Data-data daripada rekod-rekod sejarah menunjukkan Nabi Muhammad menggunakan teknik yang amat teknikal apabila memberi puji-pujian kepada orang-orang kecil di hadapan khalayak ramai.
1. Nabi Muhammad menyampaikan pujian itu dengan segera, yakni beliau tidak menangguhkan masa pujian itu diberikan. Di mana beliau nampak orang kecil itu melakukan kerja yang baik, di situ juga beliau memberikan pujiannya.
2. Nabi memuji hasil kerja orang kecil itu, bukan peribadinya ataupun personalitinya. Contoh pujian kepada hasil kerja: "Saya kagum dengan kata-kata itu." Apabila orang kecil itu mengucapkan kata-kata yang baik, maka kata-kata baiknya itu yang dipuji oleh Nabi Muhammad.
3. Nabi memuji perbuatan itu dengan memberitahu apa yang beliau rasai: (a) "Saya kagum...." (b) “Sungguh, saya nampak...."
4. Nabi memberitahu apa yang berlaku akibat perbuatan baik yang dilakukan oleh orang kecil itu: (a) "Pintu-pintu langit dibuka kerana kata-kata itu." (b)"...12 orang malaikat berebut-rebut mengangkat kata-kata itu."
Sahabat Nabi Muhammad yang bernama Anas melaporkan, pada suatu hari ada seorang lelaki datang dan dia terus masuk barisan orang-orang yang sedang sembahyang, dengan nafasnya termengah-mengah kerana terkocoh-kocoh mengejar waktu sembahyang, sambil membaca 'Alhamdulillahi hamdan kasiran thoyiban mubarakan fih.' (Segala puji bagi Allah, pujian yang banyak, bagus, lagi penuh berkat.) Selepas selesai sembahyang, Nabi Muhammad bertanya, “Siapakah tadi yang mengucapkan kata-kata itu?” Semua orang yang ada diam sahaja, tidak seorang pun menjawab. Nabi Muhammad bertanya lagi, “Siapakah tadi yang mengucapkan kata-kata itu? Sebenarnya dia tidak mengucap sesuatu yang berdosa.” Lalu seorang lelaki berkata, “Tadi saya datang dengan termengah-mengah, lalu saya ucapkan kata-kata itu.”
Kemudian, Nabi Muhammad berkata, “Sungguh, saya nampak 12 orang malaikat berebut-rebut mengangkat kata-kata itu.” -- Hadith No. 271 dalam kitab Ringkasan Sahih Muslim
Dalam suatu peristiwa lain, Ibnu Umar menceritakan, pada suatu masa beliau dan orang-orang lain sedang hendak melakukan sembahyang di masjid. Pada waktu itu kedengaran seorang lelaki berkata, "Allahu akbar kabiran, alhamdulillahi kathiran, wasubhanallahi bukratan wa'asila." Selepas selesai sembahyang, Nabi Muhammad bertanya kepada orang-orang yang ada, "Siapakah tadi yang membaca ucapan itu?" Lelaki itu menjawab, "Saya, ya Rasul Allah." Lalu Nabi Muhammad berkata, "Saya kagum dengan kata-kata itu. Pintu-pintu langit dibuka kerana kata-kata itu." Dalam laporannya, Ibnu Umar berkata, "Semenjak saya terdengar Nabi Muhammad berkata begitu, saya tidak pernah lupa mengucapkan kata-kata itu." - catatan peristiwa ini ada dalam rekod koleksi hadith-hadith autentik Muslim.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan