Kreativiti: Bagaimana Nabi Muhammad Menghapuskan Risiko Sosial

Dalam bidang pengurusan, semua jenis masalah dapat dikelompokkan ke dalam 2 kategori:

1. Masalah logikal
Masalah jenis ini
hanya dapat diselesaikan dengan menggunakan teknik berfikir secara logikal. Kerja-kerja teknikal adalah contoh bidang yang menggunakan daya berfikir secara logikal. Contoh masalah logikal banyak dijumpai dalam kerja-kerja penyenggaraan atau maintainance, di mana apabila berlaku kerosakan maka cara menyelesaikannya adalah dengan mencari punca-punca kerosakan itu dan membuang unsur yang menyebabkan kerosakan berlaku.

2. Masalah kreatif
Kreativiti digunakan bagi menyelesaikan masalah-masalah kreatif. Perkara-perkara baru sentiasa mencipta peluang-peluang baru dan masalah-masalah baru. Apabila ini berlaku maka kreativiti diperlukan bagi mencipta penyelesaian-penyelesaian baru.

Salah satu fungsi ketua adalah mendorong anak-anak buahnya supaya meningkatkan daya kreativiti mereka. Nabi Muhammad adalah seorang ketua dan beliau menjalankan tugas-tugas mendorong anak-anak buahnya mengemukakan idea-idea kreatif mereka.

Faktor yang mendorong anak-anak buah suka berfikir secara kreatif adalah perasaan selamat daripada ancaman mendapat malu ataupun jatuh maruah. Perasaan selamat itu adalah apabila mereka yakin walaupun idea mereka tidak cukup baik namun mereka tidak akan dimalukan
di hadapan rakan sekerja. Risisko ini disebut risiko sosial.

Seorang sahabat Nabi Muhammad yang bernama Abdullah bin Umar melaporkan, semasa orang-orang Islam dari Mekah baru tiba di Madinah, mereka semua berkumpul sementara menunggu masuknya waktu sembahyang. Pada masa itu belum ada apa-apa cara memanggil orang supaya bersembahyang. Disebabkan keadaan itu, pada suatu hari mereka berbincang berkenaan perkara tersebut. Ada antara mereka yang berkata, “Gunakan loceng macam orang-orang Kristian.” Ada pula yang berkata, “Gunakan trompet daripada tanduk, macam orang-orang Yahudi.” Lalu Umar berkata, “Bagaimana kalau saudara-saudara suruh seorang lelaki supaya melaungkan panggilan sembahyang?” Nabi Muhammad pun berkata, “Wahai Bilal, berdirilah, dan laungkan panggilan sembahyang.” --
Hadith No. 190 dalam kitab Ringkasan Sahih Muslim.

Dalam peristiwa di atas, Nabi Muhammad mendengar 3 idea yang dicadangkan oleh anak-anak buahnya kepada beliau. Beliau menolak 2 idea, yakni idea loceng dan trompet, lalu menerima 1 idea, yakni idea laungan azan.

Nabi Muhammad tidak menerangkan alasan-asalan mengapa 2 idea itu beliau tolak.
Apabila seseorang ketua tidak mengulas dan menerangkan alasan-alasan mengapa sesuatu idea itu ditolak, orang yang mengemukakan idea itu tidak menanggung risiko sosial.

Begitu juga, apabila menerima idea, beliau juga tidak menerangkan alasan mengapa idea itu diterima. Dengan tidak memuji keistimewaan dan kelebihan idea yang diterima, dengan itu mereka yang ideanya ditolak juga tidak menanggung risiko sosial.


3 ulasan:

Fazrul Ismail berkata...

Risiko sosial ini perlu ditanggung oleh ketuakah Puan? Kerana berdasarkan pengalaman, kalau si ketua tidak cukup yakin untuk membuat keputusan dan ingin berkongsi risiko, maka ia akan berkongsi 'sebab'. Bolehkah begitu ?

Puan Ainon Mohd. berkata...

Tanggungjawab ketua adalah membuat keputusan. Semua risiko yang berkaitan dengan keputusan itu adalah ditanggung akauntabilitinya oleh ketua.

s berkata...

Ketua menanggung risiko kerana dia memutuskan keputusan.
Ahli mesyuarat tidak akan membiarkan siketua menanggung risiko keseorangan kerana keputusan ketua adalah keputusan mesyuarat, keputusan bersama.