Sebagai Trainer: Nabi Muhammad Tidak Membandingkan Teknik yang Betul dengan Teknik yang Salah

Nabi Muhammad adalah seorang pendorong perubahan tingkah laku. Banyak pengikutnya yang semasa mula-mula masuk Islam mereka mempunyai tingkah laku yang negatif, seperti minum arak dan berjudi, tetapi lama-lama mereka secara sukarela memberhentikan tingkah laku itu dan berubah menjadi individu-individu yang amat baik.

Beliau juga seorang trainer. Beliau menunjukkan dan melatih anak-anak buah beliau teknik-teknik melakukan sesuatu pekerjaan itu dengan betul.

Salah satu perkara yang dilakukan oleh Nabi Muhammad adalah beliau menjalankan dua tugas serentak: (i) Beliau memberikan dorongan kepada anak buahnya supaya mahu menjadi pekerja yang lebih baik, dan (ii) Serentak dengan itu beliau juga menunjukkan teknik melakukan kerja itu dengan cara yang lebih baik.

Ringkasnya
, Nabi Muhammad tidak mengasingkan proses memberi dorongan dengan proses melatih, yakni sambil beliau memberi dorongan sambil itu beliau menjalankan proses melatih.

Imran bin Husain melaporkan pada suatu masa ada seorang lelaki datang mendekati Nabi Muhammad
.
Lelaki itu berkata, “Assalamualaikum.” Nabi Muhammad berkata, “Dia mendapat 10 pahala.” Kemudian datang pula seorang lain yang berkata, “Assalamualaikum wa rahmatullah.” Nabi Muhammad berkata, “Dia mendapat 20 pahala.” Kemudian datang lagi seorang lain yang berkata, “Assalamualaikum wa rahmatullah wa barakatuh.” Nabi Muhammad berkata, “Dia mendapat 30 pahala.” --
Hadith No. 2689 dalam kitab Shahih Sunan Tarmizi

Dalam peristiwa di atas, apabila Nabi Muhammad menunjukkan secara live 3 cara melakukan kerja yang sama, anak-anak buahnya dapat melihat secara konkrit contoh-contoh kerja yang menerima markah berbeza-beza.

Nabi Muhammad hanya menunjukkan 3 cara kerja yang ketiga-tiganya adalah betul belaka, bezanya adalah pada markah yang diberikan berdasarkan kualiti kerja.

Point yang penting di sini, dalam peristiwa itu, Nabi Muhammad tidak membandingkan cara kerja yang salah dengan cara kerja yang betul, sebagaimana yang berlaku dalam amalan lazim kita, di mana lazimnya kita terangkan benda-benda yang salah sebelum memberitahu apa yang betul.


Tiada ulasan: