Seorang pengurus latihan di sebuah syarikat menerima cadangan modul bina insan dari sebuah syarikat pembekal perkhidmatan training aliran Islamik. Apabila modul itu dijalankan, pengurus latihan itu mendapati tokoh-tokoh yang mengendalikan sesi telah banyak bercakap kepada peserta dengan gaya memberi kuliah agama. Semasa bercakap itu tokoh-tokoh tersebut menerangkan perkara-perkara penting berkenaan kaitan antara agama, insan, ibadah dan pekerjaan. Namun kuliah yang diberikan itu tidak termasuk dalam bidang 'training'.
Nabi Muhammad menunjukkan banyak ilmu yang relevan dengan sains dan kemahiran mendorong orang supaya mengubah sikap dan tingkah laku mereka kepada yang lebih baik. Antara perkara-perkara yang Nabi Muhammad tunjukkan adalah: (i) Apa itu prinsip, dan (ii) Apa itu teknik.
Memahami perbezaan antara apa yang disebut dengan istilah 'prinsip' dan istilah 'teknik' adalah kemahiran kritikal kepada pendakwah, motivator, trainer dan penceramah. Prinsip adalah statement yang memberitahu apa yang betul dan apa yang salah. Statement 'kerja adalah ibadah' adalah contoh sebuah prinsip. Memang betul bahawa dalam Islam kerja ada sejenis ibadah. Satu lagi contoh statement prinsip adalah 'nasihat yang baik adalah sedekah'.
Prinsip-prinsip adalah sebahagian daripada ilmu, itulah sebabnya hanya tokoh yang mempunyai ilmu sahaja yang dapat menerangkan prinsip-prinsip itu. Banyak sesi training yang dikendalikan oleh tokoh yang mempunyai banyak ilmu berakhir dengan peserta belajar dan faham apa yang dikatakan perkara-perkara yang penting, tetapi mereka tidak tahu bagaimana hendak menterjemahkan perkara-perkara penting menjadi tindakan atau action.
Apabila tokoh menerangkan prinsip, yakni ilmu, automatik tokoh itu akan banyak bercakap manakala peserta sesi training duduk mendengar sahaja. Tokoh itu banyak bercakap disebabkan dia mahu mengajarkan prinsip-prinsip itu kepada peserta. Dia mahu mencurahkan ilmunya yang banyak.
Salah satu mitos dalam bidang training adalah: Kalau peserta sudah tahu apa yang penting, maka peserta akan dapat memikirkan sendiri bagaimana perkara penting itu perlu diterjemahkan menjadi amalan praktis di tempat kerjanya. Namun ini adalah mitos. Ia umpama kita percaya apabila peserta faham bahawa sukan adalah penting bagi kesihatan, maka secara automatis mereka akan pandai bermain bola. Namun mitos ini sangat popular di kalangan tokoh-tokoh yang mengendalikan sesi training, di mana mereka banyak bercakap kepada peserta menerangkan prisnisp-prinsip. Hasilnya peserta tahu apa yang penting tetapi tidak pandai mengaplikasikan perkara-perkara penting itu.
Teknik-teknik menerangkan 'how to'. Jadi, teknik adalah cara dan prosedur bagaimana sesuatu kerja itu dilakukan step-by-step. Sebagai contoh, semua orang sudah tahu bahawa 'nasihat yang baik adalah sedekah', namun apabila nasihat yang baik itu diberikan dengan menggunakan teknik yang salah, kesannya orang yang dinasihati itu mungkin menolak nasihat itu, malah dia mungkin membenci si penasihat. Ini kerana tokoh-tokoh itu menerangkan hal-hal yang menjadi prinsip.
Cara-cara mengajarkan prinsip-prinsip dalam agama adalah melalui kuliah dan tazkirah, kerana prinsip-prinsip adalah sebahagian daripada 'ilmu pengetahuan', oleh itu ilmu disampaikan dengan teknik mengajar, ceramah dan tazkirah. Selepas menerangkan prinsip-prinsip, langkah seterusnya adalah menterjemahkan prinsip-prinsip itu menjadi teknik-teknik, dan seterusnya bagaimana menggunakan teknik-teknik itu.
Setakat mengetahui prinsip-prinsip adalah tidak cukup kerana bukan semua orang pandai mencipta sendiri strategi, prioriti, prosedur dan teknik-teknik bagi menerapkan prinsip-prinsip yang sudah diterangkan itu. Tugas menciptakan strategi, proriti, prosedur dan teknik-teknik adalah tugas kepakaran tinggi.
Teknik adalah sebahagian daripada skill atau kemahiran. Oleh itu skill dipindahkan daripada trainer kepada trainee menggunakan aktiviti-akitiviti problem-solving approach. Trainee diberikan problem dan mereka berlatih menyelesaikan problem itu. Pada akhir sesi, mereka sudah dapat mempelajari dan juga menguasai teknik-teknik yang diperlukan semasa menyelesaikan problem itu.
Nabi Muhammad ada menunjukkan teknik dan prosedur yang betul apabila menyebut kata-kata nasihat. Sebagai contoh, salah satu teknik Nabi Muhammad menyebutkan kata-kata nasihat adalah dengan bertanya dahulu kepada target apakah dia mahu mendengar nasihat yang akan diberikan itu. Sebelum memberi nasihat, Nabi Muhammad berkata, "Mahukah kamu....?" Hanya selepas target menjawab, "Mahu...." barulah Nabi menyebutkan kata-kata nasihat itu.
Jadi, Nabi Muhammad menunjukkan kepada kita bahawa teknik yang betul memberikan kata-kata nasihat adalah dengan bertanya dahulu kepada target apakah dia mahu mendengar apa yang akan disampaikan kepadanya ataupun tidak. Dengan lain perkataan, kita perlu meminta izin terlebih dahulu daripada target sebelum menyampaikan kata-kata nasihat kepadanya. Jika target setuju dan mahu, barulah nasihat itu diberikan. Jika dia tidak mahu, jangan diberikan nasihat itu.
Pada prinsipnya, mengucapkan kata-kata nasihat adalah perbuatan yang betul dan baik. Namun, apabila kata-kata nasihat yang betul diberikan dengan menggunakan teknik yang tidak betul, ia boleh menyebabkan banyak kesan negatif, terutamanya kesan emotif kepada target. Berdasarkan teknik yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad itu, sebelum menyampaikan ceramah yang mengandungi kata-kata nasihat, kita perlu bertanya dahulu kepada hadirin apakah mereka mahu mendengar nasihat yang akan kita sampaikan.