Dalam strategi motivasi, seseorang ketua melakukan 3 strategi ke atas orang-orang bawahannya supaya:
1. Dia terus mengekalkan prestasi mereka yang sudah sedia tinggi, yakni mengekalkan tingkah laku yang baik. Sebagai contoh, orang itu sudah solat 5 waktu, maka dia didorong supaya teruskan solat 5 waktu itu.
2. Dia mengambil inisiatif mahu meningkatkan lagi prestasinya supaya lebih tinggi, yakni menambahbaikkan lagi kualiti tingkah lakunya. Sebagai contoh, supaya dia mahu melakukan pula solat-solat sunat.
3. Dia memberhentikan prestasi rendahnya. Sebagai contoh, orang itu cuai solat, ada masanya solat, ada masanya tidak, ataupun dia tidak solat. Maka didorong supaya memberhentikan tingkah lakunya itu.
Salah satu faktor yang sangat mendorong seseorang itu mengulangi perbuatannya yang betul dan baik adalah apabila perbuatannya itu menerima maklumbalas dengan menggunakan sistem ranking.
Ada beberapa cara penilaian diberikan markah ranking:
1. Memberi markah A, B, C, D, E.
2. Memberi markah antara 1 hingga 5, 1 hingga 10 ataupun 1 hingga 100.
3. Memberi ranking dalam bentuk komen antara 'amat tidak memuaskan' sehingga 'amat memuaskan'.
Nabi Muhammad menggunakan sistem pemarkahan angka yang terdiri daripada 3 aras sahaja, iaitu 10, 20, dan 30. Markah diberi atas kriteria:
a. Perbuatan itu betul, yakni memenuhi kriteria minimum, yakni lulus dan dapat diterima = 10 markah
b. Perbuatan betul itu dan mempunyai ciri tambahan yang baik, tetapi belum sempurna = 20 markah
c. Perbuatan itu betul dan sempurna sehingga memenuhi ciri paling baik = 30 markah
Imran bin Husain melaporkan pada suatu masa ada seorang lelaki datang mendekati Nabi Muhammad. Lelaki itu berkata, “Assalamualaikum.” Nabi Muhammad berkata, “Dia mendapat 10 pahala.” Kemudian datang pula seorang lain yang berkata, “Assalamualaikum wa rahmatullah.” Nabi Muhammad berkata, “Dia mendapat 20 pahala.” Kemudian datang lagi seorang lain yang berkata, “Assalamualaikum wa rahmatullah wa barakatuh.” Nabi Muhammad berkata, “Dia mendapat 30 pahala.” -- Hadith No. 2689 dalam kitab Shahih Sunan Tarmizi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan