Sebagai Ketua: Nabi Tidak Menegur Kesalahan yang Dilakukan oleh Orang yang Berusaha

Salah satu tujuan mendorong perubahan tingkah laku adalah supaya seseorang itu menjalankan kerja-kerjanya dengan kualiti yang tinggi. Dalam amalan lazim, kita banyak menegur orang yang menjalankan kerjanya secara sukarela tetapi masih ada kesilapan pada hasil kerjanya itu.

Nabi Muhammad adalah seorang pendorong perubahan tingkah laku yang sangat efektif. Banyak anak buah beliau bermula sebagai individu tidak cemerlang tetapi, di bawah pengaruh Nabi Muhammad, lama kelamaan mereka menjadi indidvidu-individu yang cemerlang.

Dalam catatan sejarah ada suatu peristiwa di mana salah seorang anak buah Nabi Muhammad menjalankan kerjanya tetapi cara dia menjalankan kerjanya itu tidak sempurna, yakni belum cukup baik.


Sahabat Nabi Muhammad yang bernama Anas melaporkan, pada suatu hari ada seorang lelaki datang dan dia terus masuk barisan orang-orang yang sedang sembahyang, dengan nafasnya termengah-mengah kerana terkocoh-kocoh mengejar waktu sembahyang, sambil dia membaca dengan kuat 'Alhamdulillahi hamdan kasiran thoyiban mubarakan fih.' (Segala puji bagi Allah, pujian yang banyak, bagus, lagi penuh berkat.)
Selepas selesai sembahyang, Nabi Muhammad bertanya, “Siapakah tadi yang mengucapkan kata-kata itu?” Semua orang yang ada diam sahaja, tidak seorang pun menjawab. Nabi Muhammad bertanya lagi, “Siapakah tadi yang mengucapkan kata-kata itu? Sebenarnya dia tidak mengucapkan sesuatu yang berdosa.” Lalu seorang lelaki berkata, “Tadi saya datang dengan termengah-mengah, lalu saya ucapkan kata-kata itu.” Kemudian, Nabi Muhammad berkata, “Sungguh, saya nampak 12 orang malaikat berebut-rebut mengangkat kata-kata itu.”
-- Hadith No. 271 dalam kitab Ringkasan Sahih Muslim

Dalam peristiwa di atas, ada seorang lelaki melakukan kerja tetapi kualiti kerjanya tidak tinggi. K
erja yang dilakukannya itu adalah kerja sukarela, bukan kerja yang wajib dilakukan. Contoh kerja sukarela adalah sembahyang regular yang dijalankan secara beramai-ramai di masjid.

Lelaki dalam catatan sejarah itu datang secara sukarela ke masjid bagi melakukan ibadah sembahyang beramai-ramai, tetapi beliau datang lambat. Sudahlah beliau datang lambat, beliau juga bercakap kuat sehingga dapat didengar oleh orang lain yang minda mereka sedang fokus kepada Tuhan. Namun Nabi Muhammad sama sekali tidak menegur kesalahan anak buahnya itu.


Tiada ulasan: