Salah seorang sahabat Nabi Muhammad bernama Abu Musa. Nama sebenarnya adalah Abdullah bin Qais.
Abu Musa melaporkan bahawa dia pernah bersama dengan Nabi Muhammad dalam satu perjalanan. Lalu ada orang-orang yang bertakbir dengan suara kuat. Nabi Muhammad berkata, "Wahai saudara-saudara sekalian, kasihanilah dirimu! Sesungguhnya kalian tidak berdoa kepada seorang yang tuli dan jauh, tetapi kalian berdoa kepada Zat yang maha mendengar lagi maha dekat, dan Dia bersama kalian." Ketika itu Abu Musa berada di belakang beliau, dan dia membaca, “Lahaula wala quwwata illa billah.” Nabi Muhammad berkata kepada Abu Musa, "Wahai Abdullah bin Qais, mahukah saudara saya tunjukkan suatu perbendaharaan syurga?" Abu Musa menjawab, “Sudah tentu, wahai Rasul Allah.” Beliau berkata, "Ucapkanlah, Lahaula wala quwwata illa billah." – Hadith nombor 1893 dalam kitab Ringkasan Sahih Muslim
Daripada teks hadith di atas dapat digali teknik Nabi Muhammad memuji orang yang rajin berzikir:
1. Nabi Muhammad memuji hasil kerja Abu Musa, yakni zikir yang dibacanya iaitu Lahaula wala quwwata illa billah. Ciri ini adalah ciri paling penting, yakni Nabi Muhammad memuji hasil kerja seseorang itu, bukan memuji orangnya.
2. Nabi Muhammad memulakan kata-katanya dengan menyebut nama sebenar Abu Musa, "Wahai Abdullah bin Qais,....”
3. Nabi Muhammad membuat tawaran kepada Abu Musa dahulu sebelum memberikan pujian dengan berkata, “....mahukah saudara saya tunjukkan suatu perbendaharaan syurga?" Selepas Abu Musa menerima tawaran itu barulah beliau memberikan pujiannya.
4. Pujian Nabi Muhammad adalah dalam bentuk menerangkan betapa mulianya kata-kata zikir yang dibacanya itu, yakni Lahaula wala quwwata illa billah.
5. Teks pujian Nabi Muhammad adalah: "suatu perbendaharaan syurga".
.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan