berikut adalah prinsip dan teknik-teknik memuji yang Nabi Muhammad tunjukkan:


1. Nabi Muhammad tidak menegur tiga kesalahan yang dilakukan oleh lelaki itu. Pertama, lelaki itu datang lambat. Kedua, dia buat bising dalam masjid. Ketiga, apabila ditanya dia tidak memngaku. Semua kesalahan itu tidak ditegur.


2. Pada waktu yang sama lelaki itu melakukan satu perkara baik yakni dia membaca: Alhamdulillahi hamdan kasiran thoyiban mubarakan fih. Nabi Muhammad memuji kata-kata itu dengan pujian: “Sungguh, saya nampak 12 orang malaikat berebut-rebut mengangkat kata-kata itu.”


3. Prinsip yang Nabi Muhammad tunjukkan adalah: Apabila ada orang yang melakukan kesalahan, tetapi pada masa yang sama dia melakukan satu kebaikan, maka diamkan sahaja kesalahannya manakala perbuatan betulnya diberi pujian.

4. Nabi Muhammad mendahulukan kerja memuji daripada berzikir. Dalam peristiwa di atas selepas sahaja Nabi Muhammad selesai bersembahyang beliau terus memuji lelaki itu. Beliau tidak berzikir dan berdoa dahulu, kemudian baru memuji.

5. Nabi Muhammad memuji secara terbuka perkara baik yang dilakukan secara terbuka.


6. Nabi Muhammad memberikan pujian dengan segera dan di hadapan semua orang yang melihat lelaki itu melakukan kebaikan yang dipuji.


7. Lelaki itu adalah lelaki biasa, bukan orang penting. Nabi Muhammad memuji dia di hadapan semua orang-orang penting ada di situ pada masa itu.

.

Teknik Nabi Muhammad Memuji Perbuatan Perempuan Rajin

Salah seorang sahabat Nabi Muhammad bernama Anas bin Malik.

Anas melaporkan bahawa Nabi Muhammad pernah ternampak kesan ludah melekat di dinding masjid. Beliau berasa marah sehingga wajah beliau merah. Kemudian datang seorang wanita penduduk asal Madinah lalu dia membuang kesan ludah itu lalu meletakkan wangian pada tempat itu. Kemudian Nabi Muhammad berkata, "Alangkah bagusnya perbuatan itu!" – Hadith ini terdapat dalam koleksi Al-Nasa'i dan koleksi Ibnu Majah.


Daripada catatan di atas prinsip-prinsip dan teknik memuji yang dapat digali adalah:

1. Apabila Nabi Muhammad ternampak ada ludah melekat di dinding masjid, beliau hanya menahan marah, tetapi tidak bercakap walau sepatah pun.

2. Nabi Muhammad tidak menyiasat siapa yang melakukan kesalahan itu. Ini adalah prinsip penting yang Nabi Muhammad tunjukkan, yakni sesuatu kesalahan yang sudah dilakukan tidak disiasat siapa yang melakukannya.

3. Beliau tidak berkata bahawa meludah ke dinding masjid adalah suatu kesalahan. Orang tahu beliau marah disebabkan wajah beliau kelihatan merah.

4. Apabila perempuan itu selesai membuang kesan ludah tersebut dan meletakkan wangian, Nabi Muhammad serta-merta memberi pujian. Prinsip ini sangat penting, di mana Nabi Muhammad tidak menagguhkan pujian. Di situ beliau nampak perempuan itu melakukan perkara yang baik, di situ juga beliau memuji perbuatan wanita itu.

5. Ayat pujian Nabi Muhammad adalah "Alangkah bagusnya perbuatan itu!" Nabi Muhammad memuji perbuatan wanita itu. Beliau tidak memuji diri wanita itu. Prinsip ini sangat penting.


.

Teknik Nabi Muhammad Memuji Orang yang Rajin Berzikir

Salah seorang sahabat Nabi Muhammad bernama Abu Musa. Nama sebenarnya adalah Abdullah bin Qais.

Abu Musa melaporkan bahawa dia pernah bersama dengan Nabi Muhammad dalam satu perjalanan. Lalu ada orang-orang yang bertakbir dengan suara kuat. Nabi Muhammad berkata, "Wahai saudara-saudara sekalian, kasihanilah dirimu! Sesungguhnya kalian tidak berdoa kepada seorang yang tuli dan jauh, tetapi kalian berdoa kepada Zat yang maha mendengar lagi maha dekat, dan Dia bersama kalian." Ketika itu Abu Musa berada di belakang beliau, dan dia membaca, “Lahaula wala quwwata illa billah.” Nabi Muhammad berkata kepada Abu Musa, "Wahai Abdullah bin Qais, mahukah saudara saya tunjukkan suatu perbendaharaan syurga?" Abu Musa menjawab, “Sudah tentu, wahai Rasul Allah.” Beliau berkata, "Ucapkanlah, Lahaula wala quwwata illa billah." – Hadith nombor 1893 dalam kitab Ringkasan Sahih Muslim


Daripada teks hadith di atas dapat digali teknik Nabi Muhammad memuji orang yang rajin berzikir:

1. Nabi Muhammad memuji hasil kerja Abu Musa, yakni zikir yang dibacanya iaitu Lahaula wala quwwata illa billah. Ciri ini adalah ciri paling penting, yakni Nabi Muhammad memuji hasil kerja seseorang itu, bukan memuji orangnya.


2. Nabi Muhammad memulakan kata-katanya dengan menyebut nama sebenar Abu Musa, "Wahai Abdullah bin Qais,....”

3. Nabi Muhammad membuat tawaran kepada Abu Musa dahulu sebelum memberikan pujian dengan berkata, “....mahukah saudara saya tunjukkan suatu perbendaharaan syurga?" Selepas Abu Musa menerima tawaran itu barulah beliau memberikan pujiannya.

4. Pujian Nabi Muhammad adalah dalam bentuk menerangkan betapa mulianya kata-kata zikir yang dibacanya itu, yakni Lahaula wala quwwata illa billah.

5. Teks pujian Nabi Muhammad adalah: "suatu perbendaharaan syurga".


.

Peta Informasi Bagi Menerangkan Teknik Nabi Muhammad Mendorong Perubahan Tingkah Laku

Nabi Muhammad Tidak Bertanya Menggunakan Perkataan "Mengapakah?..."

Salah satu ciri bahasa Nabi Muhammad adalah, beliau tidak menggunakan perkataan 'mengapa' apabila berkomunikasi dengan individu-individu yang melakukan kesalahan.

Dalam rekod sejarah, terdapat banyak catatan yang menunjukkan Nabi Muhammad tidak bertanya "Mengapakah..." kepada orang yang melakukan kesalahan.

Di bawah ini adalah salah satu daripada catatan sejarah itu.


Salah seorang sahabat Nabi Muhammad bernama Abu Hurairah. Dia melaporkan bahawa Nabi Muhammad pernah lalu di hadapan orang yang menjual selonggok makanan. Beliau memasukkan tangannya ke dalam longgokan makanan itu, lalu tangan beliau terkena pada makanan basah di dalamnya. Nabi Muhammad bertanya kepada orang itu, "Apakah ini, wahai penjual makanan?" Orang itu menjawab, "Ia ditimpa hujan dari langit, wahai Rasulullah." Beliau berkata, "Tidakkah kamu letakkan di atas, supaya diketahui oleh orang yang akan membelinya? Sesiapa yang menipu, dia bukan daripada golonganku." -- Hadith nombor 947 dalam kitab Ringkasan Sahih Muslim

Dalam peristiwa di atas Nabi Muhammad mahu mengetahui apa yang menyebabkan penjual makanan itu meletakkan makanan yang basah oleh air hujan di bahagian bawah sehingga tidak dapat dilihat oleh pembeli.

Nabi Muhammad bertanya tetapi beliau tidak menggunakan perkataan 'mengapakah'. Sebaliknya beliau menggunakan perkataan 'apakah'. (
"Apakah ini, wahai penjual makanan?")

Kemudian Nabi Muhammad memarahi penjual makanan itu tetapi beliau tidak menggunakan perkataan 'mengapakah'. Sebaliknya beliau menggunakan perkataan 'tidakkah'. ("Tidakkah kamu letakkan di atas, supaya diketahui oleh orang yang akan membelinya? Sesiapa yang menipu, dia bukan daripada golonganku.")


.

Peta Informasi Bagi Menerangkan Teknik Nabi Muhammad Mendorong Perubahan Tingkah Laku


Peta informasi (information mapping) di atas menerangkan maklumat dalam hadith ini:

Anas melaporkan, pada suatu hari ada seorang lelaki datang dan dia terus masuk barisan orang-orang yang sedang sembahyang, dengan nafasnya termengah-mengah kerana terkocoh-kocoh mengejar waktu sembahyang, sambil dia membaca dengan kuat 'Alhamdulillahi hamdan kasiran thoyiban mubarakan fih.' (Segala puji bagi Allah, pujian yang banyak, bagus, lagi penuh berkat.) Selepas selesai sembahyang, Nabi Muhammad bertanya, “Siapakah tadi yang mengucapkan kata-kata itu?” Semua orang yang ada diam sahaja, tidak seorang pun menjawab. Nabi Muhammad bertanya lagi, “Siapakah tadi yang mengucapkan kata-kata itu? Sebenarnya dia tidak mengucapkan sesuatu yang berdosa.” Lalu seorang lelaki berkata, “Tadi saya datang dengan termengah-mengah, lalu saya ucapkan kata-kata itu.” Kemudian, Nabi Muhammad berkata, “Sungguh, saya nampak 12 orang malaikat berebut-rebut mengangkat kata-kata itu.” -- Hadith No. 271 dalam kitab Ringkasan Sahih Muslim


Berbeza orang, berbeza cara mereka memproses maklumat. Orang yang suka berfikir secara abstrak (absract thinkers) dapat memproses informasi dalam hadith yang ditampilkan dalam bentuk ayat-ayat bahasa.

Bagi orang yang suka berfikir secara konkrit (concrete thinkers), mereka sukar memproses ayat-ayat. Mereka lebih suka memproses maklumat yang ditampilkan dalam bentuk gambar.



Konten Ayat Pujian Nabi Muhammad

Apabila Nabi Muhammad memuji perbuatan yang baik, beliau menerangkan impak yang dihasilkan oleh pebuatan baik itu. Ini adalah ciri utama yang terdapat dalam ayat-ayat dorongan yang beliau ucapkan kepada orang biasa-biasa apabila mereka melakukan sesuatu perbuatan yang luar biasa.

Contoh konten ayat pujian Nabi Muhammad itu dapat dilihat pada hadith di bawah ini:


Ibnu Umar menceritakan, pada suatu masa beliau dan orang-orang lain sedang hendak melakukan sembahyang di masjid. Pada waktu itu kedengaran seorang lelaki berkata, "Allahu akbar kabiran, alhamdulillahi kathiran, wasubhanallahi bukratan wa'asila." Selepas selesai sembahyang, Nabi Muhammad bertanya kepada orang-orang yang ada, "Siapakah tadi yang membaca ucapan itu?" Lelaki itu menjawab, "Saya, ya Rasul Allah." Lalu Nabi Muhammad berkata, "Saya kagum dengan kata-kata itu. Pintu-pintu langit dibuka kerana kata-kata itu." Dalam laporannya itu, Ibnu Umar berkata, "Semenjak saya terdengar Nabi Muhammad berkata begitu, saya tidak pernah lupa mengucapkan kata-kata itu." - catatan peristiwa ini ada dalam rekod koleksi hadith-hadith autentik Muslim.

Dalam teks hadith di atas ayat pujian yang Nabi Muhammad berikan kepada lelaki itu adalah: "Saya kagum dengan kata-kata itu. Pintu-pintu langit dibuka kerana kata-kata itu."

Dua impak yang disebutkan oleh Nabi Muhammad adalah:


1. "Saya kagum...."

2. "....Pintu-pintu langit dibuka kerana kata-kata itu."



.