Nabi Muhammad seorang ketua yang pemurah dengan puji-pujian. Beliau memberi pujian kepada semua orang. Orang besar-besar pun beliau puji, orang kecil-kecil pun beliau puji. Malah orang yang membuat banyak kesilapan pun beliau puji juga.
Hadis di bawah ini menunjukkan teknik bagaimana Nabi Muhammad memberikan pujian kepada orang kecil. Prinsip yang beliau gunakan adalah membezakan antara 'orang' dan 'hasil kerjanya'.
Sahabat Nabi Muhammad yang bernama Anas melaporkan, pada suatu hari ada seorang lelaki datang dan dia terus masuk barisan orang-orang yang sedang sembahyang, dengan nafasnya termengah-mengah kerana terkocoh-kocoh mengejar waktu sembahyang, sambil membaca 'Alhamdulillahi hamdan kasiran thoyiban mubarakan fih.' (Segala puji bagi Allah, pujian yang banyak, bagus, lagi penuh berkat.) Selepas selesai sembahyang, Nabi Muhammad bertanya, “Siapakah tadi yang mengucapkan kata-kata itu?” Semua orang yang ada diam sahaja, tidak seorang pun menjawab. Nabi Muhammad bertanya lagi, “Siapakah tadi yang mengucapkan kata-kata itu? Sebenarnya dia tidak mengucap sesuatu yang berdosa.” Lalu seorang lelaki berkata, “Tadi saya datang dengan termengah-mengah, lalu saya ucapkan kata-kata itu.” Kemudian, Nabi Muhammad berkata, “Sungguh, saya nampak 12 orang malaikat berebut-rebut mengangkat kata-kata itu.” - Hadith No. 271 dalam kitab Ringkasan Sahih Muslim
Dalam peristiwa di atas, Nabi Muhammad tidak memuji diri orang kecil itu. Apabila Nabi Muhammad memuji orang kecil, perkara yang dipujinya itu adalah hasil kerja si orang kecil tersebut. Katanya, “Sungguh, saya nampak 12 orang malaikat berebut-rebut mengangkat kata-kata itu.”
Beliau tidak berkata:
* "Kamu bagus."
* "Kamu pandai berzikir"
* "Kamu hebat."
* "Kamu pandai."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan