Nabi Muhammad adalah seorang ketua, dan beliau mempunyai banyak anak buah. Banyak kerja yang beliau jalankan secara berkumpulan, di mana beliau menjadi ketua kumpulan.
Di kalangan anak-anak buah Nabi Muhammad, banyak yang disiplin kerja mereka kurang baik, sebagai contoh ada yang datang kerja tidak menepati waktu, namun beliau dapat mendorong mereka menaikkan mutu disiplin kerja mereka.
Ada catatan sejarah yang menunjukkan bagaimana cara Nabi Muhammad melayan seorang anak buahnya yang disiplin waktunya kurang baik.
Sahabat Nabi Muhammad yang bernama Anas melaporkan, pada suatu hari ada seorang lelaki datang dan dia terus masuk barisan orang-orang yang sedang sembahyang, dengan nafasnya termengah-mengah kerana terkocoh-kocoh mengejar waktu sembahyang, sambil dia membaca dengan kuat 'Alhamdulillahi hamdan kasiran thoyiban mubarakan fih.' (Segala puji bagi Allah, pujian yang banyak, bagus, lagi penuh berkat.) Selepas selesai sembahyang, Nabi Muhammad bertanya, “Siapakah tadi yang mengucapkan kata-kata itu?” Semua orang yang ada diam sahaja, tidak seorang pun menjawab. Nabi Muhammad bertanya lagi, “Siapakah tadi yang mengucapkan kata-kata itu? Sebenarnya dia tidak mengucapkan sesuatu yang berdosa.” Lalu seorang lelaki berkata, “Tadi saya datang dengan termengah-mengah, lalu saya ucapkan kata-kata itu.” Kemudian, Nabi Muhammad berkata, “Sungguh, saya nampak 12 orang malaikat berebut-rebut mengangkat kata-kata itu.” -- Hadith No. 271 dalam kitab Ringkasan Sahih Muslim
Dalam peristiwa di atas, ada seorang lelaki yang datang kerja lambat, namun Nabi Muhammad tidak menegur kesalahannya itu. Malah sampai habis beliau diam sahaja berkenaan perkara itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan