Apabila mendorong seseorang supaya melakukan kerja dengan cara-cara yang betul, adakah kita perlu menunjukkan model yang BETUL ataupun model yang SALAH?
Dalam psikologi Barat, mereka percaya manusia dapat belajar dengan memerhatikan model yang betul dan model yang salah. Oleh itu kita perlu menunjukkan kedua-dua model itu kepada pelatih. Teori Barat ini sangat mendalam pengaruhnya, bukan hanya di kalangan pengamal teori-teori Barat, malah kepada orang ramai kerana logik akal orang biasa-biasa pun selari dengan teori-teori Barat itu.
Lazimnya, kita percaya cara mengajar dan melatih yang betul adalah dengan menunjukkan kepada pelatih cara yang betul dan cara yang salah, atas rasional supaya pelatih dapat membandingkan perbezaaan antara kedua-duanya.
Jadi kita akan katakan, "Buat macam ini, BUKAN macam ini." Ataupun, kita akan katakan kepada pelatih, "Ini yang betul. Ini yang salah."
Dalam sastera tradisi Melayu orang Melayu menggunakan model salah dengan tujuan supaya kanak-kanak akan membesar menjadi anak yang baik dengan menggunakan model-model salah. Ini amat jelas pada cerita Si Tanggang, Batu Belah Batu Bertangkup dan lain-lain.
Dalam dunia filem Melayu, dalam filem Anakku Sazali dan filem Antara Dua Darjat, P. Ramlee menggunakan model-model salah.
Imran bin Husain melaporkan pada suatu masa ada seorang lelaki datang mendekati Nabi Muhammad. Lelaki itu berkata, “Assalamualaikum.” Nabi Muhammad berkata, “Dia mendapat 10 pahala.” Kemudian datang pula seorang lain yang berkata, “Assalamualaikum wa rahmatullah.” Nabi Muhammad berkata, “Dia mendapat 20 pahala.” Kemudian datang lagi seorang lain yang berkata, “Assalamualaikum wa rahmatullah wa barakatuh.” Nabi Muhammad berkata, “Dia mendapat 30 pahala.” -- Hadith No. 2689 dalam kitab Shahih Sunan Tarmizi
Dalam peristiwa di atas, Nabi Muhammad mendorong orang supaya melakukan kerja dengan teknik yang betul dengan menunjukkan kepada mereka tiga model betul. Beliau tidak menunjukkan model salah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan