Istilah 'risiko sosial' merujuk kepada risiko mendapat malu ataupun jatuh martabat di hadapan orang lain.
Faktor risiko sosial adalah faktor utama yang menyebabkan seseorang itu tidak mahu tampil ke hadapan, baik bagi tujuan bertanya, mengemukakan pendapat, idea ataupun menyumbangkan daya usaha, disebabkan mereka takut mendapat malu sekiranya idea mereka dikritik dan ditolak dengan cara yang menjatuhkan maruah mereka.
Risiko sosial juga menyebabkan pecah-belah dalam kumpulan. Orang yang pendapatnya, ilmunya dan sikapnya telah secara terbuka dikritik, ditegur, dimalukan dan dijatuhkan martabatnya tidak akan berterima kasih, bergembira dan semakin hormat dan menyukai orang yang telah menyebabkan dia mendapat malu.
Dalam rekod sejarah, ada catatan tentang suatu kejadian yang menunjukkan unsur risiko sosial dan bagaimana Nabi Muhammad mengurus risiko itu.
Sahabat Nabi Muhammad yang bernama Anas melaporkan, pada suatu hari ada seorang lelaki datang dan dia terus masuk barisan orang-orang yang sedang sembahyang, dengan nafasnya termengah-mengah kerana terkocoh-kocoh mengejar waktu sembahyang, sambil membaca 'Alhamdulillahi hamdan kasiran thoyiban mubarakan fih.' (Segala puji bagi Allah, pujian yang banyak, bagus, lagi penuh berkat.) Selepas selesai sembahyang, Nabi Muhammad bertanya, “Siapakah tadi yang mengucapkan kata-kata itu?” Semua orang yang ada diam sahaja, tidak seorang pun menjawab. Nabi Muhammad bertanya lagi, “Siapakah tadi yang mengucapkan kata-kata itu? Sebenarnya dia tidak mengucap sesuatu yang berdosa.” Lalu seorang lelaki berkata, “Tadi saya datang dengan termengah-mengah, lalu saya ucapkan kata-kata itu.” Kemudian, Nabi Muhammad berkata, “Sungguh, saya nampak 12 orang malaikat berebut-rebut mengangkat kata-kata itu.” - Hadith No. 271 dalam kitab Ringkasan Sahih Muslim
Dalam peristiwa di atas, Nabi Muhammad bertanya dua kali “Siapakah tadi yang mengucapkan kata-kata itu?” tetapi tidak ada jawapan. Selepas beliau berkata, “Sebenarnya dia tidak mengucap sesuatu yang berdosa.” barulah orang itu mengaku.
Dalam peristiwa itu juga, lelaki yang sama melakukan kesalahan datang lambat dan bercakap kuat, tetapi dua kesalahan itu tidak ditegur oleh Nabi Muhammad, padahal kesalahan itu sangat terang dan nyata, namun Nabi Muhammad mendiamkannya sahaja, seolah-olah tidak ada apa-apa kesalahan telah dilakukan.
Kita dapat simpulkan, dalam peristiwa itu, antara (i) menegur kesalahan dan (ii) menjaga risiko sosial, Nabi Muhammad mengutamakan urusan menjaga risiko sosial.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan