Teknik Nabi Muhammad Memuji Lelaki yang Datang Lambat

Salah seorang sahabat Nabi Muhammad bernama Anas bin Malik.

Anas melaporkan, pada suatu hari ada seorang lelaki datang dan dia terus masuk barisan orang-orang yang sedang sembahyang, dengan nafasnya termengah-mengah kerana terkocoh-kocoh mengejar waktu sembahyang, sambil membaca 'Alhamdulillahi hamdan kasiran thoyiban mubarakan fih.' Selepas selesai sembahyang, Nabi Muhammad bertanya, “Siapakah tadi yang mengucapkan kata-kata itu?” Semua orang yang ada diam sahaja, tidak seorang pun menjawab. Nabi Muhammad bertanya lagi, “Siapakah tadi yang mengucapkan kata-kata itu? Sebenarnya dia tidak mengucap sesuatu yang berdosa.” Lalu seorang lelaki berkata, “Tadi saya datang dengan termengah-mengah, lalu saya ucapkan kata-kata itu.” Kemudian, Nabi Muhammad berkata, “Sungguh, saya nampak 12 orang malaikat berebut-rebut mengangkat kata-kata itu.” – Hadith No. 271 dalam kitab Ringkasan Sahih Muslim


Nota: 'Alhamdulillahi hamdan kasiran thoyiban mubarakan fih.' bermakna 'Segala puji bagi Allah, pujian yang banyak, bagus, lagi penuh berkat.'


Berikut adalah prinsip dan teknik-teknik memuji yang Nabi Muhammad tunjukkan:


1. Nabi Muhammad tidak menegur tiga kesalahan yang dilakukan oleh lelaki itu. Pertama, lelaki itu datang lambat. Kedua, dia buat bising dalam masjid. Ketiga, apabila ditanya dia tidak memngaku. Semua kesalahan itu tidak ditegur.


2. Pada waktu yang sama lelaki itu melakukan satu perkara baik yakni dia membaca: Alhamdulillahi hamdan kasiran thoyiban mubarakan fih. Nabi Muhammad memuji kata-kata itu dengan pujian: “Sungguh, saya nampak 12 orang malaikat berebut-rebut mengangkat kata-kata itu.”


3. Prinsip yang Nabi Muhammad tunjukkan adalah: Apabila ada orang yang melakukan kesalahan, tetapi pada masa yang sama dia melakukan satu kebaikan, maka diamkan sahaja kesalahannya manakala perbuatan betulnya diberi pujian.

4. Nabi Muhammad mendahulukan kerja memuji daripada berzikir. Dalam peristiwa di atas selepas sahaja Nabi Muhammad selesai bersembahyang beliau terus memuji lelaki itu. Beliau tidak berzikir dan berdoa dahulu, kemudian baru memuji.

5. Nabi Muhammad memuji secara terbuka perkara baik yang dilakukan secara terbuka.


6. Nabi Muhammad memberikan pujian dengan segera dan di hadapan semua orang yang melihat lelaki itu melakukan kebaikan yang dipuji.


7. Lelaki itu adalah lelaki biasa, bukan orang penting. Nabi Muhammad memuji dia di hadapan semua orang-orang penting ada di situ pada masa itu.

.

Tiada ulasan: