Mencipta Idea Kempen Promosi Gaya Nabi Muhammad

Nabi Muhammad melakukan banyak aktiviti pemasaran dan promosi. Antara perkara-perkara yang dipasarkan dan dipromosi oleh Nabi Muhammad adalah ibadat sembahyang.

Sebagai contoh, salah satu fungsi azan adalah bagi memasarkan dan mempromosi aktiviti sembahyang, di mana kata-kata yang disebut dalam laungan azan memberitahu bahawa waktu sembahyang sudah masuk dan dengan itu bolehlah orang ramai melakukan sembahyang. Azan juga berfungsi bagi menggalakkan orang ramai datang ke masjid dan bersembahyang beramai-ramai di dalam masjid.

Sejarah di sebalik tercipatnya idea azan mengandungi prinsip-prinsip pemasaran dan promosi amalan sembahyang.

Seorang sahabat Nabi Muhammad yang bernama Abdullah bin Umar melaporkan, semasa orang-orang Islam dari Mekah baru tiba di Madinah, mereka semua berkumpul sementara menunggu masuknya waktu sembahyang. Pada masa itu belum ada apa-apa cara memanggil orang supaya bersembahyang. Disebabkan keadaan itu, pada suatu hari mereka berbincang berkenaan perkara tersebut. Ada antara mereka yang berkata, “Gunakan loceng macam orang-orang Kristian.” Ada pula yang berkata, “Gunakan trompet daripada tanduk, macam orang-orang Yahudi.” Lalu Umar berkata, “Bagaimana kalau saudara-saudara suruh seorang lelaki supaya melaungkan panggilan sembahyang?” Nabi Muhammad pun berkata, “Wahai Bilal, berdirilah, dan laungkan panggilan sembahyang.”
--
Hadith No. 190 dalam kitab Ringkasan Sahih Muslim.

Pada waktu peristiwa di atas terjadi, sudah ada teknologi panggilan orang ramai supaya datang ke rumah ibadat dan bersembahyang beramai-ramai. Bagi tujuan mengajak penganut agama Kristian datang ke gereja, paderi-paderi menggunakan teknologi loceng yang diperbuat daripada logam. Manakala, bagi tujuan mengajak orang ramai datang ke sinagog, para rabai Yahudi menggunakan teknologi trompet yang diperbuat daripada tanduk .

Apabila idea loceng dan tanduk dikemukakan, Nabi Muhammad menolaknya. Beliau memilih panggilan yang menggunakan kata-kata yang dilaungkan. Di sebalik pemilihan itu adalah prinsip-prinsip seperti di bawah:

1. Apabila sudah ada strategi yang digunakan oleh pesaing dalam kategori yang sama, jangan pinjam dan gunakan strategi mereka.

2. Cipta strategi baru yang original dan yang sangat berbeza apabila dibandingkan dengan strategi pihak-pihak lain yang sudah ada dalam pasaran.


.

Teknik Menyampaikan Ucapan Motivasi Kejayaan Gaya Nabi Muhammad

Dalam amalan lazim, ucapan motivasi yang paling banyak disampaikan adalah kata-kata yang mendorong orang supaya mahu menjadi orang yang berjaya. Ucapan jenis ini juga banyak disampaikan oleh Nabi Muhammad.

Disebabkan dalam Islam kejayaan yang hakiki adalah kejayaan masuk syurga, jadi Nabi Muhammad mendorong anak-anak buahnya supaya mempunyai keinginan masuk syurga. Manakala kegagalan yang hakiki adalah apabila seseorang itu masuk neraka, maka Nabi Muhammad mendorong anak-anak buahnya supaya tidak mahu masuk neraka.

Justeru, sebarang kata-kata motivasi di mana Nabi Muhammad mendorong orang supaya mahu menjadi orang yang layak memasuki syurga adalah motivasi dorongan kejayaan. Dengan demikian, teknik-teknik yang beliau gunakan itu dapat digunakan bagi tujuan mendorong orang mencapai kejayaan yang mereka mahukan, tidak semestinya kejayaan masuk syurga.

Di bawah ini adalah suatu catatan dalam rekod sejarah yang menunjukkan bagaimana Nabi Muhammad memberikan motivasi kejayaan kepada sekumpulan anak buahnya:

Adi bin Hatim memberitahu bahawa Nabi Muhammad berkata, "Jagalah diri saudara semua dari neraka." Kemudian beliau berpaling, lalu berkata, "Jagalah diri saudara semua dari neraka." Kemudian beliau berpaling. Ia berlaku tiga kali, sehingga kami menyangka bahawa beliau benar-benar melihat neraka. Kemudian Nabi Muhammad berkata, "Jagalah diri saudara dari neraka walaupun dengan separuh daripada sebiji kurma. Sesiapa yang tidak ada kurma, maka dengan kalimah yang baik." Catatan ini terdapat dalam koleksi hadith autentik Sahih al-Bukhari.

Dalam peristiwa di atas Nabi Muhammad mendorong sekumpulan orang, yakni ada audiens yang mendengar beliau bercakap, supaya mereka mempunyai keinginan menjadi orang yang berjaya. Jadi, gunakan strategi yang beliau gunakan dalam hadith di atas apabila kita menyampaikan ucapan motivasi di hadapan sekumpulan orang, contohnya:

a. Ketua jabatan dalam perkhidmatan kerajaan berucap kepada semua anak buahnya sempena sambutan tahun baru.

b. Pengerusi syarikat berucap kepada semua pekerja dalam syarikatnya.

c. Pengetua sekolah berucap kepada guru-guru dan semua pelajar pada perhimpunan mingguan.

Dalam hadith di atas, struktur ucapan motivasi oleh Nabi Muhammad adalah seperti berikut:


1. Mulakan ucapan motivasi kejayaan dengan memberi peringatan supaya audiens menghindari kegagalan.

Meskipun tujuan kata-kata Nabi Muhammad itu adalah supaya audiens mahu masuk syurga (kejayaan), namun beliau menerangkan sebaliknya, yakni supaya mereka terhindar daripada neraka (kegagalan).

2. Menyebut ayat peringatan sebanyak tiga kali.

Pada peristiwa itu Nabi Muhammad memulakan ucapan beliau dengan tiga kali berkata
"Jagalah diri saudara semua dari neraka." Hanya pada kali ketiga barulah Nabi Muhammad menyebut ayat motivasi kejayaan.

3. Nabi Muhammad memberitahu teknik paling mudah dan paling murah bagi mencapai kejayaan.

Pada peristiwa itu Nabi Muhammad memberitahu syarat paling mudah bagi menghindarkan mereka dari neraka iaitu: (
a) Dengan cara memberi derma, walaupun derma itu cuma separuh buah kurma ataupun (b) Dengan mengucapkan kata-kata yang baik.

Dalam hadith itu Nabi Muhammad memberitahu langkah paling mudah bagi berjaya, sehinggakan sesiapa sahaja dapat melakukan langkah itu. Implikasi ucapan motivasi kejayaan oleh Nabi Muhammad itu adalah pertama, orang-orang miskin pun boleh berjaya sebab syaratnya adalah memberi sedekah separuh ulas buah kurma, dengan itu dia dapat masuk syurga. Kedua, orang cacat yang tidak mampu melakukan kerja berat pun boleh berjaya sebab dia hanya perlu bercakap perkara-perkara baik bagi memasuki syurga.

Dalam amalan lazim, kita sering menyampaikan ucapan-ucapan motivasi kejayaan dengan memberikan gambaran bahawa jalan yang mesti ditempuh oleh sesiapa yang mahu menjadi orang berjaya adalah jalan yang sangat sukar, penuh dengan kepayahan, ditaburi onak dan duri, jadi dia mesti kuat semangat, cekal dan tawakal, dia perlu banyak berusaha, perlu banyak berkorban, kerana tidak semua orang dapat mencapai kejayaan, hanya orang yang mempunyai sifat-sifat manusia luar biasa sahaja yang dapat menikmati kejayaan.

Namun apabila Nabi Muhammad menyampaikan ucapan motivasi kejayaan, beliau tidak memberikan gambaran bahawa kejayaan itu adalah suatu perkara yang demikian sukar dicapai. Beliau memberikan gambaran yang sebaliknya!


.