Sebagai Ketua: Nabi Muhammad Mendahulukan Kerja Memberi Pujian daripada Kerja Berdoa Selepas Sembahyang

Salah satu strategi yang digunakan oleh Nabi Muhammad bagi mendorong perubahan tingkah laku daripada negatif kepada positif adalah dengan menggunakan 2 strategi serentak:

Strategi 1. Jangan ditegur tingkah laku yang negatif. Pura-pura tidak nampak dan buat macam tidak tahu.

Strategi 2. Cepat-cepat puji tingkah laku yang positf. Tangguhkan semua kerja lain. Dahulukan memberi pujian.

Hadith di bawah ini menunjukkan penggunaan 2 strategi itu secara serentak.

Sahabat Nabi Muhammad yang bernama Anas melaporkan, pada suatu hari ada seorang lelaki datang dan dia terus masuk barisan orang-orang yang sedang sembahyang, dengan nafasnya termengah-mengah kerana terkocoh-kocoh mengejar waktu sembahyang, sambil dia membaca dengan kuat 'Alhamdulillahi hamdan kasiran thoyiban mubarakan fih.' (Segala puji bagi Allah, pujian yang banyak, bagus, lagi penuh berkat.)
Selepas selesai sembahyang, Nabi Muhammad bertanya, “Siapakah tadi yang mengucapkan kata-kata itu?” Semua orang yang ada diam sahaja, tidak seorang pun menjawab. Nabi Muhammad bertanya lagi, “Siapakah tadi yang mengucapkan kata-kata itu? Sebenarnya dia tidak mengucapkan sesuatu yang berdosa.” Lalu seorang lelaki berkata, “Tadi saya datang dengan termengah-mengah, lalu saya ucapkan kata-kata itu.” Kemudian, Nabi Muhammad berkata, “Sungguh, saya nampak 12 orang malaikat berebut-rebut mengangkat kata-kata itu.”
-- Hadith No. 271 dalam kitab Ringkasan Sahih Muslim

Dalam peristiwa itu,
lelaki yang dipuji oleh Nabi itu telah menunjukkan 4 tingkah laku yang kurang elok.

1. Dia datang lambat, orang sudah sembahyang baru dia sampai.
2. Sudahlah dia datang lambat, dia membaca zikir kuat-kuat pula.
3. Apabila ditanya siapa yang membaca zikir itu, dia tidak menjawab.
4. Bukan itu sahaja, zikir itu pula zikir yang Nabi tidak pernah ajarkan. Dia cipta sendiri zikir itu.

Sebaik-baik Nabi Muhammad selesai solat, beliau tidak terus berdoa, sebaliknya beliau terus memuji zikir 'Alhamdulillahi hamdan kasiran thoyiban mubarakan fih' yang dibaca oleh lelaki itu.
Dalam peristiwa itu Nabi mendahulukan memberi pujian daripada membaca doa selesai sembahyang. Bandingkan apa yang dilakukan oleh Nabi dengan apa yang lazimnya dilakukan oleh ketua-ketua. Lazimnya, ketua-ketua serta-merta mengkritik dan memarahi kesalahan kerja. Sebaliknya, apabila orang bawahan buat kerja betul, ketua-ketua buat macam tidak nampak, oleh itu tidak memberikan pujian.

Dalam catatan sejarah lain, Ibnu Umar menceritakan, pada suatu masa beliau dan orang-orang lain sedang hendak melakukan sembahyang di masjid. Pada waktu itu kedengaran seorang lelaki berkata, "Allahu akbar kabiran, alhamdulillahi kathiran, wasubhanallahi bukratan wa'asila." Selepas selesai sembahyang, Nabi Muhammad bertanya kepada orang-orang yang ada, "Siapakah tadi yang membaca ucapan itu?" Lelaki itu menjawab, "Saya, ya Rasul Allah." Lalu Nabi Muhammad berkata,
"Saya kagum dengan kata-kata itu. Pintu-pintu langit dibuka kerana kata-kata itu." Dalam laporannya itu, Ibnu Umar berkata, "Semenjak saya terdengar Nabi Muhammad berkata begitu, saya tidak pernah lupa mengucapkan kata-kata itu." - catatan peristiwa ini ada dalam rekod koleksi hadith-hadith autentik Muslim.


Nota: Dalam sesi training peserta akan berlatih teknik-teknik yang betul bagi memberikan pujian kepada orang yang banyak melakukan kesalahan kerja.


.

Tiada ulasan: