Sebagai Ketua: Cara Bagaimana Nabi Muhammad Menjaga Maruah Orang Kecil

Risiko sosial adalah risiko mendapat malu dan jatuh maruah di hadapan orang lain.

Lazimnya kita sangat berhati-hati apabila mahu mengkritik orang besar secara terbuka, yakni di hadapan orang lain, tetapi kurang berhati-hati apabila orang itu adalah orang kecil.
Ini kerana kita anggap maruah orang besar lebih berharga daripada maruah orang kecil.

Sebagai contoh, guru besar berhati-hati hendak menegur kesalahan guru-guru secara terbuka di hadapan murid, tetapi tidak berhati-hati apabila menegur murid-murid di hadapan guru-guru. Di rumah pun begitu juga, kita berhati-hati menegur pasangan kita di hadapan anak-anak, tetapi kita tidak berhati-hati menegur anak-anak di hadapan pasangan kita.

Dalam rekod sejarah, ada catatan tentang suatu kejadian yang menunjukkan bagaimana Nabi Muhammad menjaga maruah orang kecil.

Sahabat Nabi Muhammad yang bernama Anas melaporkan, pada suatu hari ada seorang lelaki datang dan dia terus masuk barisan orang-orang yang sedang sembahyang, dengan nafasnya termengah-mengah kerana terkocoh-kocoh mengejar waktu sembahyang, sambil membaca 'Alhamdulillahi hamdan kasiran thoyiban mubarakan fih.' (Segala puji bagi Allah, pujian yang banyak, bagus, lagi penuh berkat.) Selepas selesai sembahyang, Nabi Muhammad bertanya, “Siapakah tadi yang mengucapkan kata-kata itu?” Semua orang yang ada diam sahaja, tidak seorang pun menjawab. Nabi Muhammad bertanya lagi, “Siapakah tadi yang mengucapkan kata-kata itu? Sebenarnya dia tidak mengucap sesuatu yang berdosa.” Lalu seorang lelaki berkata, “Tadi saya datang dengan termengah-mengah, lalu saya ucapkan kata-kata itu.” Kemudian, Nabi Muhammad berkata, “Sungguh, saya nampak 12 orang malaikat berebut-rebut mengangkat kata-kata itu.” -
Hadith No. 271 dalam kitab Ringkasan Sahih Muslim

Dalam peristiwa di atas, Nabi Muhammad melakukan dua perkara serentak:

a. Tidak menyebut sama sekali berkenaan tiga kesalahan yang dilakukan oleh orang kecil itu.
b. Memuji satu perkara betul yang dilakukan oleh orang kecil itu.


1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Apakah 3 kesalahan yg di buat oleh anak kecil tersebut?