Teknik Menyampaikan Ucapan Motivasi Kejayaan Gaya Nabi Muhammad

Dalam amalan lazim, ucapan motivasi yang paling banyak disampaikan adalah kata-kata yang mendorong orang supaya mahu menjadi orang yang berjaya. Ucapan jenis ini juga banyak disampaikan oleh Nabi Muhammad.

Disebabkan dalam Islam kejayaan yang hakiki adalah kejayaan masuk syurga, jadi Nabi Muhammad mendorong anak-anak buahnya supaya mempunyai keinginan masuk syurga. Manakala kegagalan yang hakiki adalah apabila seseorang itu masuk neraka, maka Nabi Muhammad mendorong anak-anak buahnya supaya tidak mahu masuk neraka.

Justeru, sebarang kata-kata motivasi di mana Nabi Muhammad mendorong orang supaya mahu menjadi orang yang layak memasuki syurga adalah motivasi dorongan kejayaan. Dengan demikian, teknik-teknik yang beliau gunakan itu dapat digunakan bagi tujuan mendorong orang mencapai kejayaan yang mereka mahukan, tidak semestinya kejayaan masuk syurga.

Di bawah ini adalah suatu catatan dalam rekod sejarah yang menunjukkan bagaimana Nabi Muhammad memberikan motivasi kejayaan kepada sekumpulan anak buahnya:

Adi bin Hatim memberitahu bahawa Nabi Muhammad berkata, "Jagalah diri saudara semua dari neraka." Kemudian beliau berpaling, lalu berkata, "Jagalah diri saudara semua dari neraka." Kemudian beliau berpaling. Ia berlaku tiga kali, sehingga kami menyangka bahawa beliau benar-benar melihat neraka. Kemudian Nabi Muhammad berkata, "Jagalah diri saudara dari neraka walaupun dengan separuh daripada sebiji kurma. Sesiapa yang tidak ada kurma, maka dengan kalimah yang baik." Catatan ini terdapat dalam koleksi hadith autentik Sahih al-Bukhari.

Dalam peristiwa di atas Nabi Muhammad mendorong sekumpulan orang, yakni ada audiens yang mendengar beliau bercakap, supaya mereka mempunyai keinginan menjadi orang yang berjaya. Jadi, gunakan strategi yang beliau gunakan dalam hadith di atas apabila kita menyampaikan ucapan motivasi di hadapan sekumpulan orang, contohnya:

a. Ketua jabatan dalam perkhidmatan kerajaan berucap kepada semua anak buahnya sempena sambutan tahun baru.

b. Pengerusi syarikat berucap kepada semua pekerja dalam syarikatnya.

c. Pengetua sekolah berucap kepada guru-guru dan semua pelajar pada perhimpunan mingguan.

Dalam hadith di atas, struktur ucapan motivasi oleh Nabi Muhammad adalah seperti berikut:


1. Mulakan ucapan motivasi kejayaan dengan memberi peringatan supaya audiens menghindari kegagalan.

Meskipun tujuan kata-kata Nabi Muhammad itu adalah supaya audiens mahu masuk syurga (kejayaan), namun beliau menerangkan sebaliknya, yakni supaya mereka terhindar daripada neraka (kegagalan).

2. Menyebut ayat peringatan sebanyak tiga kali.

Pada peristiwa itu Nabi Muhammad memulakan ucapan beliau dengan tiga kali berkata
"Jagalah diri saudara semua dari neraka." Hanya pada kali ketiga barulah Nabi Muhammad menyebut ayat motivasi kejayaan.

3. Nabi Muhammad memberitahu teknik paling mudah dan paling murah bagi mencapai kejayaan.

Pada peristiwa itu Nabi Muhammad memberitahu syarat paling mudah bagi menghindarkan mereka dari neraka iaitu: (
a) Dengan cara memberi derma, walaupun derma itu cuma separuh buah kurma ataupun (b) Dengan mengucapkan kata-kata yang baik.

Dalam hadith itu Nabi Muhammad memberitahu langkah paling mudah bagi berjaya, sehinggakan sesiapa sahaja dapat melakukan langkah itu. Implikasi ucapan motivasi kejayaan oleh Nabi Muhammad itu adalah pertama, orang-orang miskin pun boleh berjaya sebab syaratnya adalah memberi sedekah separuh ulas buah kurma, dengan itu dia dapat masuk syurga. Kedua, orang cacat yang tidak mampu melakukan kerja berat pun boleh berjaya sebab dia hanya perlu bercakap perkara-perkara baik bagi memasuki syurga.

Dalam amalan lazim, kita sering menyampaikan ucapan-ucapan motivasi kejayaan dengan memberikan gambaran bahawa jalan yang mesti ditempuh oleh sesiapa yang mahu menjadi orang berjaya adalah jalan yang sangat sukar, penuh dengan kepayahan, ditaburi onak dan duri, jadi dia mesti kuat semangat, cekal dan tawakal, dia perlu banyak berusaha, perlu banyak berkorban, kerana tidak semua orang dapat mencapai kejayaan, hanya orang yang mempunyai sifat-sifat manusia luar biasa sahaja yang dapat menikmati kejayaan.

Namun apabila Nabi Muhammad menyampaikan ucapan motivasi kejayaan, beliau tidak memberikan gambaran bahawa kejayaan itu adalah suatu perkara yang demikian sukar dicapai. Beliau memberikan gambaran yang sebaliknya!


.

Tiada ulasan: