Kritik: Psikologi Aliran Barat Menggalakkan Kritikan Membina bagi Membetulkan Sikap dan Tingkah Laku yang Salah

Ilmu psikologi aliran Barat mengajarkan kepada kita konsep constructive criticism (kritikan membina) sebagai alat kerja apabila kita mahu membetulkan sikap dan tingkah laku yang salah. Konsep 'kritikan membina' ini adalah konsep yang dicipta oleh Barat dan kita meminjam konsep itu serta menjadikannya amalan.

Pakar-pakar psikologi dan komunikasi interpersonal Barat mencipta dan mengajarkan kepada kita pelbagai strategi dan teknik bagaimana menyampaikan kritikan membina supaya efektif, yakni supaya kita dapat membetulkan kesalahan-kesalahan orang di sekeliling kita.

Kita juga diajar supaya bersikap terbuka terhadap kritikan-kritikan yang ditujukan kepada kita. Realiti bahawa kita tidak pandai bersikap terbuka apabila menerima kritikan adalah faktor mengapa kita didorong supaya bersikap terbuka.

Pengaruh konsep 'kritikan membina' itu sangat mendalam sehingga golongan agama pun belajar menggunakan kritikan sebagai alat kerja mereka apabila berceramah ataupun menyampaikan kuliah.

Intipati apa yang disebut sebagai kritikan membina adalah menyebut di mana seseorang itu tidak tahu, bodoh, jahil, tidak faham, tersalah, tersilap, tidak betul, terlupa, lemah, leka, alpa, cuai, berniat tidak elok dan banyak lagi.

Disebabkan kita yakin bahawa kritikan mempunyai banyak manfaat, dan bahawa kritikan adalah cara yang betul, maka kita cenderung menyalahkan orang yang tidak mahu menerima kritikan dengan menuduh mereka tidak bersikap terbuka dan lain-lain tuduhan.

Keyakinan bahawa kritikan adalah alat kerja yang betul menyebabkan kita lebih terfokus kepada aktiviti mencari kelemahan dan kesilapan bagi dijadikan bahan untuk dikritik. Kita menjadi sangat mahir mencari salah silap orang. Kita juga menjadi sangat mahir mengkritik orang. Akibatnya, banyak penceramah motivasi, baik daripada golongan agama mahupun bukan, tidak tahu lagi bagaimana hendak menyampaikan ceramahnya tanpa mengkritik mana-mana pihak.

Sahabat Nabi Muhammad yang bernama Anas melaporkan, pada suatu hari ada seorang lelaki datang dan dia terus masuk barisan orang-orang yang sedang sembahyang, dengan nafasnya termengah-mengah kerana terkocoh-kocoh mengejar waktu sembahyang, sambil membaca 'Alhamdulillahi hamdan kasiran thoyiban mubarakan fih.' (Segala puji bagi Allah, pujian yang banyak, bagus, lagi penuh berkat.) Selepas selesai sembahyang, Nabi Muhammad bertanya, “Siapakah tadi yang mengucapkan kata-kata itu?” Semua orang yang ada diam sahaja, tidak seorang pun menjawab. Nabi Muhammad bertanya lagi, “Siapakah tadi yang mengucapkan kata-kata itu? Sebenarnya dia tidak mengucap sesuatu yang berdosa.” Lalu seorang lelaki berkata, “Tadi saya datang dengan termengah-mengah, lalu saya ucapkan kata-kata itu.”
Kemudian, Nabi Muhammad berkata, “Sungguh, saya nampak 12 orang malaikat berebut-rebut mengangkat kata-kata itu.” --
Hadith No. 271 dalam kitab Ringkasan Sahih Muslim

Dalam hadith di atas, lelaki itu melakukan 3 kesalahan:
a. Dia datang sembahyang tetapi lambat.
b. Dia bercakap kuat sehingga mengganggu orang lain yang sedang sembahyang.
c. Apabila ditanya, dia tidak mengaku.

Dalam hadith di atas, dalam keadaan Nabi Muhammad nampak 3 'kesalahan' itu, beliau 'tutup mata' terhadap kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh lelaki itu, sebaliknya beliau memuji satu perkara betul yang dilakukannya.


Nota: Dalam kalangan pakar-pakar psikologi Barat, ada sekumpulan yang menolak amalan menggunakan constructive criticism. Mereka mengatakan apa yang disebut
constructive criticism itu tidak wujud. Ia adalah teori semata-mata, dan teori itu tidak dapat dibuktikan benar dengan cara ujikaji dalam makmal. Mereka mengatakan semua bentuk kritikan adalah destructive, yakni merosakkan, kerana apa jua bentuk kritikan ia mencederakan psikologi individu yang dikritik.


Tiada ulasan: