Nabi Muhammad adalah seorang pemimpin politik. Beliau berjaya menubuhkan sebuah negara berperlembagaan dengan pusat pentadbirannya di kota Madinah.
Antara hadith yang menunjukkan kepintaran Nabi Muhammad sebagai pemimpin politik adalah hadith di bawah ini:
"Jikalau saudara-saudara mengkritik kepimpinan Usamah bin Zaid, bermakna saudara-saudara mengkritik kepimpinan ayahnya, Zaid bin Harithah. Demi Allah, dia selayaknya memegang kepimpinan pasukan ini. Demi Allah, dia adalah seorang yang paling saya kasihi. Demi Allah, dia selayaknya memegang kepimpinan pasukan ini. Demi Allah, dia seorang yang paling saya kasihi selepas ayahnya. Oleh kerana itu saya berpesan kepada saudara-saudara, sesungguhnya dia adalah antara orang-orang saleh di kalangan saudara-saudara." - Hadith No. 1681 dalam kitab Ringkasan Sahih Muslim
Latar belakang kepada hadith di atas adalah: Nabi Muhammad melantik Usamah bin Zaid sebagai panglima perang, sedangkan beliau baru berusia 17 tahun. Hal ini tidak disokong oleh banyak pengikut Nabi Muhammad yang lebih senior daripada Usamah, baik dari segi usia mahupun dari segi pengalaman berperang.
Dalam hadith di atas Nabi Muhammad menjawab kritikan mereka dengan mempertahankan keputusan itu. Taktik Nabi Muhammad yang dapat digali daripada hadith di atas adalah:
Apabila dikritik, Nabi Muhammad tidak menarik balik keputusannya. Beliau mempertahankan keputusannya melantik Usamah bin Zaid. Dalam mempertahankan keputusannya, beliau mengatakan Usamah adalah sangat layak menjadi panglima tentera, itu sahaja. Beliau tidak pula menerangkan apa kriteria yang menjadi asas beliau memilih Usamah.
Dalam amalan lazim, apabila keputusan ketua ditentang oleh anak-anak buahnya, ketua akan memberi penerangan panjang lebar berkenaan hujah dan rasional di sebalik keputusan yang dibuatnya itu. Dia akan menggunakan ayat-ayat "Oleh sebab...." dan "Kerana...." Namun hal ini tidak dilakukan oleh Nabi Muhammad.
Sampai hari ini tidak ada sesiapa yang tahu apa sebenarnya alasan beliau melantik Usamah bin Zaid. Jika ada orang yang mengemukakan alasan, hal itu hanyalah sangkaannya sahaja.
Dalam bahasa hari ini, taktik begitu dikatakan sebagai taktik seorang diktator, seorang pemimpin kuku besi.
Namun, dari hadith ini dapat disimpulkan bahawa Nabi Muhammad menunjukkan kepada kita dua prinsip kepimpinan:
1. Ada masanya pemimpin perlu memimpin dengan secara kuku besi.
2. Ada masanya pemimpin jangan menerangkan kriteria keputusan yang diambilnya.
1 ulasan:
Bukankah Rasulullah menyatakan bahawa Usamah Ibnu Zaid merupakan orang yang paling soleh pada masa itu?
sebab itulah Rasulullah melantiknya sebagai pemimpin.
Catat Ulasan