Sebagai Ketua: Bagaimana Nabi Muhammad Memberikan Dorongan Peningkatan Kualiti Kerja Anak-Anak Buahnya

Nabi Muhammad adalah seorang ketua. Beliau juga seorang motivator dan pendorong perubahan tingkah laku.

Salah satu fungsi ketua adalah menjadi motivator kepada anak-anak buahnya dengan memberikan dorongan supaya mereka secara sukarela meningkatkan kualiti kerja mereka.

Dalam amalan lazim, ketua-ketua yang mahu memotivasi anak-anak buahnya supaya meningkatkan kualiti kerja mereka cenderung mengkritik dengan bercakap panjang lebar menerangkan cara kerja anak-anak buahnya yang silap, salah, lemah dan oleh itu perlu diperbaiki.

Amalan lazim begini juga dilakukan oleh guru-guru, ibu bapa, pendakwah dan juga motivator amatur di mana fokus diberikan kepada aktiviti memberi dengan penerangan panjang lebar tentang pelbagai kesilapan dan kesalahan. Ini dilakukan atas keyakinan bahawa dengan memberikan penerangan negatif itu mereka akan terdorong memperbaiki kesilapan dan kelemahan mereka.

Ada sebuah catatan sejarah yang menunjukkan prinsip-prinsip dan teknik-teknik yang digunakan oleh Nabi Muhammad bagi mendorong orang supaya memperbaiki kualiti kerja mereka.

Imran bin Husain melaporkan pada suatu masa ada seorang lelaki datang mendekati Nabi Muhammad
.
Lelaki itu berkata, “Assalamualaikum.” Nabi Muhammad berkata, “Dia mendapat 10 pahala.” Kemudian datang pula seorang lain yang berkata, “Assalamualaikum wa rahmatullah.” Nabi Muhammad berkata, “Dia mendapat 20 pahala.” Kemudian datang lagi seorang lain yang berkata, “Assalamualaikum wa rahmatullah wa barakatuh.” Nabi Muhammad berkata, “Dia mendapat 30 pahala.” --
Hadith No. 2689 dalam kitab Shahih Sunan Tarmizi

Catatan di atas menunjukkan bagaimana Nabi Muhammad menunjukkan kepada anak-anak buahnya yang diberikan dorongan itu 3 model kualiti kerja:

a. Kualiti kerja minimum -- setakat boleh diterima
b. Kualiti kerja sederhana -- baik
c. Kualiti kerja maksimum -- cemerlang

Dalam peristiwa di atas, apabila mendorong anak-anak buahnya supaya meningkatkan kualiti kerja mereka, Nabi Muhammad melakukan perkara-perkara berikut:

1. Tidak menerangkan kriteria yang digunakan bagi menetapkan markah yang diberikan.

2. Tidak menerangkan ciri-ciri yang membezakan antara amalan yang diberi markah rendah, sederhana dan tinggi.

3. Tidak menunjukkan contoh cara kerja yang silap dan salah.


2 ulasan:

Fazrul Ismail berkata...

Apa maksud 'Tidak menerangkan kriteria'? Bukankah "Assalamualaikum" dan pelbagai tahap itu 'kriteria'? Kalau anak buah tidak tahu apa yang perlu dibuat, macam mana dia tahu apa yang perlu dibuat?

Terima kasih

Puan Ainon Mohd. berkata...

Perbuatannya adalah memberi salam.

"Assalamualaikum" itu adalah "produk".

Produk itu diberi 10 markah oleh Nabi Muhammad.