Nabi Muhammad adalah seorang ketua yang amat murah dengan kata-kata pujiannya. Catatan-catatan dalam rekod sejarah menunjukkan beliau banyak memberi puji-pujian kepada orang-orang kecil dalam kumpulan yang diketuainya.
Apabila Nabi Muhammad bersembahyang di masjid, sahabat-sahabat beliau yang paling utama, iaitu Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali dan lain-lain, sentiasa ada bersama. Mereka adalah orang-orang besar, maka itu dalam catatan sejarah nama-nama orang besar sentiasa dicatatkan oleh pelapor peristiwa itu.
Dari data catatan sejarah itu kita dapat membuat inferens tentang orang-orang kecil yang menerima pujian Nabi Muhammad kerana nama orang-orang itu tidak disebut oleh mereka yang menyaksikan peristiwa itu.
Sahabat Nabi Muhammad yang bernama Anas melaporkan, pada suatu hari ada seorang lelaki datang dan dia terus masuk barisan orang-orang yang sedang sembahyang, dengan nafasnya termengah-mengah kerana terkocoh-kocoh mengejar waktu sembahyang, sambil membaca 'Alhamdulillahi hamdan kasiran thoyiban mubarakan fih.' (Segala puji bagi Allah, pujian yang banyak, bagus, lagi penuh berkat.) Selepas selesai sembahyang, Nabi Muhammad bertanya, “Siapakah tadi yang mengucapkan kata-kata itu?” Semua orang yang ada diam sahaja, tidak seorang pun menjawab. Nabi Muhammad bertanya lagi, “Siapakah tadi yang mengucapkan kata-kata itu? Sebenarnya dia tidak mengucap sesuatu yang berdosa.” Lalu seorang lelaki berkata, “Tadi saya datang dengan termengah-mengah, lalu saya ucapkan kata-kata itu.”
Kemudian, Nabi Muhammad berkata, “Sungguh, saya nampak 12 orang malaikat berebut-rebut mengangkat kata-kata itu.” -- Catatan peristiwa ini ada dalam rekod koleksi hadith-hadith autentik Muslim.
Dalam peristiwa di atas, meskipun lelaki itu melakukan 3 kesalahan, Nabi hanya memuji perkara betul yang dilakukannya. Dan pujian itu disebut dengan terang dan dan jelas di hadapan semua orang besar yang ada di situ. Nabi Muhammad memuji kata-kata yang diucapkan oleh orang kecil itu. Kata Nabi Muhammad: “Sungguh, saya nampak 12 orang malaikat berebut-rebut mengangkat kata-kata itu.”
Dalam suatu laporan lain, Ibnu Umar menceritakan, pada suatu masa beliau dan orang-orang lain sedang hendak melakukan sembahyang di masjid. Pada waktu itu kedengaran seorang lelaki berkata, "Allahu akbar kabiran, alhamdulillahi kathiran, wasubhanallahi bukratan wa'asila." Selepas selesai sembahyang, Nabi Muhammad bertanya kepada orang-orang yang ada, "Siapakah tadi yang membaca ucapan itu?" Lelaki itu menjawab, "Saya, ya Rasul Allah." Lalu Nabi Muhammad berkata, "Saya kagum dengan kata-kata itu. Pintu-pintu langit dibuka kerana kata-kata itu." Dalam laporannya, Ibnu Umar berkata, "Semenjak saya terdengar Nabi Muhammad berkata begitu, saya tidak pernah lupa mengucapkan kata-kata itu." - Catatan peristiwa ini ada dalam rekod koleksi hadith-hadith autentik Muslim.
Dalam peristiwa di atas Nabi Muhammad memuji kata-kata yang diucapkan oleh orang kecil itu: Nabi Muhammad berkata, "Saya kagum dengan kata-kata itu. Pintu-pintu langit dibuka kerana kata-kata itu."
Dalam dua peristiwa itu, Nabi Muhammad memuji hasil kerja yang dilakukan oleh dua orang kecil tersebut. Dalam pujiannya, beliau mengatakan kata-kata yang mereka ucapkan itu sangat mulia dan istimewa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan