Sebagai Trainer: Nabi Muhammad Melatih 'Pak Bendul'

Nabi Muhammad adalah seorang trainer yang sangat profesional. Macam-macam kategori orang telah menerima latihan dari beliau.

Dalam rekod sejarah, ada catatan bagaimana Nabi Muhammad melatih seorang yang 'lurus bendul' bernama Ammar bin Yasir.

Dalam suatu peristiwa, Ammar bin Yasir tahu hukum fikah bahawa apabila dia berhadas besar tetapi tidak ada air untuk mandi bersuci, dia dibolehkan bersuci menggunakan debu tanah. Maksudnya, Ammar mempunyai pengetahuan fikah tentang cara bersuci menggunakan debu tanah. Tetapi, pada waktu kejadian itu berlaku dia tidak tahu teknik bersuci menggunakan debu tanah. Maka dia pun mencipta tekniknya sendiri.

Hadith di bawah ini menunjukkan bagaimana Nabi Muhammad menunjukkan kepada Ammar bin Yasir teknik bersuci yang mudah apabila tidak dapat menggunakan air.

Sahabat Nabi Muhammad yang bernama Ammar bin Yasir melaporkam bahawa Nabi Muhammad pernah menghantar dia supaya menjalankan suatu urusan. Kemudian Ammar melakukan hadas besar, tetapi dia tidak mempunyai air bagi melakukan mandi wajib. Lalu dia pun mengguling-gulingkan badannya di atas pasir seperti binatang ternak berguling-guling. Kemudian dia pergi berjumpa dengan Nabi Muhammad lalu dia menceritakan apa yang dilakukannya kepada beliau. Nabi Muhammad berkata, "Sebenarnya, cukuplah saudara melakukannya dengan tangan saudara sahaja, begini caranya." Kemudian beliau menepuk kedua-dua tapak tangannya ke pasir dengan sekali tepuk, lalu mengibaskannya. Kemudian beliau mengusapkan tangan kirinya ke tangan kanannya, selepas itu mengusap bahagian atas kedua tapak tangannya, dan kemudian mengusapi mukanya." - Catatan ini terdapat dalam koleksi hadith-hadith autentik Bukhari dan koleksi Muslim.

Kita yang membaca catatan di atas pun sukar hendak menahan rasa geli hati apabila membayangkan cara Ammar bersuci. Namun Nabi Muhammad buat selamba sahaja. Beliau tidak berkata:

* "Apa hal kamu berguling-guling macam kambing mandi debu? Kah kah kah...."
* "Kenapalah engkau bodoh sangat!"
* "Ammar!... Ammar!.... Apalah nak jadi dengan kamu ini...."
* "Dari mana kamu belajar mandi junub macam itu?"
* "Orang macam kamu pun ada!...."