Nabi Mendorong Anak Buahnya Rajin Buat Kerja Tambahan

Perbezaan antara staf yang baik dengan staf yang cemerlang adalah kesanggupan melakukan kerja-kerja tambahan secara sukarela dengan tidak mengharapkan ganjaran material mahupun kewangan. Staf yang baik melakukan semua kerja-kerja yang termaktub dalam jadual tugas rasminya, manakala staf yang cemerlang sanggup secara sukarela melakukan kerja-kerja tambahan di luar bidang tugas rasminya.

Salah satu cabaran ketua-ketua adalah bagaimana mahu mendorong anak-anak buahnya supaya mereka mempunyai semangat yang tinggi meningkatkan prestasi masing-masing dengan melakukan banyak kerja-kerja tambahan secara sukarela.

Lazimnya, pekerja ataupun anak-anak buah tidak mahu melakukan kerja-kerja tambahan kecuali:

1. Kerja tambahan itu termaktub dalam prosedur tempat kerja.

2. Ada arahan rasmi dikeluarkan oleh ketua.

3. Diberi ganjaran.

Salah seorang sahabat Nabi Muhammad bernama Anas. Beliau
melaporkan, pada suatu hari ada seorang lelaki datang dan dia terus masuk barisan orang-orang yang sedang sembahyang, dengan nafasnya termengah-mengah kerana terkocoh-kocoh mengejar waktu sembahyang, sambil dia membaca dengan kuat 'Alhamdulillahi hamdan kasiran thoyiban mubarakan fih.' (Segala puji bagi Allah, pujian yang banyak, bagus, lagi penuh berkat.)
Selepas selesai sembahyang, Nabi Muhammad bertanya, “Siapakah tadi yang mengucapkan kata-kata itu?” Semua orang yang ada diam sahaja, tidak seorang pun menjawab. Nabi Muhammad bertanya lagi, “Siapakah tadi yang mengucapkan kata-kata itu? Sebenarnya dia tidak mengucapkan sesuatu yang berdosa.” Lalu seorang lelaki berkata, “Tadi saya datang dengan termengah-mengah, lalu saya ucapkan kata-kata itu.” Kemudian, Nabi Muhammad berkata, “Sungguh, saya nampak 12 orang malaikat berebut-rebut mengangkat kata-kata itu.”
-- Hadith No. 271 dalam kitab Ringkasan Sahih Muslim

Dalam peristiwa di atas, Nabi Muhammad memuji seorang lelaki yang melakukan kerja tambahan secara sukarela:

a. Lelaki itu berzikir. Berzikir adalah sejenis kerja tambahan, yakni ia bukan kerja yang wajib dilakukan.

b. Lelaki itu menggunakan daya kreativitinya bagi mencipta zikir baru. Zikir yang dibaca oleh lelaki itu tidak pernah diajarkan oleh ketuanya, yakni Nabi Muhammad.

c. Zikir itu dicipta secara sukarela. Nabi Muhammad tidak pernah mengarahkan lelaki itu supaya mencipta zikir tersebut, bermakna
dia mencipta sendiri zikir tanpa diarahkan.

Seperkara yang menarik pada peristiwa itu adalah, lelaki tersebut datang lambat ke masjid, yakni orang sudah memulakan sembahyang tetapi dia baru sampai. Dia juga juga membaca zikirnya dengan kuat. Nabi Muhammad tidak menegur ataupun mengkritik kesalahan lelaki itu. Sebaliknya, Nabi Muhammad memuji kualiti zikirnya dengan berkata, “Sungguh, saya nampak 12 orang malaikat berebut-rebut mengangkat kata-kata itu.”

Dalam suatu catatan lain, Ibnu Umar menceritakan, pada suatu masa beliau dan orang-orang lain sedang hendak melakukan sembahyang di masjid. Pada waktu itu kedengaran seorang lelaki berkata, "Allahu akbar kabiran, alhamdulillahi kathiran, wasubhanallahi bukratan wa'asila." Selepas selesai sembahyang, Nabi Muhammad bertanya kepada orang-orang yang ada, "Siapakah tadi yang membaca ucapan itu?" Lelaki itu menjawab, "Saya, ya Rasul Allah." Lalu Nabi Muhammad berkata, "Saya kagum dengan kata-kata itu. Pintu-pintu langit dibukakan disebabkan kata-kata itu." Dalam laporannya itu, Ibnu Umar berkata, "Semenjak saya terdengar Nabi Muhammad berkata begitu, saya tidak pernah lupa mengucapkan kata-kata itu." - Catatan peristiwa ini ada dalam rekod koleksi hadith-hadith autentik Muslim.

Dalam peristiwa di atas, lelaki itu juga melakukan kerja tambahan, yakni berzikir. Zikir itu juga adalah hasil ciptaannya sendiri. Meskipun dia melakukan kesalahan berzikir dengan kuat di dalam masjid, namun Nabi Muhammad tidak memarahinya. Sebaliknya Nabi Muhammad memuji isi kandungan zikirnya dengan berkata, "Saya kagum dengan kata-kata itu. Pintu-pintu langit dibukakan disebabkan kata-kata itu."

Prinsip-prinsip dorongan kerja tambahan yang terkandung dalam dua peristiwa di atas:

1. Puji hasil kerja tambahan yang dilakukan secara sukarela.

2. Berikan pujian itu dengan segera.

3. Sebut pujian itu secara terbuka di hadapan orang-orang lain.



Tiada ulasan: