Lazimnya, jawatan imam masjid didefinisikan sebagai orang yang tugas utamanya hanya menjadi imam sembahyang di dalam masjid. Namun, daripada rekod-rekod sejarah terdapat banyak catatan yang menunjukkan bahawa salah satu tugas penting imam adalah mendorong orang ramai supaya suka datang ke masjid. Tugas ini dilakukan oleh Nabi Muhammad.
Diri individu-individu yang menjadi imam adalah salah satu faktor penting sebagai faktor penarik yang menyebabkan orang ramai suka datang bersembahyang ke masjid. Inilah yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad. Kecuali sembahyang pada hari Jumaat yang mesti dilakukan beramai-ramai di masjid, sembahyang lain tidak dimestikan dilakukan beramai-ramai di masjid. Namun anak-anak buah Nabi Muhammad suka datang bersembahyang di masjid sebab mereka sangat menyukai Nabi Muhammad.
Apabila Nabi Muhammad bersembahyang beliau sangat fokus, yakni beliau sangat khusyuk. Seluruh fikirannya tertumpu kepada Allah yang disembah. Dalam rekod sejarah ada catatan yang menunjukkan bagaimana telinga Nabi Muhammad yang sangat khusyuk apabila sedang bersembahyang itu telah terdengar ada orang bercakap-cakap, dan beliau dapat mendengar setiap patah perkataan orang itu. Ini bermakna orang itu bercakap cukup kuat sehingga Nabi Muhammad yang khusyuk pun terganggu.
Salah seorang sahabat Nabi Muhammad bernama Anas. Beliau melaporkan, pada suatu hari ada seorang lelaki datang dan dia terus masuk barisan orang-orang yang sedang sembahyang, dengan nafasnya termengah-mengah kerana terkocoh-kocoh mengejar waktu sembahyang, sambil dia membaca dengan kuat 'Alhamdulillahi hamdan kasiran thoyiban mubarakan fih.' (Segala puji bagi Allah, pujian yang banyak, bagus, lagi penuh berkat.) Selepas selesai sembahyang, Nabi Muhammad bertanya, “Siapakah tadi yang mengucapkan kata-kata itu?” Semua orang yang ada diam sahaja, tidak seorang pun menjawab. Nabi Muhammad bertanya lagi, “Siapakah tadi yang mengucapkan kata-kata itu? Sebenarnya dia tidak mengucapkan sesuatu yang berdosa.” Lalu seorang lelaki berkata, “Tadi saya datang dengan termengah-mengah, lalu saya ucapkan kata-kata itu.” Kemudian, Nabi Muhammad berkata, “Sungguh, saya nampak 12 orang malaikat berebut-rebut mengangkat kata-kata itu.” -- Hadith No. 271 dalam kitab Ringkasan Sahih Muslim
Dalam peristiwa itu, lelaki tersebut datang lambat, yakni orang sudah memulakan sembahyang tetapi dia baru sampai. Dia juga masuk ke dalam masjid sambil bercakap kuat sehingga Nabi Muhammad terganggu. Nabi Muhammad tidak menegur ataupun mengkritik kesalahan lelaki itu. Malah Nabi Muhammad tidak menasihati lelaki itu supaya jangan datang lambat dan jangan buat bising sehingga mengganggu orang-orang yang sedang bersembahyang. Sebaliknya, Nabi Muhammad memujinya pula.
Daripada peristiwa itu dapat disimpulkan bahawa bagi menarik minat orang ramai supaya suka datang bersembahyang di masjid, perkara-perkara yang perlu dilakukan oleh imam adalah:
1. Jangan mengkritik, menegur ataupun meleteri makmum apabila mereka melakukan kesalahan. Dalam peristiwa di atas lelaki itu datang lambat dan buat bising sehingga mengganggu orang yang sedang bersembahyang. Namun tidak sepatah kata pun yang diucapkan oleh Nabi Muhammad bagi tujuan menegur kesalahan lelaki itu.
2. Memuji mana-mana makmum yang melakukan kebaikan. Lelaki yang datang lambat dan buat bising itu melakukan dua kebaikan. Pertama, walaupuan dia datang lambat namun dia daang juga ke masjid. Kedua, walaupun dia buat bising, tetapi perkara yang disebutkannya dengan kuat itu adalah perkara yang sangat baik isi kandungannya.
3. Satu lagi kesimpulan yang dapat ditarik daripada catatan di atas adalah, bahawa masjid adalah tempat memuji-muji orang yang datang. Masjid bukan tempat memarahi sama ada mereka yang berada di dalam masjid mahupun yang tidak datang ke masjid.
Kita dapat menyimpulkan kesan-kesan positif apabila Nabi Muhammad memuji makmunnya yang datang lambat itu:
a. Bagi makmun itu, apabila dia dipuji oleh Nabi Muhammad, pujian itu menyebabkan dia berasa suka dan seronok datang ke masjid. Datang bersembahyang di masjid dikaitkan dengan pengalaman-pengalaman yang menyeronokkan. Perasaan seronok itu dapat mendorong dia supaya datang lagi ke masjid.
b. Apabila Nabi Muhammad memuji makmunnya itu, si makmun akan menyukai Nabi Muhammad. Bagi si makmum, pengalaman berada di masjid dikaitkannya dengan orang-orang yang melayan dirinya dengan sangat baik, dengan itu dia mengaitkan masjid dengan pengalaman-pengalaman positif, dan itu dapat mendorong dia suka datang lagi dan supaya dapat bersembahyang dengan dengan imam yang disukainya itu.
c. Pujian yang diberikan di dalam masjid menjadikan masjid tempat yang meninggalkan kenangan positif kepada si makmum, dan kenangan itu mendorong dia suka datang ke masjid.
Pada akhirnya, disebabkan si makmum suka kepada Nabi Muhammad hal itu mendorong si makmum suka datang awal ke masjid supaya cepat dapat menatap wajah orang yang disukainya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan